Sunday, February 24, 2008

Kewangan dan Islam

Ramai muslim mula memikirkan bahawa faktor kewangan merupakan kepala gerabak yang menggerakkan gerabak-gerabak kecil lain dalam menentukan hala tuju perjalanan. Mereka berpandangan segala urusan yang dilakukan hendaklah mengambilkira untung rugi dari sudut kewangan. Pandangan dan pemikiran sebegini adalah kurang tepat kerana di dalam membangun dan membentuk keluarga yang shumul sebenarnya terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira contohnya pendidikan, hubungan kekeluargaan, pemahaman kepada Islam dan disiplin diri. Walau bagaimanapun, Islam tidak mengetepikan faktor kewangan di dalam kehidupan seorang muslim. Islam memandang faktor kewangan sebagai amanah dan amanah tersebut hendaklah diurus dan ditadbir dengan baik kerana ianya akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak. Bagi membolehkan amanah ini ditadbir urus dengan baik, eloklah untuk kita sama-sama membincangkan satu-persatu perkara-perkara yang berkaitan dengan kewangan dan kehidupan seorang muslim.

Di dalam sebuah artikel yang dipetik daripada Berita Harian bertarikh 13 Jun 2005 ada menyebut ‘bijak merancang dan menguruskan kewangan adalah unsur penting membentuk keluarga sejahtera dan stabil. Walaupun wang bukan segala-galanya tetapi ia mempunyai kaitan secara langsung dengan kesejahteraan bagi memenuhi keperluan asas dalam kehidupan. Perancangan dan pengurusan kewangan keluarga membabitkan perbelanjaan, perlindungan daripada risiko, simpanan dan pelaburan.’ Perbincangan dalam pengurusan kewangan Islam bukan bermaksud pengumpulan harta secara ‘adh’afan mudha’afah’ iaitu menganiaya pihak yang lemah bagi mengkayakan golongan yang kuat serta sedia kaya. Sebaliknya ia membincangkan tentang bagaimana harta yang diperolehi diurus dan dibelanjakan ke Jalan Allah. Allah SWT telah mengkategorikan golongan ini sebagai golongan yang bertakwa (Surah Al-Baqarah ayat 1 – 3). Perbelanjaan ke jalan yang diredhai memerlukan perancangan yang rapi dan pengurusan yang sempurna. Untuk itu, tugas yang mulia ini adalah dikira sebagai Ibadah di dalam Islam.

Secara umumnya, kegunaan kewangan terbahagi kepada dua perkara utama iaitu kegunaan individu/kelompok dan kegunaan perniagaan. Bagi kegunaan individu/kelompok, ianya dapatlah didefinisikan sebagai perbelanjaan yang diperuntukkan bagi memenuhi keperluan dan kehendak individu/kelompok tersebut. Di antara contoh kegunaan individu/kelompok ialah perbelanjaan dapur, perbelanjaan pembelajaran dan simpanan. Manakala kegunaan kewangan untuk perniagaan adalah didefinisikan sebagai pelaburan di dalam satu-satu perniagaan secara langsung atau tidak langsung bagi mencambahkan jumlah kewangan sedia ada kepada pentunasan dan pertambahan kewangan melalui keuntungan modal yang dilaburkan.

Di dalam siri ini, perbincangan akan dibuat berkisar kepada pengenalan kepada jenis-jenis kegunaan kewangan bagi kegunaan individu/kelompok. Tujuannya adalah bagi mengenal pasti ke manakah sumber kewangan kita dibelanjakan dan dimanfaatkan. Seterusnya hasil daripada kenal pasti ini membolehkan seseorang merancang perbelanjaan kewangan mereka kepada jalan yang diredhai Allah serta memberi manfaat yang sepatutnya kepada kehidupan mereka. Di dalam memperkatakan perkara ini, ‘Pensyarah Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Laily Paim ketika membentangkan kertas kerja berjudul Perancangan dan Pengurusan Kewangan Keluarga pada Seminar Islam Hadhari 'Kefahaman Mengenai Kehidupan Keluarga Berkualiti' anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) bermula 7 hingga 8 Jun 2005 berkata, antara petunjuk keluarga menghadapi masalah kewangan adalah tidak tahu ke mana wang dibelanjakan, tidak pasti berapa banyak hutang, bil-bil tertunggak, mengambil pinjaman baru untuk membayar hutang lama, bergantung kepada pendapatan tambahan, menggunakan kredit untuk memenuhi keperluan hidup, menggunakan simpanan untuk keperluan harian dan tidak dapat langsung menyimpan’. (Berita Harian 13 Jun 2005). Berdasarkan ulasan ini, dapatlah disimpulkan bahawa identifikasi kepada jenis-jenis perbelanjaan akan membolehkan seseorang mengesan ke manakah dan untuk apakah perbelanjaan kewangan tersebut digunakan.

Kegunaan kewangan individu/kelompok yang pertama ialah perbelanjaan harian yang hangus. Contohnya ialah perbelanjaan dapur, duit elaun anak ke sekolah, perbelanjaan suami dan isteri untuk bekerja, belanja petrol dan tol atau pengangkutan untuk ke sekolah dan pejabat serta beberapa lagi jenis perbelanjaan yang separa wajib dan semestinya perlu dikeluarkan bagi memastikan aktiviti harian dapat dilaksanakan secara lancar. Perbelanjaan jenis ini tidak mempunyai sekatan dan halangan di dalam Islam selama mana ia tidak membawa ke arah pembaziran. Di dalam tafsiran Ibn Kathir ke atas ayat 31 Surah Al-A’raf ada disebut, Al-Bukhari telah berkata bahawa Ibnu Abbas telah berkata ‘makanlah apa yang engkau kehendaki dan pakailah apa yang engkau kehendaki selama mana engkau dapat mengelakkan daripada dua perkara iaitu membazir dan bermegah-megah/sombong’.

Di dalam menguruskan perbelanjaan harian yang hangus ini, seseorang Muslim hendaklah mengelakkan daripada berbelanja lebih daripada had yang sepatutnya. Secara kebiasaan jumlah belanja hangus harian adalah sama di antara satu hari ke hari yang lain. Rentetannya, seseorang individu Muslim dapat merancang berkenaan berapakah jumlah perbelanjaan hangus harian yang perlu diperuntukkan. Perancangan ini dapat dilaksanakan dengan cara merekodkan setiap perbelanjaan harian selama satu minggu. Kemudian setelah aktiviti merekod perbelanjaan selesai, seseorang itu hendaklah meneliti setiap perbelanjaannya secara satu persatu. Bajet atau peruntukan perbelanjaan harian yang hangus hendaklah sama atau tidak terlampau jauh berbanding jumlah rekod perbelanjaan harian yang telah dibuat. Ini adalah bagi mengelakkan perancangan peruntukkan perbelanjaan yang kedekut atau di luar sasar.

Bagi memastikan jumlah yang dibelanjakan setelah perancangan peruntukkan perbelanjaan selesai, seseorang itu hendaklah kekal merekodkan setiap perbelanjaan yang dilakukan. Semakan ke atas perbelanjaan sebenar berbanding perancangan hendaklah dilaksanakan secara seminggu sekali. Sekiranya perbelanjaan sebenar adalah melebihi peruntukan, maka perancangan peruntukkan hendaklah dikaji semula. Namun sekiranya perbelanjaan adalah kurang daripada peruntukkan, maka lebihan peruntukkan hendaklah dijadikan sebagai simpanan bagi tujuan lain. Lebihan ini tidak bermaksud sebagai lebihan untuk dibawa kehadapan bagi tujuan perbelanjaan yang lebih mewah bagi minggu seterusnya.

Kaedah yang ditulis di atas memerlukan komitmen dan disiplin diri bagi menjayakannya. Ia memerlukan komitmen bagi mengekalkan istiqamah di dalam merekodkan jumlah perbelanjaan. Rekod ini adalah penting bagi menjejaki ke manakah perbelanjaan dilaksanakan dan adakah perbelanjaan tersebut dikira sebagai perlu atau tidak perlu. Disiplin diri pula diperlukan bagi memastikan apa yang dirancang adalah terlaksana. Tanpa disiplin diri, perancangan yang dibuat akan tinggal sebagai perancangan semata-mata.
Bagi mengakhiri siri pertama penulisan ini , marilah sama-sama kita memerhatikan huraian Dr Wahbah Az-Zuhaili dan Abd Rahman Hassan Al-Maidani ke atas permasalah ketiga belas nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya. Luqman menasihati anaknya agar bersederhana dan sekata ketika berjalan. Tidak terlalu perlahan hingga menampakkan kemalasan, kelambatan yang amat sangat sehingga menampakkan diri lemah konon-kononnya ingin dikatakaan 'zuhud'. Tidak terlalu laju sehingga menonjolkan sikap berlebih-lebihan serta tidak peduli kepada suasana sekeliling. Oleh itu sikap sederhana dan sekata di antara lambat dan laju merupakan tanda / lambang seseorang itu tenang,beraqal dan diri yang cergas dan sihat. Inilah yang diterangkan melalui ayat 19 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan besederhanalah dalam berjalan"
Sebagai kesimpulannya, nasihat di atas dapatlah dikaitkan dengan konsep perbelanjaan seseorang muslim di mana mereka hendaklah bersifat sederhana dan berhati-hati di dalam pengurusan kewangan. Sifat ini adalah diperlukan bagi memastikan setiap gerak geri pengurusan kewangan adalah dibuat secara berhemah dan tidak membazir. Rentetan daripada itu, ianya akan dikira sebagai amalan yang baik dan ibadah yang diberkati Allah SWT.


RUJUKAN

(1) http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/wasiatluqman.htm

(2) Tafsir Ibn Kathir Onlina di http://www.tafsir.com/default.asp?sid=2&tid=7394

(3) http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1

2 comments:

Anonymous said...

pengurusan kewangan...mmg aku lemah dlm aspek nie...perlu tunjuk ajar dr mu...

Hshiyuti said...

boleh insya Allah, kita kena buat sama-sama, aku pun masih lagi belajar...