Monday, April 14, 2014

Berlumba-lumba Ke Arah Kebaikan.


Islam menggalakkan seorang Muslim untuk saling berlumba-lumba ke arah kebaikan. Perlumbaan ini akan menghasilkan sikap yang kompetitif di mana masing-masing akan bekerja keras untuk mencapai kejayaan. Perlumbaan ke arah kebaikan bukan mensyaratkan seorang sahaja pemenang dan yang lainya kalah, namun ianya bersaing untuk mendapatkan keredhaan Allah di mana had keredhaan bukan berkouta dan bukan sedikit. Bagi setiap individu yang telah memenuhi pra syarat yang telah ditetapkan Allah; iaitu membuat segala apa yang telah diperintahkan dan meninggalkan segala yang telah diharamkan, maka dia layak untuk turut menjadi pemenang. 

Berlumba ke arah kebaikan juga membolehkan seorang Muslim memperelokkan aktivitinya dengan sebaik mungkin kerana dalam setiap persaingan, mereka akan berusaha untuk menyaingi yang lain. Namun dalam perihal keagamaan, persaingannya bukanlah sesama manusia namun ianya lebih kepada persaingan untuk melawan nafsu dan keinginan. Dalam banyak perkara, perihal keagamaan adalah berlawanan dengan keinginan dan nafsu. Agama menawarkan balasan yang baik di akhirat kelak manakala nafsu mengharapkan kegembiraan dan kesenangan di muka bumi ini. Perbezaan peranan dan tawaran ini menyebabkan sesuatu yang hampir menjadi lebih laku sungguhpun yang jauh itu lebih pasti dan kekal. Kerana itu, Muslim perlu menyaingi dan mengalahkan nafsunya bagi memastikan agamanya menjadi pemenang.

No comments: