Tuesday, September 30, 2014

Khutbah Jumaat : “SKIM CEPAT KAYA MEMBANGUN EKONOMI UMMAH?”

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلَا أَنْ هَدَانَا اللَّهُ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. أمابعد، فياعباد اللهِ . اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُون
قال الله تعالي : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat sekelian, marilah sama-sama kita berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Mudah-mudahan kita semua beroleh kebahagian di dunia dan juga di akhirat. Tajuk khutbah yang akan disampaikan pada hari ini ialah SKIM CEPAT KAYA MEMBANGUN EKONOMI UMMAH?
Sidang Tetamu Allah sekelian,
Harta adalah amanah Allah Azzawajalla yang disinggahkan kepada kita untuk menguji ketaatan kepadaNya. Ada yang dianugerahkan Allah dengan banyaknya harta dan ada yang sedikit. Ada yang mewah dan ada yang miskin. Kemewahan dan kemiskinan adalah warna warni kehidupan dunia yang mana ianya adalah bukannya kayu pengukur yang dikira Allah Azzawajalla sebagai jaminan untuk ke syurga. Namun kesan dan tindakan manusia kepada taraf kehidupan tersebut akan menyumbang kepada hala  tuju kita di akhirat kelak.
Sesungguhnya Rasulullah SAW di dalam hadithnya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim oleh Abu Hurairah RA dengan katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ
Bermaksud : Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada wajah-wajah kamu dan harta-harta kamu, dan akan tetapi (Allah) memandang kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu.
Sesungguhnya penilaian Allah adalah bukan didasarkan kepada kehenseman atau kecantikan seseorang itu, bukan jua kepada harta-harta yang dimiliki atau tidak dimiliki tetapi Allah menilainya berdasarkan amalan hati dan juga amalan anggota seseorang itu. Harta yang berlimpah ruah tetapi tidak diinfaqkan kepada jalan yang diredhai Allah maka ia hanya akan tertinggal sebagai sia-sia. Namun begitu, ianya tidaklah bermaksud si miskin menjadi lebih beruntung lantaran penghakiman yang kurang disebabkan oleh kurangnya bebanan harta yang boleh menjauhkan dirinya daripada Allah SWT. Sebaliknya dia akan turut dihisab atas tindakan yang dilakukan sebagai kesan kepada kemiskinannya itu. Dia mungkin akan menambah ikhtiar untuk mencukupkan rezekinya dengan pelbagai cara, halal mahupun haram.
Pada akhir-akhir ini, pelbagai kaedah dan cara telah diperkenalkan oleh pihak-pihak tertentu dengan slogan untuk membantu menambahkan pendapatan peribadi dan Ummah. Ada yang menawarkan skim pelaburan yang menjamin peroleh bulanan secara tetap dari sudut ringgitnya dan juga tempohnya. Ada pula yang menawarkan keuntungan pokok yang besar yang tidak mungkin dicapai oleh perniagaan-perniagaan yang biasa. Dan ada pula mereka yang menawarkan pendapatan yang seseorang itu tidak perlu lagi memikirkan tentang bebanan hutang piutang serta sebaliknya mampu untuk membolehkan dia menyimpan dari semasa ke semasa.
Sidang Jumaat sekelian,
Ketahuilah bahawa skim-skim ini adalah merupakan racun di dalam madu dan duri di dalam bunga yang manis pada zahirnya tetapi merbahaya pada hakikatnya. Skim-skim ini telah mengakibatkan ramai yang tertipu dengan paparan-paparan indah yang dijelmakan hingga ada yang terkorban dengan menanggung hutang yang lebih besar serta ada juga yang hilang lesap segala simpanan dan perhiasan anak isteri. Ketahuilah bahawa skim-skim yang tumbuh bagaikan cendawan sesudah hujan ini adalah bukan yang pertama yang muncul kepada khalayak masayarakat tetapi ianya telah berkali-kali menjelma setelah ghaib cuma dengan nama dan kaedah yang mungkin berlainan. Namun sekiranya kita memerhatikan dengan teliti, kita akan mendapati bahawa skim-skim ini mempunyai persamaan di antara satu sama lain dan ianya perlu dijauhi.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Mimbar hari ini ingin memperingatkan tentang beberapa ciri-ciri persamaan pada skim-skim ini sebagai ancaman kepada ummat Muslimin agar muamalat kita terhindar daripada perkara-perkara yang merugikan ini.
Pertama, skim-skim ini menawarkan DIVIDEN/KEUNTUNGAN yang tetap pada setiap bulan yang nilainya adalah jauh lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh mana-mana institusi kewangan atau pelaburan berlesen. Jumlah divided atau keuntungan yang melampau ini adalah semata-mata berupa daya penarik yang akan menyebabkan potensi-potensi baru turut serta ke dalam skimskim ini. Sedarlah andaikata kaedah ini amat menguntungkan maka sudah semestinya institusi-institusi pelaburanlah antara yang pertama akan mempoloporinya disebabkan oleh jumlah modal yang besar yang mereka miliki. Namun, ia tidak berlaku. Ketahuilah juga bahawa dividen/keuntungan besar yang ditawarkan oleh skim-skim ini adalah merupakan sebahagian tunai yang diperolehi daripada peserta-peserta baru untuk diagihkan kepada peserta-peserta lama. Putaran ini akan berpusing selama mana wujudnya peserta-peserta baru dan akan berhenti apabila tahap saturation maksimum tercapai. Ketika itu, hanya beberapa golongan sahaja yang sempat menikmati keuntungan daripada pelaburan awal yang disumbangkan. Ramai di antara mereka yang hanya dapat pulang modal dan mengalami kerugian.
Daripada sudut syariahnya pula, jaminan dividen/keuntungan tetap daripada sudut RMnya adalah berada di atas titian gharar ( غرار) di mana setiap i5 | Pagendividu tidak mampu untuk menentukan tentang apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Prof Madya Dr Saiful Azhar di dalam bukunya yang bertajuk Critical Issues on Islamic Banking and Financial Markets menyifatkan gharar yang dimaksudkan di dalam perbahasan sah atau tidak sesuatu kontrak itu merujuk kepada risiko dan ketidakpastian yang berpunca daripada perbuatan manipulasi manusia mengakibatkan kemudharatan ke atas pihak yang dizalimi. Sesuatu pelaburan mungkin menguntungkan dan mungkin juga merugikan. Dan ianya amat berisiko kepada mana-mana pihak untuk memberi jaminan atas sesuatu perkara yang tidak mempunyai kepastian.
Kedua, skim-skim ini menawarkan jumlah keuntungan tetap yang tinggi jika dibandingkan dengan tabung-tabung pelaburan yang ditawarkan oleh institusi-institusi pelaburan dan kewangan berlesen di negara ini. Tawaran keuntungan yang dijanjikan adalah berkali-kali ganda berbanding modal asal yang dilaburkan berserta bersifat bulanan, mingguan bahkan ada yang harian. Sebagai contohnya, pelaburan dengan jumlah RM5000 akan memperolehi pulangan sebanyak RM200 pada setiap bulan selama mana modal/pokok tidak dikeluarkan. Jumlah RM5000 tersebut akan digunakan oleh pihak syarikat untuk urusan perniagaan yang hasil daripada perniagaan tersebut akan dikongsi bersama pelabur. Contoh lain yang mempunyai lebih aksesori dan kosmetik iaitu syarikat menawarkan pembelian emas yang lebih rendah berbanding harga pasaran. Katakan harga yang ditawarkan ialah RM100 segram dengan minimum pembelian 100 gram, maka jumlah keseluruhan yang perlu dibayar ialah RM10,000 dan ianya adalah lebih rendah berbanding harga pasaran. Emas yang dibeli tadi akan disimpan oleh penjual untuk diniagakan dan pembeli akan mendapat pendapatan mingguan yang tetap selama mana ianya disimpan dan diniagakan oleh penjual tadi. Jumlah pendapatan mingguan yang ditawarkan adalah tinggi dan lumayan dan biasanya mengalahkan keuntungan menyimpan di Tabung Haji.
Ada juga yang menawarkan pakej umrah dengan kos RM500 sahaja. Dengan kos ini peserta layak untuk menunaikan umrah selepas lima (5) tahun daripada tarikh pembayaran dibuat. Pakej sebegini adalah amat berisiko kerana tempoh yang lama akan menyebabkan pelbagai kemungkinan boleh berlaku ditambah dengan kos yang disumbangkan jauh lebih rendah daripada kos sebenar satu-satu pakej umrah. Pada asasnya, tawaran sedemikian adalah bagi membolehkan pihak syarikat untuk mendapatkan tunai semata-mata daripada orang rama.
Sidang Jumaat sekelian
Ciri ketiga untuk mengenal pasti skim-skim cepat kaya ialah dengan memerhatikan sama ada ianya mempunyai kelulusan bank negara ataupun tidak. Sekiranya tidak, maka hendaklah kita mengelakkan diri daripada membuat apa-apa bayaran. Ini adalah kerana tanpa lesen daripada bank negara maka hak pembeli adalah berbahaya kerana tiada undang-undang khusus yang akan menjaga mereka, sekiranya duit yang dilaburkan hilang ataupun hangus maka tiada sesiapa pun yang bertanggungjawab di atas kehilangan tersebut.
Ciri yang keempat di dalam mengenalpasti skim-skim cepat kaya ialah bahawa pelaburan ini adalah dijamin kukuh dan tanpa gagal. Gambaran yang dibuat oleh syarikat-syarikat ini adalah cukup menarik hinggakan ramai yang tertawan dan akur untuk turut serta melabur. Orang ramai telah dikaburi bahawa pelaburan yang dibuat adalah pasti tidak rugi dan 'confirm' menguntungkan. Ditambah lagi dengan bukti-bukti keuntungan yang telah dikecapi oleh mereka yang terdahulu yang menyertai pelaburan tersebut melalui penyata-penyata bank dengan jumlah baki yang berpuluhan ribu ringgit, kereta-kereta mewah seperti BMW dan Mercedes serta gambar-gambar percutian mewah yang telah dilawati.
Sidang Jumaat sekelian, ketahuilah bahawa lambang-lambang kemewahan tersebut hanyalah manisan untuk menarik semut, serta madu untuk menjemput lebah yang dengannya ramai akan terkorban. Ianya adalah kepalsuan, hanya mereka yang beberapa kerat sahaja mampu memiliki harta tersebut.
Sidang Jumaat sekelian,
Ketahuilah bahawa Islam tidak menolak kecantikan. Bahkan Allah menyukai kecantikan sebagaimana hadith Rasulullah SAW yang dipetik daripada Imam Muslim yang berbunyi:
إن الله جميل يحب الجمال
Yang bermaksud : Sesungguhnya Allah itu cantik dan Dia sukakan kecantikkan.
Islam juga tidak menolak sifat manusia yang sukakan harta benda, kecantikkan dan keenakan kehidupan didunia ini sebagaimana firmanNya yang berbunyi :
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
Yang bermaksud : Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
Sidang jumaat yang dikasihi Allah sekelian,
Ketahuilah bahawa Islam membenarkan jual beli dan mengharamkan riba. Di dalam jual beli yang dibenarkan syarak, Islam meletakkan antaranya kemungkinan sesuatu perniagaan itu untuk untung ataupun rugi atau disebut sebagai al-ghunm bi al-ghurm. Andai kata sesuatu perniagaan itu dibuat dengan andaian bahawa tiada kerugian yang akan berlaku, maka ia adalah berlawanan dengan konsep ini. Jaminan keuntungan yang melampau tanpa diendahkan sebarang kemungkinan terhadap kerugian adalah termasuk di dalam perkara sebegini, dan akhirnya mereka akan berada di dalam kerugiaan.
Kaedah kelima pula ialah bahawa ianya akan ditawarkan oleh sanak saudara yang terdekat yang telah terkena dengan skim ini. Mereka yang telah terlibat akan cuba sedaya mungkin untuk mempengaruhi mereka yang terhampir dikalangan sanak saudara dan sahabat handai untuk turut menyertai skim ini. Kaedah ini akan berterusan daripada satu saudara kepada saudaranya yang lain dan daripada seorang sahabat kepada sahabat yang lain.
Kaedah keenam pula ialah dengan menjenamakan skim yang diitawarkan sebagai yang pertama dan belum ada lagi kaedah yang serupa. Pada kebiasaannya, penganjur-penganjur skim ini akan menggunakan istilah yang utama dan pertama sebagai kaedah pemasarannya. Ini adalah kerana dengan penjenamaan demikian ia dapat mengelakkan daripada dikenali sebagai skim yang bermasalah yang pada kebiasannya penganjur skim yang baru adalah merupakan penganjur yang sama dengan penganjur sedia ada. Penjenamaan yang baru ini adalah bagi menyembunyikan identiti penganjur asal yang bermasalah dan membolehkannya untuk mengembangkan skim yang baru tanpa dikaitkan dengan skim cepat kaya yang telah dibuatkan sebelum ini.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Berhati-hatilah dengan jenis pelaburan yang ingin disertai kerana di atas wang ringgit yang kita miliki terdapat hak-hak dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Ketahuilah bahawa kita tidak mempunyai hak mutlak di atas wang ringgit yang dimiliki. Ianya adalah amanah yang disinggahkan Allah kepada kita dengan tujuan untuk menguji keupayaan kita di dalam menguruskannya. Pada harta tersebut terdapat hak-hak mereka yang di bawah jagaan kita, sekiranya harta tersebut tidak dibelanjakan secara sepatutnya hinggakan ia hilang dan hangus, maka kita sebagai orang yang bertanggungjawab akan dipersoalkan Allah Azzawajalla. Andaikata kita gagal untuk menguruskan tanggungjawab yang telah disinggahkan ini maka kita tidak mempunyai hak untuk tidak berpuas hati sekiranya ia ditarik dan diberikan kepada orang lain.
Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 270 berbunyi:-
وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ نَفَقَةٍ أَوْ نَذَرْتُمْ مِنْ نَذْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُهُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ
Ertinya : Apa sahaja yang kamu nafkahkan (belanjakan) dan apa sahaja yang jamu nazarkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. Dan tidak ada seorang pun penolong bagi orang-orang yang zalim.
Wal'iyazubillah, kita memohon kepada Allah untuk berlindung daripada termasuk di dalam golongan yang zalim di dalam menguruskan harta yang telah dianugerahkan ini.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Marilah sama-sama kita mengambil iktibar dan berhati-hati di dalam pengurusan harta yang telah dianugerahkan Allah kepada kita kerana tanggungjawab pengurusan harta termasuk juga di dalam bab ketaatan kepada Allah. Manakala, mana-mana perbelanjaan yang dilakukan pada kemungkaran serta pembaziran adalah merupakan satu jenis kemaksiatan yang akan menjauhkan diri manusia daripada Allah Azzawajalla.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
الأعراف : Ayat 31

Terjemahannya : Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah disetiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan


No comments: