Showing posts with label Anak-anak. Show all posts
Showing posts with label Anak-anak. Show all posts

Friday, September 12, 2014

Ayah yang Macho adalah Ayah yang Lembut

"Sesiapa yang tidak mengasihani tidak akan dikasihani"

Seorang lelaki yang ‘macho’ mungkin dinilai pada wajahnya, ketampanannya, ketegasannya atau karismanya. Wajah yang handsome yang menjadi igauan ramai, ketampanan yang seakan-akan lelaki Melayu perkasa yang terakhir pada zaman ini dan ketegasan dan kebengisan yang seolah-olah semut pun takut untuk bertutur dengan kehadiran dia. Sekiranya ini yang ditafsirkan sebagai lelaki ‘macho’ maka dunia ini akan menjadi keras, kontang dengan lemah lembut dan kering daripada kasih sayang. Kerana itu, Nabi SAW telah memberikan contoh yang mengagumkan di tengah-tengah ke’macho’an kaumnya dengan menjadi insan yang lemah lembut kepada kanak-kanak dan menghormati kepada para wanitanya. Nabi SAW pernah mencium cucundanya Alhasan Bin Ali dan pada masa itu terdapat sahabatnya yang bernama Al-Aqra’ Bin Habis AlTamimi, berkata Al-Aqra’ “Sesungguhnya aku mempunyai 10 orang anak, tidak pernah aku menciumi seorangpun daripada mereka.” Kemudian Rasulullah SAW memandang kepadanya kemudian berkata "من لا يرحم لا يرحم" – Sesiapa yang tidak mengasihani tidak akan dikasihani.

Hadis di atas cukup untuk menjelaskan bahawa seorang lelaki ‘macho’ sifatnya adalah lemah lembut dan berkasih sayang degan anak-anak. Tidak terlampau keras dan tidak terlampau garang. Ada yang berkata, ‘aku sayang kepada anak-anak, tetapi aku tak nak tunjuk sebab aku nak mereka takut dan gerun dengan aku’. Andai kata-kata ini benar, mustahil untuk Rasulullah SAW mencium cucunya di hadapan Al-Aqra’. Namun Rasulullah SAW melakukannya tanpa berselindung dan sembunyi-sembunyi. Tiada aib dan tidak menjatuhkan martabat seorang lelaki. Rasa takut anak-anak bukan penyebab untuk menjadikan mereka lebih berakhlak dan lebih pandai, namun rasa takut mampu untuk menjadikan mereka seorang yang hipokrit dan berpura-pura. 

Anak-anak mempunyai hati yang lurus dan lembut. Sekiranya yang lembut ini sentiasa dikasari dan dimarahi, lambat laun yang lurus akan menjadi bengkok dan yang lembut akan bertukar keras. Lihatlah bagaimana getah yang lembut bila sentiasa dipanaskan, lama kelamaan, ia akan bertukar menjadi keras. 

Namun untuk menjadi lemah lembut tidak bermakna perlu mengabaikan ketegasan kerana seorang ayah yang baik adalah merupakan pemimpin yang disayangi kerana ketegasannya dan kebaikannya. Islam mengajar untuk ayah bertindak tegas dengan menyuruh anaknya solat ketika berumur 7 tahun dan memukulnya ketika berumur 10 tahun. Namun pukulan ini adalah bukan pukulan yang mencederakan tetapi ia adalah pukulan untuk mendidik dan mengajar, 

Monday, November 11, 2013

Ayuh Meredhai Anak-Anak

Sungguh bertuah seorang anak yang masih mempunyai ibu kerana doa si ibu kepada si anak adalah doa yang diberkati.

Pernah terbaca satu cerita di mana seorang ibu tua berkata kepada anaknya

'Aku bimbang sekiranya aku mati, siapakah lagi yang akan mendoakan kamu'

Subhanallah, keramat sekali kata si ibu itu, andai doa ibu kepada si anaknya adalah doa yang dirahmati maka sungguh beruntung anak itu empunya ibu sedemikian, ibu yang sentiasa meredhai anaknya.
Sesungguhnya keredhaan ibu ini adalah satu rahmah dan selari dengan hadith ini.

عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنهما قال :قال رسول الله صلي الله عليه وسلم :"رضا الله في رضا الوالدين، وسخط الله في سخط الوالدين "

Hadith ini dinyatakan oleh At-Tirmidhi dan dinilai sahih oleh Alhibban dan Alhakim.

Ianya bermaksud, Keredhaan Allah adalah pada keredhaan kedua ibu bapa dan kemurkaan Allah adalah pada kemurkaan kedua ibu bapa..

JADI PARA IBU DAN AYAH SEKELIAN, AYUH KITA MEREDHAI ANAK-ANAK KITA BERDASARKAN KEREDHAAN ISLAM