Showing posts with label Belajar. Show all posts
Showing posts with label Belajar. Show all posts

Monday, August 24, 2015

Berpijak Pada Dasar


 "sebaik-baik pengajar ialah pengalaman dan seburuk-buruk pelajar ialah yang tidak pernah belajar daripada pengalamannya"

Andai kepala sentiasa mendongak ke atas maka sering kali di mana kaki dipijak tidak disedari. Pandang ke atas lambang kemegahan dan tinggi angan-angan. Cuba mencari apa entah tiba entah tidak. Tidak dipedulikan dengan yang bawah sehinggakan tidak terperasan kewujudan kaki yang melangkah. Tidak sedar bahawa dalam hidup yang menggerakkannya adalah sang kaki yang sentiasa berpijak pada tanah yang nyata. Dilupai sang kaki yang sentiasa mengikut dan melangkah tanpa nampak dan pandang. 

Yang dikira dan dihitung hanya apa yang dijangka akan jatuh atau turun. Namun, apa yang dilangkah atau dipijak tidak dihirau dan tidak dipeduli. Terlampau sangat dibuai angan-angan hinggakan kematu si kaki tidak dipeduli dan lenguh si betis tidak dihirau.

Ada ketika dia selamat tanpa jatuh dan banyak ketika tersembam tersungkur. Kerana patuh dan setia si kaki akur dengan arahan, tidak melawan dan tidak engkar. Disuruh lari dia lari, disuruh berdiri dia berdiri. Ketika tersadung dibiar terlanggar kerana kaki tidak punya mata. 

Ada yg selepas terjatuh, dia tunduk berhati-hati melangkah dan melangkah. Ada juga yg selepas terjatuh masih terdongak mencari punca jatuhnya di atas dengan andaian terjatuhnya dia kerana ditolak atau ditiup. 

Selepas sakit dia belajar, selepas gagal dia belajar, selepas kalah dia belajar, selepas kecewa dia belajar. Itulah cara insan berakal kerana sebaik-baik pengajar ialah pengalaman dan seburuk-buruk pelajar ialah yang tidak pernah belajar daripada pengalamannya.

Tersepak dan tersadung adalah lumrah kehidupan sebagai insan. Insan berakal akan tunduk mencari punca tetapi insan bernafsu hanya berpusing untuk menuduh dan meluru....

hashim
24082015

Monday, May 04, 2015

Bodoh Macam Lembu


"Marah mampu menukar tujuan mendidik tadi kepada perasaan benci dan geram. Seterusnya menghilangkan keikhlasan serta menerbitkan dendam dan buruk sangka." - Has 
Pada situasi yang berlainan, saya masih ingat peristiwa yang berlaku hampir dua puluh (20) tahun yang lalu iaitu ketika saya masih lagi di bangku sekolah. Saya berada di dalam kelas yang ke semuanya ialah pelajar lelaki. Kami agak aktif hinggakan kelas kami pernah dilabel sebagai kelas terbising di Malaysia. Oleh kerana masih naif maka kami tidak pernah bertanya tentang kesahihan gelaran tersebut.
Debat mulut, kejar mengejar, 'game empire', gelak ketawa dan banyak lagi aktiviti lain yang sememangnya menjadikan kelas kami begitu unik. Hinggakan kami merasa begitu rugi untuk tidak menghadiri diri ke sekolah walaupun satu hari. Keunikan ini juga menyebabkan tali silaturrahim kami sentiasa erat hingga kini walaupun telah puluhan tahun meninggalkan bangku sekolah.
Pada suatu hari dalam hari-hari yang unik, kelas kami begitu bising disebabkan guru yang mengajar tidak hadir pada hari tersebut. Beberapa kali dinding depan diketuk oleh jiran kelas untuk mengingatkan agar tidak bising dan mengganggu proses pembelajaran mereka. Namun ketukan tersebut tidak mampu untuk memberikan peringatan kerana tahap kebisingan kami melangkaui tahap bunyi ketukan tersebut.
Akibatnya, guru yang mengajar kelas tersebut muncul di depan kelas kami. Beliau sebelum ini terkenal dengan lemah lembut, sopan santun di dalam tutur kata serta lunak merdu di dalam berbahasa, kini kelihatan sungguh berlainan. Wajahnya merah padam, matanya tajam, mulutnya ketat, dan tubuhnya sedikit menggigil. Bahasa badanya sudah cukup untuk membuatkan kami faham bahawa amarahnya sudah berada pada tahap maksimum. Kami semua diam dengan jangkaan 'habislah kami kali ni'.
Marahnya tidak terhenti di situ, dia melangkah masuk ke dalam kelas dengan memberikan ucapan yang amat berbekas pada hati-hati kami hingga ke kini. Guru itu berkata "Apa nak jadi dengan kamu ni? Kenapa kamu tidak punya 'common sense'? bukankah di sekolah ni tempat untuk orang belajar? Kenapa kamu buat sekolah ni macam kandang lembu? KAMU SEMUA NI BODOH MACAM LEMBU.."
Kami terkedu dengan ayat terakhir yang terpancul dari mulut guru tersebut. Lebih terasa apabila diamati makna perkataan bodoh dan lembu yang disatukan. Kami amat terasa hinggakan ada di antara kami yang bernekad untuk membuktikan bahawa kami tidak bodoh. Namun, perasaan takut dan hormat yang masih kami miliki menyebabkan tiada seorang pun dikalangan kami yang bangun untuk melawan ataupun memberikan penjelasan. Kami akur bahawa kami silap.
Kenangan ini sungguh pahit kerana ia menyebabkan tercatat di dalam lembaran sejarah kehidupan saya tentang tanggapan dan gelaran hitam. Ia menyebabkan rekod murni sedikit terpalit dan menggoyahkan sedikit keyakinan.
Tidak salah untuk seorang guru memarahi anak murid sekiranya ia dibuat dengan tujuan mendidik. Namun, hendaklah dibuat dengan berhati-hati kerana marah itu menghampirkan kita kepada syaitan. Marah mampu menukar tujuan mendidik tadi kepada perasaan benci dan geram. Seterusnya menghilangkan keikhlasan serta menerbitkan dendam dan buruk sangka. Buruknya terkena bukan hanya kepada mangsa tetapi juga kepada pemarah.
Oleh kerana itu, para guru dan pendidik serta sekelian umat Islam, kita hendaklah sentiasa menjaga amarah agar bara tidak bertukar menjadi api yang bukan setakat mampu menghanguskan yang lain tetapi juga turut menghancurkan tuannya menjadi debu. Ambillah iktibar daripada hadith Rasulullah SAW yang berbunyi:-
Daripada Sulaiman bin Shurad (semoga Allah meridhainya) beliau berkata : ''aku pernah duduk bersama Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam ,sementara dua orang lelaki saling mencaci, salah satu dari keduanya memerah mukanya (karena marah ) dan naik darah, maka Rasulullah (SAW) berkata : ''sesungguhnya aku mengetahui satu kalimat, seandainya dia mengucapkannya niscaya akan hilang rasa marah yang ia dapati,seandainya ia mengucapkan :

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
''aku berlindung kepada Allah dari (bisikan)syaithan yang terkutuk''.
Niscaya akan hilang rasa marah yang ia dapati. Maka mereka (sahabat) berkata kepadanya :'' Sesungguhnya Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda : ''Mintalah perlindungan kepada Allah dari (bisikan ) syaithan yang terkutuk''.

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.

Wednesday, February 06, 2013

Tahajjud Senjata Pelajar Muslim


Tahajjud adalah merupakan salah satu ibadah sunnah utama yang dicanangkan Rasulullah SAW kepada ummahnya untuk diusahakan. Ianya bermula sesudah solat isya’ sehingga masuknya fajar subuh, namun waktu yang terbaik untuk dilaksanakan adalah pada sepertiga terakhir malam. Waktu ini adalah waktu kemuncak ketenangan buat ramai orang dan ianya adalah ruang yang amat lunak untuk seorang hamba berbicara, bermunajat, berzikir dan bertadabbur mengenai ciptaan dan hikmah Allah SWT.

Mengulangkaji dan mendalami ilmu yang mahmudah juga termasuk di dalam mentadabbur dan berfikir mengenai ciptaan Allah SWT. Namun ibadah khusus seperti solat tahajjud dan witir hendaklah didahulukan kerana ianya adalah sebahagian amalan sunnah Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya:-

Hadith marfu’ (hadith yang sanadnya terus kepada Rasulullah SAW), diperkhabarkan oleh Jarir, daripada Abd Malik bin Umair, daripada Muhammad bin Muntashir, daripada Hummaid Bin Abd Rahman, daripada Abu Hurairah, sesungguhnya (Rasulullah SAW) ditanya: apakah solat yang lebih afdal selepas daripada solat fadhu dan apakah puasa yang lebih afdal selepas daripada puasa pada bulan Ramadhan: maka (Rasulullah SAW) bersabda : Sebaik-baik solat selepas solat fardhu ialah solat (tahajjud) seorang lelaki di tengah malam, dan sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Muharram.

Andai kita terpilih untuk sedar dan bangun ditengah malam dan sebaik-baiknya disepertiga akhir malam, maka alangkah baik untuk kita mengamalkan ibadah ini. Sebahagian besar para ahli agama (Islam) mengamalkan ibadah ini dan impaknya akan dirasakan oleh pengamalnya insya Allah.

Indahnya Islam ini kerana pada waktu yang mustajab inilah minda kita berada dalam status yang segar dan bersedia untuk memproses maklumat-maklumat baru yang bakal diperolehi atau mengulangkaji proses-proses lama yang telah terdaftar di dalam minda selepas semalaman proses ‘resetting’ dilakukan semasa tidur. Keadaan yang ‘fresh’ dapat diperolehi sekiranya seseorang itu melakukan kesediaan yang betul iaitu dengan tidur lebih awal dan melakukan ‘deep sleep’ yang sepuas-puasnya.

Selain daripada usaha seseorang untuk mendapatkan ilmu, Allah SWT juga menyediakan ruang di sepertiga akhir malam tersebut untuk dia memohon apa sahaja kepada Allah SWT termasuk untuk memudahkan dirinya faham dan memperolehi ilmu yang bermanfaat. Rasulullah SAW juga turut bersabda :-

Maksudnya:-

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari di dalam sahihnya daripada hadith Abu Hurairah r.a. sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : Turun tuhan kita (Allah SWT) pada setiap malam ke langit dunia pada sepertiga akhir malam (dan) berfirman : sesiapa yang mendoakan kepada aku, maka aku perkenankannya, sesiapa yang memohon kepadaku, maka aku anugerahkannya, sesiapa yang memohon keampunan kepadaku, maka aku ampuninya, dan di dalam setengah riwayat (adakah daripada pemohon taubat, maka aku ampuninya) dan di dalam yang lain (sesiapa yang memohon rezeki daripada ku dan aku (berikan) rezeki padanya, sesiapa yang memohon untuk mengelakkan mudarat dan aku elakkannya, tambah (imam) Muslim, (sehingga datangnya fajar)