Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Sunday, August 11, 2013

Apa Lagi Selepas Raya

Pesta ibadah telah berlalu dan hari bahagia menyambut kemenangan dalam meraih pesta ibadah juga telah berlalu. Terdapat keseronokan dan keindahan khas bagi mereka yang memasuki dan meraikan pesta-pesta tersebut. Keindahan yang berupa kesinambungan daripada ibadah-ibadah yang dilakukan dan keikhlasan yang terpancul daripada tindakan ibadah yang dibuat semata-mata untuk mendapatkan keredhaan ilahi.

Di sepanjang ramadhan, para muslimin mukhlisin berjuang di dalam meraih segala ibadah yang tersedia yang dibuat berdasarkan peruntukan khas yang ditunjukkan dan diajarkan oleh Rasulullah SAW sebanyak mungkin. Ada yang menumpukan diri di dalam membanyakkan pembacaan Al-Quran, ada yang mengutamakan qiyamullail dan ada yang meningkatkan sedekah. Kata-kata nasihat diperbanyakkan dan kalimah buruk dan kejian dijauhkan.

Pada bulan ini, dapat digambarkan seolah-olah Islam yang bergerak dapat dilihat pada insan-insan yang mengamalkan Ramadhan. Bulan ini mendidik muslim untuk mengamalkan agama mereka secara menyeluruh dan pendidikan ini berlaku selama sebulan dalam setiap tahun. Dengan kata lain 8% daripada kehidupan manusia dalam setahun dipeuntukkan untuk mendidik jiwa dan fizikal mereka untuk menjadi insan muslim yang sempurna. Proses didikan wajib tahunan ini dibuat secara konsisten setiap tahun bermula dari aqil baligh hinggalah berakhirnya nyawa atau hilangnya keupayaan. Ini menggambarkan keindahan Islam di dalam menjadikan umatnya sebaik-baik umat, umpama satu organisasi yang terbaik biasanya dilengkapi dengan sistem latihan yang sempurna dan konsisten.

Setelah sempurna pesta ibadah, Islam tetap merahmati jiwa manusia yang empunya keinginan, diberinya pesta kegembiraan berdasarkan garisan dan batasan yang telah diperuntukkan untuk meraikan insan yang empunya jiwa. Di ketika itu, manusia akan menyambutnya dengan segala lafaz indah ketuhanan dengan merasa syukur di atas kejayaan. Namun kegembiraan itu tidak dipisahkan dengan nilai-nilai ketuhanan dan tidak dicampurkan dengan unsur-unsur syaitani. Segala batasan dijaga dan tidak melampau.

Sesudah kegembiraan, nah di sana, kesan pendidikan madarasah ramadhan akan bermula. Konsistensi kesungguhan beribadah akan tampak kepada mereka yang ikhlas semasa ramadhan. Jiwa yang lunak, kental dan berdaya tahan akan terpancul di dalam aktiviti hariannya. Dan segala tindak tanduk dan urusan harian dibuat secara kebergantungan terus dengan Ilahi dalam memperolehi keberkatan dan hidayahnya.

Walau bagaimanapun, calon yang gagal dalam madrasah ramadhan akan mengekalkan atau menjadi lebih buruk tindak tanduknya berbanding sebelum ramadhan. Dengan kata lain dirinya tiada mendapat manfaat daripada madrasah Ramadhan yang dihadirinya itu. Namun proses islah, taubat dan membaiki diri tidak terhad di dalam bulan Ramadhan semata-mata umpama sekolah, mungkin seseorang itu tidak berjaya di dalam sistem persekolahan normal namun dia masih lagi boleh berjaya di dalam kehidupannya.


Jadi sungguhpun Ramdhan telah berlalu, berusahalah bersungguh-sungguh demi penambahbaikan diri dari hari ke hari. Dan proses penambahbaikan yang berterusan adalah lebih utama demi kejayaan di masa mendatang di dunia dan di akhirat.

Monday, July 22, 2013

Tanggungjawab Puasa

Kewajipan berpuasa adalah sama dengan kewajipan bersolat di mana mereka yang muslim, beraqal dan aqil baligh adalah syarat utama yang mewajibkan seseorang itu untuk berpuasa. Dengan kata lain, anak kecil yang belum sampai had umur baligh adalah tidak dikenakan kewajipan untuk berpuasa. Namun, latihan berpuasa boleh dilakukan agar tidak berlaku kejutan setelah menjadi kefardhuan kepada mereka.

Latihan puasa untuk si muda boleh dilakukan secara bertatih, bermula dengan pemahaman adanya waktu bersahur dan adanya waktu berbuka. Pemahaman tentang berkumandangnya azan subuh bermakna sudah tidak boleh makan lagi dan azan maghrib bermakna boleh makan kembali. Pemahaman tentang curi-curi makan masa siang, atau curi-curi minum ketika wudhu akan membatalkan puasa sungguhpun mak dan ayah tidak mengetahuinya. Di samping belajar ibadah puasa, keimanan si muda tentang adanya Allah yang maha melihat dan maha mengetahui akan lebih kuat di mana mereka tidak akan makan dan minum sungguhpun tidak dilihat oleh kedua ibu bapa mereka.

Walau bagaimanapun, kekerdilan dari sudut jasmani mereka perlu diambil kira oleh ibubapa kerana ketahanan berpuasa bagi si muda adalah tidak sama dengan orang dewasa. Mereka ada batasan yang kekadang boleh memudaratkan kesihatan dan ibubapa tidak perlu merasa kecewa. Ibubapa perlu menjadi teliti dalam menilai kemampuan si muda kerana apabila keimanan sudah mula bertapak di dalam dirinya maka tidak berpuasa akan dirasa jengkel dan malu. Dengan perasaan itu, si muda akan enggan untuk berbuka. Tapi ibubapa perlu melihat mereka dengan kacamata kesihatan mengatasi ketaqwaan kerana untuk si muda berpuasa bukan kewajipan tapi galakkan.

Ibubapa hendaklah tidak merasa kecewa sekiranya si muda tidak dapat berpuasa kerana tiada dosa bagi mereka juga tiada dosa bagi ibubapa. Yang lebih penting di dalam melatih adalah kefahaman tentang hikmah, rahmat, kelebihan dan keutamaan berpuasa serta ramadhan itu sendiri. Agar makna ramadhan bukan difahami secara literal menahan lapar dan dahaga bermulanya tiba fajar hingga tenggelamnya matahari senja.

Tapi awas para ibubapa dalam melatih si muda kerana mereka adalah subur, dicampak bercambah dan ditanam berbuah. Tersalah benih benih maka tersalahlah buahnya. Pilihlah pengajaran agama buat si muda berdasarkan sumber yang betul, elakkan perkara yang tidak sahih dan tepat yang tidak di dasarkan kepada Al-Quran dan Sunnah. Dan Ramadhan inilah sekolah praktikal yang paling sesuai untuk mendidik si muda kerana suasananya dan keberkatannya.

Sunday, July 14, 2013

Puasa kerana iman

Dewasa puasa kerana iman, taqwa dan hidayah,

Iman dalam puasa ertinya percaya akan perintah Ilahi, tuhan sekelian alam. Hadir dalam dirinya perintah Ilahi yang dirinya tiada hak untuk menolak mahupun menafikan.

Taqwa dalam puasa ertinya beribadah kerana takutkan Allah azzawajalla, takut dicampakkan ke dalam neraka sekiranya perintah diabaikan.

Hidayah di dalam puasa adalah mendapat cahaya untuk melakukan ibadah atas kesedapan iman. Hidayah hadir dalam keadaan yang berbeza tapi serupa, berbeza keadaan dan masa tapi serupa pada hikmah dan manfaah.

Tapi ada juga dewasa yang puasa kerana malu, adat dan kebiasaan. Puasanya kosong, sirnanya tiada dan ganjarannya hanyalah lapar dan dahaga.

Tapi pelik pada puasa si kecil, bersungguhnya dia hingga ada yang bertahan dari gugur tapi ceria kembali selepas iftar.

Lentoknya mereka bagaikan menanti shahid tapi terus bertahan demi menyempurnakan bilangan, jernihnya wajah menahan jerih hingga tergambar sirna iman.

Aku pelik akan puasa si kecil kerana punca berpuasa tidak ku ketahui, mungkin iman dan juga mungkin takut.....dan mungkin juga benih iman sedang bertunasss...

Mengenali islam lebih jelas dengan click

Monday, July 08, 2013

Ramadhan Pesta Ibadah

Pesta ibadah akan bermula,

Kelebihannya banyak, keampunan Ilahi meluas dan pahala digandakan,
Disediakan bagi ahlinya Ar-Rayyan iaitu Pintu syurga yang hanya dimasuki oleh ahlinya sahaja,

Dianugerahkan ganjaran oleh Allah SWT secara langsung, ianya (puasa) perisai kepada Muslim, baunya mulut lebih baik dari haruman kasturi, dan setiap amalan didatangkan dengan gandaan.

Ramadhan mendatangkan dua (2) kebahagian kepada ahlinya iaitu kebahagian ketika berbuka/berhari-raya dan kebahagian ketika mengadap Allah SWT.
Ramadhan adalah pesta ibadah, pesta Al-Quran, pesta solah, pesta umrah, pesta zikir, dan pesta mendekatkan diri kepada Allah.

Peluang ibadah dibuka seluas-luasnya, modal adalah usaha, pemasaran boleh diabaikan, perakaunannya sudah dijamin dan yang penting ialah operasi.

Produk perlu dihasilkan dengan terbaik, tiada kecacatan dan tiada kesilapan. Output perlu dimaksimumkan, tiada sekatan kerana permintaan adalah maksimum. Titik pertemuan ‘demand and supply’ berada pada tahap tertinggi.

Jadi ayuh kita pelengkapkan diri ini untuk berPESTA……ayuh kita ROCKINGGGGG