Thursday, January 23, 2014
Bekerja Adalah Satu Ibadah
Monday, July 22, 2013
Tanggungjawab Puasa
Latihan puasa untuk si muda boleh dilakukan secara bertatih, bermula dengan pemahaman adanya waktu bersahur dan adanya waktu berbuka. Pemahaman tentang berkumandangnya azan subuh bermakna sudah tidak boleh makan lagi dan azan maghrib bermakna boleh makan kembali. Pemahaman tentang curi-curi makan masa siang, atau curi-curi minum ketika wudhu akan membatalkan puasa sungguhpun mak dan ayah tidak mengetahuinya. Di samping belajar ibadah puasa, keimanan si muda tentang adanya Allah yang maha melihat dan maha mengetahui akan lebih kuat di mana mereka tidak akan makan dan minum sungguhpun tidak dilihat oleh kedua ibu bapa mereka.
Walau bagaimanapun, kekerdilan dari sudut jasmani mereka perlu diambil kira oleh ibubapa kerana ketahanan berpuasa bagi si muda adalah tidak sama dengan orang dewasa. Mereka ada batasan yang kekadang boleh memudaratkan kesihatan dan ibubapa tidak perlu merasa kecewa. Ibubapa perlu menjadi teliti dalam menilai kemampuan si muda kerana apabila keimanan sudah mula bertapak di dalam dirinya maka tidak berpuasa akan dirasa jengkel dan malu. Dengan perasaan itu, si muda akan enggan untuk berbuka. Tapi ibubapa perlu melihat mereka dengan kacamata kesihatan mengatasi ketaqwaan kerana untuk si muda berpuasa bukan kewajipan tapi galakkan.
Ibubapa hendaklah tidak merasa kecewa sekiranya si muda tidak dapat berpuasa kerana tiada dosa bagi mereka juga tiada dosa bagi ibubapa. Yang lebih penting di dalam melatih adalah kefahaman tentang hikmah, rahmat, kelebihan dan keutamaan berpuasa serta ramadhan itu sendiri. Agar makna ramadhan bukan difahami secara literal menahan lapar dan dahaga bermulanya tiba fajar hingga tenggelamnya matahari senja.
Tapi awas para ibubapa dalam melatih si muda kerana mereka adalah subur, dicampak bercambah dan ditanam berbuah. Tersalah benih benih maka tersalahlah buahnya. Pilihlah pengajaran agama buat si muda berdasarkan sumber yang betul, elakkan perkara yang tidak sahih dan tepat yang tidak di dasarkan kepada Al-Quran dan Sunnah. Dan Ramadhan inilah sekolah praktikal yang paling sesuai untuk mendidik si muda kerana suasananya dan keberkatannya.
Sunday, July 14, 2013
Puasa kerana iman
Dewasa puasa kerana iman, taqwa dan hidayah,
Iman dalam puasa ertinya percaya akan perintah Ilahi, tuhan sekelian alam. Hadir dalam dirinya perintah Ilahi yang dirinya tiada hak untuk menolak mahupun menafikan.
Taqwa dalam puasa ertinya beribadah kerana takutkan Allah azzawajalla, takut dicampakkan ke dalam neraka sekiranya perintah diabaikan.
Hidayah di dalam puasa adalah mendapat cahaya untuk melakukan ibadah atas kesedapan iman. Hidayah hadir dalam keadaan yang berbeza tapi serupa, berbeza keadaan dan masa tapi serupa pada hikmah dan manfaah.
Tapi ada juga dewasa yang puasa kerana malu, adat dan kebiasaan. Puasanya kosong, sirnanya tiada dan ganjarannya hanyalah lapar dan dahaga.
Tapi pelik pada puasa si kecil, bersungguhnya dia hingga ada yang bertahan dari gugur tapi ceria kembali selepas iftar.
Lentoknya mereka bagaikan menanti shahid tapi terus bertahan demi menyempurnakan bilangan, jernihnya wajah menahan jerih hingga tergambar sirna iman.
Aku pelik akan puasa si kecil kerana punca berpuasa tidak ku ketahui, mungkin iman dan juga mungkin takut.....dan mungkin juga benih iman sedang bertunasss...
Mengenali islam lebih jelas dengan click

