Showing posts with label Taubat. Show all posts
Showing posts with label Taubat. Show all posts

Sunday, February 16, 2014

Bersyukur

Syukur petanda orang yg cukup,
Syukur alamat berterima kasih,
Syukur datang dari orang yang tahu menilai,

Syukur adalah dengan melihat orang yg di bawah,
Kerana selalu pandang ke atas,
Takut nanti tersadung jatuh,

Syukur jangan tunggu waktu,
Syukur jangan tunggu banyak,
Syukur pada setiap sesuatu,
Syukur pada setiap waktu,

Syukur membina tawadhuk,
Syukur melahirkan keikhlasan,
Syukur membangunkan tawakkal,
Syukur mewujudkan qana'ah,

Syukur dalam ujian adalah sabar,
Syukur pada musibah adalah redha,
Syukur pada nikmat adalah berkongsi,
Syukur dari kejahatan adalah taubat,

Ayuhlah bersyukur....alhamdulilah...alhamdilillah...

Monday, November 25, 2013

Nikmat Selepas Niqmah

Kini  quran begitu sayu bila mata sudah layu,
Kini qiyam dirasa #hebat bila solat hanya di kerusi,
Kini sujud dirasa indah bila kepala tidak mampu direbahkan,
Kini quran hanya di telinga bila mata sudah terpinga,


Tapi #syukur kerana sedar sebelum tersandar,
Syukur kerana di kerusi sebelum di sisi,
Syukur kerana mampu #sujud sebelum tersungkur sujud,
Syukur kerana selepas #mata ada telinga,

Wahai diri,
Hayatilah #nikmat sebelum niqmah,
Agar nikmat mengajar syukur,
Agar niqmah penghalang dosa,
Agar peringatan membina #iman.

Wednesday, November 06, 2013

Kaedah Taubat

Para ulama menghukumkan taubat sebagai wajib ke atas segala jenis dosa (Riyadussalihin). Dosa adalah kesan langsung bagi setiap kesilapan yang dilakukan oleh manusia di mana kesilapan tersebut boleh terbahagi kepada dua (2) iaitu sesama manusia dan juga dengan Allah semata-mata.

Sekiranya dosa itu hanya dengan Allah SWT maka terdapat 3 pra syarat yang perlu dilakukan bagi memastikan taubat tersebut diterima. Pra syarat tersebut ialah :

(a) memutuskan perhubungan dengan maksiat tersebut.

(b) penyesalan di atas kelakuan maksiat tersebut.

(c) berazam utk tidak mengulangi maksiat yang telah dilakukan.

Sekiranya gugur salah satu daripada pra syarat di atas maka taubat tersebut adlah tidak sempurna.

Sekiranya dosa tersebut adalah melibatkan pihak makhluk, maka syarat ke 4 yang perlu dipenuhi ialah untuk mendapatkan kemaafan daripada tuannya. 

Friday, August 30, 2013

Taubat, Dosa dan Taubat

Taubat bermakna kekesalan dan keinsafan terhadap kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan. Kesilapan akan menjauhkan manusia dari garisan kebenaran dan taubat adalah mengembalikan manusia kepada garisan tersebut. Penyesalan akan menjadi penyedar bagi wujudnya rasa untuk kembali, manakala taubat pula adalah aktiviti untuk mengembalikan diri kepada garisan kebenaran.

Apabila seseorang itu melakukan kesalahan dan dia sedar dengan kesalahannya maka di sana masih terdapat peluang untuk dirinya kembali kepada jalan yang benar. Namun jika kesalahan yang dilakukan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada dirinya bahkan mungkin dilakukan kesalahan itu dengan kebanggaan dan kemegahan, maka sirna iman agak jauh. Walau bagaimanapun Allah SWT Maha Pengampun dan Pemberi Hidayah, diberinya hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya dan digelapkan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Maka berbahagialah bagi mereka yang sedar tentang kesalahan yang telah dilakukan kerana bersama dengan kesedaran itu adalah sirna-sirna keimanan.

Berdasarkan firman Allah yang bermaksud :-

“Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal” (Surah Ali ‘Imran: 135-136).

Pra-syarat kepada taubat adalah :-

  1.  Penyesalan dan kesedaran, di mana kedua-dua (2) perkara ini akan menyebabkan dia memohon ampun kepada Allah SWT, di mana hanya Allah SWT sahaja yang mampu mengampunkan segala dosa.
  2.  Dia hendaklah mengetahui tentang kesalahannya.
  3.  Hendaklah dia berazam untuk tidak mengulangi kesalahan-kesalahan yang telah dlilakukan.


Islam tidak mensyaratkan ‘confession’ atau pengakuan kesalahan di depan para guru atau mana-mana makhluk di dalam melakukan taubat. Taubat yang dilakukan adalah secara terus tanpa adanya pengantara yang menghubungkan seorang manusia dengan Tuhannya. Tunjang ke atas taubat ini adalah keikhlasan di mana taubat yang ikhlas, insya Allah akan diterima Allah SWT. Penerimaan taubat oleh Allah SWT akan mengampunkan segala kesalahan yang telah dilakukan.

Islam mengiktiraf kelemahan manusia di mana seringkali taubat yang ikhlas juga turut tercicir dengan berulangnya kesalahan lampau setelah taubat disempurnakan. Kesalahan yang berulang ini akan diampunkan sekiranya ia disusuli dengan taubat ikhlas yang bersungguh.

Alangkah beruntungnya andai kematian datang menjemput dikala selesainya taubat yang ikhlas dan bersungguh itu. Dan alangkah ruginya, jika ia datang dikala kemaksiatan sedang dilakukan dan ingatlah tiada siapa yang empunya ‘tahu’ tentang waktu kematian.

Rasulullah SAW ada bersabda :-

“Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadith di atas menggambarkan :-
  1.  Betapa besarnya rahmat keampunan Allah SWT kepada hambanya di mana tiada had maksimum di dalam melakukan taubat. Setiap kesalahan yang disertakan taubat tetap akan diampunkan Allah SWT.
  2.  Hadith ini BUKAN bermaksud untuk menggalakkan manusia melakukan kesalahan, namun setiap kesalahan hendaklah disertakan dengan taubat kepada Allah SWT.

Janganlah berputus asa di dalam melakukan taubat, baik dosa yang dilakukan itu besar mahupun kecil, acap dan kerap mahupun jarang-jarang, maka tetaplah bertaubat, kerana pintu taubat sentiasa terbuka. Taubat seorang Muslim akan diterima selama mana nyawanya belum sampai ke halkum. Rasulullah SAW bersabda :-


“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Thursday, August 15, 2013

Sibuk kerana Allah

Saban hari, kita sibuk dengan temujanji dengan ramai orang, ada orang penting, orang mashur, orang kebiasaan dan macam-macam.

Bila sibuk, masa tidak cukup, rasa segalanya mungkin boleh selesai andai masa dapat diheret.

Semuanya berlaku hampir pada  semua manusia. Tapi, diri ini kagum dengan dua insan yang bernama allahyarham mahyidin dan allahyarhamah rokiah hj ahmad.

Kagum kerana mereka juga sibuk semasa hayatnya.

Sibuk memenuhi masa untuk bekalan selama-lamanya bukan bekalan sementara yang luput,

Sibuk bagi yang memiliki segala kesempurnaan bukan sibuk dengan yang memiliki segala kekurangan,

Sibuk dalam mengesakan segala tawajjuh bukan sibuk dengan segala kekalutan,

Sibuk berurusan dengan Pencipta bukan sibuk dengan makhluk yang dicipta.

Alhamdulillah diberi peluang untuk mendengar di saban dinihari bunyi tawajjuh mereka mengadap ilahi di dalam setiap sujud dan rukuk mereka memenuhi tuntutan tahajjud dan witir....

Allahummaghfirlahuma....

Thursday, May 02, 2013

Taubat Pengubat Jiwa


Janganlah berputus asa di dalam taubat, sungguhpun taubat sering berganti maksiat. Kerana taubat penanda kesal dan akur akan kesalahan.

Bertaubatlah dengan taubat nasuha dan berazamlah untuk tidak mengulangi maksiat. Andai ianya berulang maka bertaubatlah dengan segera dan kembalilah berazam untuk tidak mengulanginya. Dan andai ianya terus berulang maka ulangilah kaedah bertaubat itu dan janganlah berputus asa.

Taubat penyuci dosa, pintu keluar daripada kejahatan dan pelepas daripada segala kesempitan. Taubat bukan imbauan kesilapan tapi taubat adalah pemadam kepada kesalahan.

Dengan taubat kesalahan tidak terungkit, walau mungkin segar dalam ingatan manusia tapi luput dari catatan amalan.

عن عبد الله بن عباس رضي الله عنهما قَال : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ( مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا ، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا ، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ) رواه أبو داود (1518) وابن ماجه (3819) ، وأحمد في "المسند" (1/248) ، والطبراني في "المعجم الأوسط" (6/240)، والبيهقي في "السنن الكبرى" (3/351) ، وغيرهم

Daripada Abdullah bin Abbas r.a. telah berkata: Berkata Rasulullah SAW : (Sesiapa yang melazimkan ‘istighfar’, Allah SWT akan menjadikan kepadanya pelepasan daripada kesempitan, pelepasan daripada tekanan/kesedihan dan direzekikan daripada (sumber-sumber) yang tidak dijangka). Hadith ini dikira dhaif oleh beberapa ulama’ hadith seperti Al-Albani, Az-Zahabi dan Al-Bughawi disebabkan di dalam sanadnya terdapat Alhakam Bin Mus’ab. Tetapi dianggap makbul (boleh diterima) pada maknanya.