Saturday, August 23, 2014

Peranan Aqal

Aqal peranannya adalah untuk tadabbur, memerhati dan berfikir. Alangkah ruginya jika empunya aqal membiarkan ia tanpa dipergunakan.
Ibnu Al-Jauzi mempersendakan golongan ini dengan memperkatakan:
"لأنه خلق للتدبر والتأمل، وقبيح بمن أعطي شمعة يستضء بها أن يطفئها ويمشي في الظلمة"
Kerana aqal diciptakan untuk bertadabbur dan memerhati, dan sungguh teruk bagi sesiapa yang diberikan lilin bagi (memanfaatkan) cahayanya, lalu dipadamkan cahaya tersebut lalu berjalan di dalam kegelapan.
Aqal adalah anugerah Allah azzawajalla yang diberi secara percuma kepada setiap insan yang sempurna. Ia tidak bermodal dan tidak berbayar. Sifatnya pula amat reletif kepada jenis penggunaan, semakin aktif digunakan semakin kuat kekenyalannya. Kerana itulah kita dapat melihat ada insan yang kuat hafalannya dan kreatif analisisnya.
Aqal yang tajam mampu melahirkan insan pemikir yang dengannya akan wujud ketamadunan. Ketamadunan yang merubah insan daripada satu peringkat yang kurang kepada yang ada dan daripada yang ada kepada yang lebih berada. Merubah insan daripada kehidupan tanpa rasa kepada kehidupan yang penuh pencerahan.
Namun aqal perlu dipandu dan ia tidak 'absolute' serta terhadnya. Keterbatasan ini menjadikan manusia perlu kepada sumber yang lain yang membolehkan dia menampung segala kekurangan ini. Allah Azzawajalla yang telah menjadikan manusia ini tidak membiarkan mereka tanpa panduan dan lantas Allah menganugerahkan mereka dengan Rasulullah SAW dan Al-Quran sebagai pedoman dan petunjuk.
Sumber wahyu dengan aqal yang waras akan memandu manusia kepada kebahagiaan dunia dan kebahagiaan di akhirat.

No comments: