Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Tuesday, April 17, 2018

Ciri-Ciri Pemimpin Yang Perlu dipilih

Kepimpinan adalah teras hidup bermasyarakat. Dengannya kita bergantung untuk diletak harap akan segala keperluan dan kehendak. Dinamakan pemimpin kerana tanggungjawabnya adalah untuk memimpin ke arah kebaikan, membantu pada kesusahan dan menolong pada keperluan. Kita memilih seorang pemimpin bukan sekadar untuk menjadi ketua jauh sekali menjadi tuan kerana kedua-duanya adalah untuk kita berkhidmat kepada mereka. Berbeza dengan pemimpin di mana dialah yang berkhidmat dan memikul bebanan amanah. Jika berjaya maka dia dirahmati dan jika gagal dia dimurkai.

Para sahabat telah menunjukkan bagaimana pentingnya untuk sesuatu masyarakat itu mempunyai seorang pemimpin berdasarkan peristiwa kewafatan Rasulullah SAW di mana mereka terus berikhtiar untuk melantik khalifah pertama sungguhpun jenazah Rasulullah SAW belum lagi disemadikan. Ini menggambarkan betapa mustahaknya pemimpin di dalam kehidupan bermasyarakat. Lantaran itu, Islam semestinya telah menggarapkan ciri-ciri khusus di dalam memilih sosok tubuh seorang pemimpin. Kita tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa pedoman di dalam mengurus perkara sebegini bahkan para ulama terdahulu sepeti Imam Al-Mawardi, Al-Ghazali dan Ibnu Khaldun telah menggariskan ciri-ciri khusus seorang pemimpin layak dipilih. 

Di antara ciri-ciri utama adalah berilmu (Al-Ghazali, Imam Al-Mawardi dan Ibnu Khaldun), adil dan bertanggungjawab (Imam Al-Mawardi dan Ibnu Khaldun), dan sihat tubuh badan, kuat lagi amanah (Imam Al-Mawardi dan Ibnu Khaldun)

Berilmu
Ilmu adalah pembeza di antara benar dan salah. Dengannya sesuatu ummah itu akan dinaikkan darjat daripada tidak baik kepada lebih baik. Kerana itu seorang pemimpin hendaklah berilmu di dalam lapangan kepimpinan bagi membolehkan rakyat dipimpin ke arah kepimpinan sebenar. Nabi Adam AS diberi kelebihan sebagai khalifah oleh Allah Azzawajalla lantaran kelebihan ilmu diberikan Azzawajalla berbanding para malaikat sungguhpun mereka terkenal dengan ketaatan dan kesetiaan kepada Rabbul Jalil. Kelebihan ilmu inilah menjadikan pemimpin tersebut sentiasa sedar tentang arah tuju kepimpinannya dari satu daerah kepada daerah lebih baik.

Adil dan bertanggungjawab
Pepatah Melayu berbunyi 'Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah'. Pepatah ini berkait rapat dengan ciri-ciri pemimpin perlu dilantik iaitu adil dan bertanggungjawab. Adil menjadikan rakyat dipimpin sentiasa merasa kemanisan keadilan hingga menjadikan kita sebagai rakyat tidak ragu-ragu untuk memberikan ketaatan. Wujudnya pemimpin kerana adanya kesetiaan, gugurnya kesetiaan maka berkuburlah kepimpinan. Lahirnya kesetiaan adalah kesinambungan kepada ketaatan dan kesetiaan. Munculnya ia adalah kerana adil dan tanggungjawab.  

Sihat tubuh badan, kuat dan amanah
Ciri-ciri seterusnya sebagaimana disarankan oleh Imam Al-Mawardi dan Ibnu Khaldun ialah sihat tubuh badan, kuat dan amanah. Tolut dipilih Allah azzawajalla sebagai pemimpin berikutan luasnya ilmu dan kuatnya tubuh badan. Sungguhpun dakwaan mereka, merekalah lebih berhak ke atas kepimpinan tersebut berikutan banyaknya harta yang dimiliki, namum Allah memperjelaskan bahawa syarat utama kepimpinan ialah berilmu dan kuat tubuh badan, bukan banyaknya harta, emas dan perak. 

Amanah adalah tulang belakang kepada kepimpinan. Ia akan mencorakkan bagaimana ilmu dan kesihatan tubuh badan dipergunakan di dalam memimpin. Tanpa amanah, ilmu baik boleh dipesongkan dan kuat tubuh badan boleh menjadi penghalang kepada kebaikan.  Tengok sahaja kepada kekuatan ketenteraan dan ketinggian ilmu mereka terdahulu mengakibatkan musnahnya Hiroshima dan Nagasaki. Musnahnya hingga mengakibatkan beberapa generasi menanggung kecacatan dan kesakitan. Ini semua berpunca daripada hilangnya amanah, mengakibatkan ilmu salah dipergunakan dan kekuatan salah dimanfaatkan. 

Kesimpulannya, enam (6) ciri-ciri utama iaitu berilmu, adil, bertanggungjawab, sihat tubuh badan, kuat dan amanah adalah ciri-ciri utama di dalam memilih seorang pemimpin. Ia adalah perkara dalaman yang perlu dimiliki oleh insan bernama pemimpin. Tidak cukup sekadar bersandar atau menumpang puak atau kaum untuk memiliki ciri-ciri ini tetapi ia perlu diasimilasi ke dalam nilai diri seorang pemimpin.




Wednesday, March 28, 2018

POKOK DI DALAM MENGAJAR ADALAH KEIKHLASAN.

Sheikh Dr Yusuf AlQardhawi di dalam bukunya 'Di Dalam Pangkuan Sunnah' yang telah diterjemahkan ke Bahasa In-donesia oleh Pustaka Al-Kautsar menya-takan bahawa ikhlas adalah sebuah amal yang dilaksanakan kerana mengharapkan pujian Allah semata-mata. 

Gambar sekadar hiasan

Seorang ulama pondok yang bernama Tuan Hj Ahmad Bin Abdul Rahman menyatakan di dalam sebuah kuliahnya bahawa ikhlas adalah merupakan se-buah permata yang dicampak oleh Allah ke dalam hati manusia kesan daripada amalan-amalan yang dilakukan secara istiqamah semata-mata kerana Allah Az-zawajalla. 

Takrifan ikhlas yang pertama adalah digambarkan bahawa ia adalah amalan yang dibuat semata-mata kerana Allah Azzawajalla. Tiada satu pun perkara lain yang men-jadi punca dan penyebab untuk dia melakukan amalan tersebut. Ia tidak dibuat kerana untuk mendapatkan pujian sesama manusia ataupun untuk mem-perlihatkan bahawa dirinya adalah baik dan terbaik. 

Manakala takrifan yang kedua pula men-jelaskan bahawa perkara ikhlas adalah merupakan anugerah yang diberikan oleh Allah Azzawajalla kepada seseorang hamba hasil daripada usa-hanya di dalam beribadat secara istiqamah semata-mata kerana Tuhannya.

Kedua-dua takrifan tersebut membawa kepada makna yang satu iaitu ikhlas ter-hasil daripada amalan yang dibuat sema-ta-mata bagi mendapatkan keredhaan Allah Azzawajalla. 

Seorang pendidik yang ikhlas akan be-rusaha sebaik mungkin untuk menyam-paikan segala ilmu yang dimilikinya tanpa ada rasa takut daripada berkata benar dan kecewa daripada ditentang. 

Begitu juga dengan ibu bapa, kita ber-tanggungjawab memacu jalan hidup anak-anaknya secara ikhlas semata-mata kerana Allah. 

Jalan hidup anak-anak hendaklah dia-rahkan kepada jalan yang akan memba-wa mereka dan ibu bapa kepada keredhaan Ilahi bukan kerana semata-mata bimbang mereka akan menjadi merempat apabila gagal mendapatkan jawatan-jawatan penting di masa hadapan. Bukan juga kerana bimbang si ibubapa tiada tempat untuk bergantung apabila berada di usia tua. 

Tetapi ia perlu dibuat semata-mata ikhlas kerana Allah tanpa adanya tujuan kedua mahupun tujuan sampingan. Dengan bulatnya tujuan hanya kepada Allah maka di sana akan lahirnya keikhlasan yang menjadi kayu ukur amalan dan ibadat seseorang hamba.

Di sebuah sekolah rendah, ada seorang guru matematik yang berkelulusan di-ploma yang memilih untuk menghamba-kan dirinya di dalam mendidik anak kampung agar menjadi lebih mahir dan pakar di dalam Matematik. 
Gambar Sekadar Hiasan

Berbekalkan kebolehan dan kesunggu-han yang dimiliki, guru ini telah mula melakar beratus-ratus kertas soalan yang akan digunakan untuk melatih anak-anak muridnya.Agar menjadi penumpuan lebih, beliau telah mewujudkan kelas-kelas tambahan di luar waktu mengajar selama setahun lebih awal sebelum murid-muridnya ber-sedia untuk menduduki peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Ren-dah). 

Kelas-kelas tersebut disediakan secara percuma dan dijadikan sebagai wajib kepada semua pelajarnya. Sekiranya beliau mendapati ada anak-anak muridnya yang tidak datang ke sekolah atau kelas tambahan, beliau secara peribadinya akan masuk ke kam-pung dan datang ke rumah mereka un-tuk bertanyakan situasi sebenar. 

Walau bagaimanapun, terdapat ramai ibubapa yang mencemuh apa yang dil-akukan oleh beliau kerana dikira sebagai terlampau masuk campur urusannya. Namun itu tidak menjadi penghalang kepadanya untuk terus berlari membina mimpi bagi melahirkan anak-anak didik yang kaya ilmu dan tinggi pekerti.

#KEWAJIPANMENDIDIKSEBAGAIIBUBAPA

Tuesday, March 27, 2018

Kewajipan Mendidik Sebagai Ibubapa

Mendidik anak-anak adalah merupakan kewajipan kepada ibu bapa dan penjaga. Anak-anak tidak dilahirkan dengan mengetahui segala sesuatu tanpa diberikan pendidikan dan pengisian. Ia adalah benar bahawa anak-anak mempunyai kelebihan dan kepandaian yang berbeza-beza namun kebolehan tersebut perlu diraikan dengan pendidikan yang betul dan tepat.



Nik Abdul Aziz Nik Mat (2014) menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh anggota badan manusia adalah refleksi daripada pendidikan yang dimasukkan ke dalam diri manusia seperti sebiji gelas yang dimasukkan dengan air. Kalau gelas itu tumpah, yang tumpah keluar daripada gelas itu adalah air. Kalau dalam gelas itu pasir, maka yang tumpah keluar adalah pasir juga. Kalau ada objek lain di dalam gelas itu, maka yang tumpah keluar adalah objek itulah.

Diri anak-anak adalah bekas yang akan menempatkan pengisian yang berupa ilmu dan pendidikan oleh ibubapa mereka. Pengisian yang elok akan membawakan natijah yang sempurna kepada diri anak-anak dan sebaliknya.

Sungguhpun tugas ibubapa adalah untuk mendidik namun mereka juga mempunyai pengetahuan yang terhad dan maklumat yang terbatas. Oleh sebab itu, tidak menjadi aib bagi seseorang ibu atau bapa untuk mengatakan tidak tahu pada sesuatu perkara. Bahkan jawapan tersebut adalah lebih amanah berbanding dengan mereka-reka jawapan yang muncul tanpa disandarkan kepada maklumat dan fakta yang benar.

Walau bagaimanapun, jawapan ‘tidak tahu’ tersebut tidak boleh menjadi teras tunggal kepada persoalan yang ditanyakan oleh anak-anak dan dibiarkan tanpa jawapan yang sepatutnya. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa untuk mendapatkan jawapan yang sebenar berdasarkan fakta-fakta yang tepat dan betul.

Terdapat beberapa kategori ibubapa di dalam normal kehidupan ini iaitu:

(1)       Mereka yang mempunyai ilmu dan mengajar anak-anaknya dengan ilmu tersebut
(2)       Mereka yang punya ilmu tetapi tidak berkongsi dengan anak-anaknya (disebabkan kesibukan kerja dan lain-lain),
(3)       Mereka yang tidak atau kurang mempunyai ilmu tetapi ingin berkongsi dengan anak-anak
(4)       Mereka yang tidak punya ilmu dan tidak berminat untuk berkongsi dengan anak-anak.

Kepelbagaian kategori ibubapa ini menghasilkan kaedah yang pelbagai serta hasil yang berbeza di dalam pendidikan si kecil. Di sini ilmu memainkan peranan yang penting dan kerana itu menjadi tanggungjawab kepada ibubapa untuk berilmu dan berusaha untuk mendapatkan ilmu.

Menjadi ibubapa adalah bukan semata-mata bersifat organik (terjadi dengan sendiri) tetapi ia perlu dibuat dengan persediaan dan perancangan yang bukan terikat kepada wang ringgit semata-mata tetapi turut terpaut kepada persediaan ilmu agama dan kekeluargaan Islam.

Ini kerana keluarga yang akan diwujudkan adalah keluarga yang akan melahirkan anak yang akan membesar pada zaman mereka. Zaman di mana keadaan dan cabaran adalah berbeza daripada zaman ini. Dikatakan Saidina Ali R.A. berkata:

"Ajarilah anak-anakmu tentang apa yang bukan kamu ketahui kerana mereka dicipta bukan untuk zamanmu"

Walaubagaimanapun, ilmu agama adalah asas yang akan dipasakkan ke dalam hati-hati pelapis yang mana ia akan menjadi pembentuk kepada perubahan dan pemangkin kukuh daripada diubah.

Sungguhpun, zaman mereka adalah berlainan tetapi teras agama adalah sama dan ia akan kekal hingga ke penamat dunia. Kerana itu, ibubapa adalah bertanggungjawab untuk berilmu dan mencari ilmu agar apa yang diisi ke dalam gelas kelak adalah bukan racun tetapi ia adalah madu dan ubat yang berguna.

#KEWAJIPANMENDIDIKSEBAGAIIBUBAPA

Tuesday, August 11, 2015

Kuliah Maghrib Surau Ar-Rayyan


Sebahagian perkara yang saya bincangkan di Surau Ar-Rayyan, Apartment Sri Ixora untuk kuliah Maghrib pada malam ini dapat dirumuskan berdasarkan hadith di bawah:

.......فإن دمائكم وأموالكم وأعراضكم بينكم حرام كحرمة  يومكم هذا، في شهركم هذا، في بلدكم هذا، ليبلغ الشاهد الغائب...... 

Ertinya : ....Sesungguhnya darah kalian, harta benda kalian, kehormatan kalian, haram atas kalian seperti terlarangnya hari ini, bulan ini dan negeri ini, hendaknya yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir (hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

- Seorang Muslim bertanggungjawab untuk menjaga kehidupan dan nyawa Muslim yang lain daripada dilukai, dicederakan dan diapa-apakan.

- Seorang Muslim bertanggungjawab untuk mempertahankan harta benda Muslim yang lain daripada dihilangkan, dihabiskan, dicuri atau dimanipulasikan sehingga harta tersebut berkurang atau kehabisan.

- Seorang Muslim bertanggungjawab untuk memelihara maruah sesama Muslim yang lain dengan tidak di'aibkan', dimalukan atau dihina dengan apa cara sekalipun. Tidak ada satupun alasan yang menghalalkan mereka diperlakukan demikian. 

- Larangan dan suruhan ini adalah sebahagian daripada tujuan sesuatu syariat Islam itu diturunkan. 

- Ia tidak senang untuk menjadi senang dan tidak susah untuk menjadi susah. 


Thursday, January 08, 2015

Membantu Mereka Yang Inginkan Bantuan dan Bersedia Untuk Ke arah Yang Lebih Baik


Teringat dengan satu usaha CSR yang dilakukan oleh sebuah syarikat korporat kepada masyarakat asal di Negeri Pahang. Cadangan pembinaan rumah yang sempurna bagi membolehkan mereka meneruskan hidup secara lebih baik dengan dibekalkan elektrik dan air yang sempurna. Pihak syarikat percaya bahawa dengan usaha ini status kehidupan golongan asal akan dapat dinaiktaraf dan sekurang-kurangnya mereka tidak lagi tinggal di atas pokok dan juga bangsal-bangsal kayu.

Projek pertama mereka ialah dengan memfokuskan pembinaan di sebuah kampung orang asal sebagai kayu ukur tentang penerimaan mereka dengan cadangan ini. Pihak syarikat membekalkan peruntukan yang secukupnya bagi pembinaan tersebut yang terdiri daripada bahan-bahan dan juga upah. Di samping itu, pihak kelab sukan dan rekreasi syarikat yang dianggotai oleh para pekerja turut menyertai projek ini sebagai sokongan ke atas usaha syarikat.

Mereka bertungkus lumus dan bersungguh-sungguh dengan turut dibantu oleh orang-orang asal sehinggalah berdirinya rumah-rumah tersebut.  Perasaan riang dan gembira terpancar ceria di wajah-wajah mereka di atas kejayaan ini. Senyuman manis pada wajah orang-orang asal menggambarkan tentang bagaimana gembiranya mereka untuk memulakan hidup baru dengan lebih sempurna berbanding sebelum ini.

Proses penyerahan kunci dan perasmian berjalan dengan lancar serta ucapan jutaan terima kasih telah diberikan kepada syarikat di atas usaha yang dilaksanakan. Resolusi daripada projek ini adalah berjaya dan pihak syarikat bercadang untuk mengetengahkan projek ini dengan skala yang lebih besar serta melibatkan beberapa konglomerat yang lain. Bagi menjayakan projek mega ini, pihak syarikat telah mengenal pasti beberapa perkampungan orang asal yang lain di dalam Pahang serta negeri-negeri yang lain.

Persetujuan secara dasar telah dicapai di kalangan mereka yang terlibat bagi menjayakan projek ini. Komiti dan jawatankuasa telah ditubuhkan serta draf pelan perancangan telah disediakan. Tinggal lagi, mobilasi segala peruntukkan aset ke lokasi yang dirancang serta penentuan tarikh perlaksanaannya.

Sebelum projek yang kedua digerakkan, pihak syarikat merancang untuk melawat projek yang pertama bagi menilai penerimaan orang asal serta keadaan kehidupan mereka. 

“Ke mana perginya penduduk kampung ni? Kenapa rumah-rumah ini kosong? Sakitkah mereka? Atau apa yang dah terjadi kepada mereka?”. Pasukan lawatan yang diketuai oleh Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi ini menjadi sangsi dan pelik dengan keadaan perumahan yang dibina secara bersama. Suasananya sunyi dengan keadaan rumah yang kosong dan seperti tidak diduduki. Tinjaun dibuat bagi setiap rumah dan begitulah keadaannya, kosong dan sunyi. 

Tiba-tiba pasukan pelawat terdengar suatu jeritan sapaan daripada semak samun yang terletak lebih kurang 500 meter daripada perumahan tersebut. Dari situ kelihatan seorang demi seorang dan semakin lama maka semakin ramai. 

Dipendekkan cerita, penduduk-penduduk kampung asal telah membuat penempatan baru di lokasi tersebut dengan meninggalkan rumah-rumah yang lebih sempurna. Apabila ditanya kenapa? Jawabnya sungguh ringkas iaitu panas dan rimas. Bagi mereka rumah baru yang dibina tidak mempunyai pengudaraan yang sempurna seperti kediaman mereka sebelum ini. Mereka tidak selesa dengan penggunaan kipas sebagai alat untuk menyejukkan tetapi mereka lebih senang dengan tiupan angin asli.

Begitulah situasi yang berlaku apabila bantuan yang disampaikan adalah tidak sebagaimana yang diperlukan oleh sasaran. Kita sebagai pembantu sering terfikir bahawa apa yang diperlukan oleh sasaran adalah sama seperti apa yang diperlukan oleh kita. Kita andaikan bahawa apa yang mereka fikir adalah sama seperti apa yang kita fikir. Kita terlupa bahawa latar kehidupan kita dan mereka adalah berbeza sungguhpun bahasa dan bangsa adalah sama. 

Menjadi kemestian kepada kita yang ingin membantu untuk mengenalpasti jenis-jenis bantuan yang diperlukan. Ini adalah bagi mengelakkan pembaziran daripada sudut masa, harta dan tenaga. Sebaik-baik pertolongan adalah yang meringankan bebanan serta memanfaatkan orang yang ditolong. Manakala, seburuk-buruk bantuan adalah yang menambahkan kesakitan dan meningkatkan pembaziran.

Sebagai aktivis kita hendaklah cuba sedaya mungkin untuk menjiwai dan memahami perasaan dan hati sasaran berdasarkan konteks mereka. Ia tidak cukup untuk setekat meletakkan diri kita di dalam tempat mereka tetapi yang lebih penting ialah untuk memahami dan menjiwai apa yang mereka rasai. Setelah memahami perasaan dan jiwa mereka maka senang untuk kita mengetahui apakah yang diperlukan dan bagaimanakah caranya.

Tuesday, January 06, 2015

Membantu ke arah Kebaikan dan Tidak Membantu Bahkan Mencegah Perkara Kemungkaran


Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Maidah, ayat 2 dengan maksudnya:-

"...Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Ibnu Kathir menerangkan bahawa ayat ini menjelaskan tentang suruhan Allah Azzawajalla kepada orang mukmin untuk saling bantu membantu untuk melakukan perkara-perkara yang baik dan bertakwa kepada Allah dengan menjauhkan segala perkara yang dilarang, munkar dan berdosa. 
Daripada ayat dan terjemahan di atas dapatlah kita fahami bahawa usaha bantu membantu hanya boleh dilakukan kepada perkara yang halal dan dibenarkan agama semata-mata. Tetapi dia akan turut berdosa dan bersalah sekiranya bantuan yang diberi adalah berupa sokong kepada kejahatan dan kemungkaran.

Kita dapat melihat bagaimana seorang pengedar dadah yang dijatuhkan hukuman bunuh walaupun dirinya sendiri adalah bukannya seorang penagih. Kita tahu bahawa dadah adalah ancaman bahaya kepada masyarakat yang menjadikan sipenagih seperti mayat bergerak, berpenyakit dan perlukan rawatan. Andai gagal dirawat, sipenagih tadi mungkin akan terjebak ke dalam jenayah curi dan ragut.
Kita semua tahu bahawa kemuncak bahaya dadah adalah kepada penagihnya. Tetapi hukuman berat yang dikenakan adalah bukan kepada penagih tetapi kepada pengedarnya dengan balasan yang boleh membawa kepada hukuman gantung sehingga mati secara mandatori. Hukuman sebegini berat dikenakan kerana dengan adanya pengedarlah maka membolehkan sipenagih menjalankan aktivitinya. 

Sokongan yang diberikan pengedar sungguhpun atas tujuan membantu adalah berbahaya kerana apa yang dilakukannya adalah menyokong kepada kemungkaran. Lebih-lebih lagi apabila yang dilakukannya adalah dengan tujuan untuk mendapatkan pendapatan dan keuntungan semata-mata.

Begitu juga dengan sokongan-sokongan lain yang mana baik buruk sesuatu perkara tersebut masih lagi menjadi kesamaran kepada kita. Contohnya konsert-konsert hiburan yang sering dianjurkan oleh pelbagai pihak. Andai kita turut serta menghadiri konsert tersebut tidak kiralah sama ada berbayar ataupun percuma maka kita dikira sebagai penyokong. Ketahuilah bahawa konsert tersebut tidak akan berjaya andai tidak ada yang menyokong. Cuba bayangkan sebuah konsert yang tidak dihadiri oleh mana-mana pihak, yang ada hanya penyanyi dan beberapa orang penganjur sahaja. Sudah pasti konsert tersebut dikira sebagai gagal dan mereka akan berfikir dengan lebih mendalam untuk menganjurkannya semula.

Bertambah banyak sesuatu kejahatan atau kebaikan untuk berlaku adalah kerana kuatnya sokongan dan dorongan terhadap perkara tersebut. Ramai sokongan tidak semestinya ia baik dan sikit sokongan tidak semestinya ia buruk. Program berunsur lawak menjadi masyhur dan laris kerana ramainya penonton yang menyaksikannya biarpun ada di kalangan kita yang berpandangan bahawa lawak yang diketengahkan adalah merendahkan taraf pemikiran masyarakat ramai. Bagi mereka seorang lelaki tidak perlulah menyerupai wanita tua dan terlompat-lompat semata-mata untuk menampakkan lucu ala-ala kurang 'sifat', kerana lucu bukan semata-mata lakonan tetapi kebolehan. 

Tetapi ada juga yang berpandangan bahawa apa yang dilakonkan adalah semata-mata kerana seni dan ia perlu dihargai. Pandangan ini adalah pandangan perdana yang memberikan sokongan dan membolehkan program ini terus berlangsung daripada siri pertama kepada siri kedua dan mungkin kepada siri-siri seterusnya. Dengan sokongan sebegitu maka lahirlah program-program lain yang seakan-akan serupa dengan konsep-konsep yang berbeza. Ini semua berlaku kerana bantuan dalam bentuk sokongan dan dorongan hinggakan ada yang menubuhkan kelab-kelab penyokong dengan ribuan bahkan jutaan keahlian.

Jadi di sini, kita hendaklah menapis dengan sebaik mungkin kepada siapa sesuatu bantuan dan sokongan itu ingin diberikan. Tapisan yang meletakkan syariat sebagai yang pertama, aqal yang kedua dan keinginan sebagai yang terakhir. Syariat yang memilih hanya yang halal, aqal yang menentukan hanya yang terbaik dan keinginan yang memihak kepada yang diingini serta cocok dengan jiwa. Pastikan segala bantuan yang ingin diberikan telah melalui proses ini dengan tidak mendahului yang kemudian dan ia benar-benar diikuti.

Thursday, November 27, 2014

Siapa Jiran Itu?

Si sulungku bertanya "Baba, Kishen tu jiran kita ker?", jawabku "Ya, Kakak", "Ain tu, jiran kita jugak ker baba?", jawabku "Ya, kakak." "Semua yang tinggal di apartment kita ni adalah jiran kita, tak kira melayu ker dia, cina ker dia atau india, semua-semua adalah jiran kita"  jelasku dengan niat memberi sedikit pemahaman kepada si kakak yang berusia 8 tahun ini. Dia tersenyum bangga sebab baginya dia ada ramai kenalan yang kemudian nanti akan menjadi kawan-kawan yang menjadi teman sepermainannya. Tidak lagi terhad untuk berkawan dan bergaduh dengan adik lelakinya yang berusia setahun lebih muda.
Sesungguhnya, satu perkara yang hampir tidak mungkin berlaku kepada kita pada masa ini ialah untuk hidup tanpa jiran. Di mana sahaja, sama ada di kampung atau di bandar, jiran agak sukar untuk dielakkan. Kalau di kampung, jiran adalah mereka yang sudah lama kita kenal, daripada datuk, nenek, ayah, ibu dan anak-anak mereka. Anak-anak senang bermain dengan anak-anak mereka, ayah sering berbincang sesama mereka dan ibu kerap berceloteh dan berkongsi cerita sesamanya. Hampir separuh daripada kehidupan kita dan mereka adalah disaksikan secara bersama.
Tetapi di bandar, ia sedikit berbeza kerana orangnya lebih ramai dan cara hidupnya lebih sibuk. Masing-masing dengan hal sendiri, dunia sendiri dan 'circle' sendiri. Kediaman menjadi seperti sangkar bertaman, diseri indah, dihias cantik tetapi dipagar tinggi. Sangkar berpagar yang menjamin penghuninya tidak dikacau pada hartanya dan tidak diselidiki hak peribadinya. Batasan-batasan rumah menjadikan penghuninya semakin bersendirian di dalam ramai dan sunyi di dalam bising.
__________________________________________________________________________
 Baba, rumah orang ini mesti best kan? Tanya si sulungku setiap kali kami melepasi kediaman yang besar-besar dan berpagar tinggi di taman kami. Napa, kakak kata begitu? aku cuba menduga, sebab dia orang boleh main-main dan boleh lari-lari, tak ada orang yang kacau dan dia orang pun tak kacau orang…” jelas kakak dengan penuh yakin. Aku hanya senyap dan senyum dengan cuba memahami isi tersirat di dalam kata-katanya.
Sesungguhnya benar di dalam kata-katanya bahawa kediaman yang besar dan selesa adalah suatu kelebihan kepada penghuninya. Ia memberikan ruangan yang selesa kepada anggota keluarga yang sedang membesar dan kerehatan kepada yang telah berumur untuk menikmati usiausia yang tersisa. Namun di dalam kata-kata si sulungku itu aku dapati ia tertinggal satu perkara yang juga penting berkenaan dengan kediaman ini iaitu kejiranan. Jiran yang baik adalah pelengkap kepada kesempurnaan kediaman yang selesa dan jiran yang buruk bagi kediaman yang indah adalah seperti sekuntum bunga harum yang berada di dalam longgokan najis, sungguhpun cantik tetapi mustahil untuk dicium. Sungguhpun rumahnya nampak hebat namun kehidupan penghuninya adalah terseksa.
Di dalam perkara ini, Rasulullah SAW di dalam hadithnya bersabda:-
Empat perkara yang membawa kepada kebahagian iaitu (memiliki) perempuan (isteri) solehah, rumah yang bagus (luas), jiran yang baik dan kenderaan yang bagus (Riwayat Al-Hakim Abu Naim dan disahihkan oleh Al-Albani di dalam Sahih Al-Jami Bil (887)).
Terdapat empat (4) perkara penting yang akan membahagiakan kehidupan seseorang insan iaitu :-
a.          Isteri yang solehah
b.          Kediaman yang luas (selesa)
c.           Kejiranan yang baik
d.          Kenderaan yang baik

Faktor kejiranan adalah salah satu elemen besar yang akan membahagiakan kehidupan seseorang. Ia akan memberikan kita rasa lebih selesa dan selamat. Tiada syak dan prasangka di antara kita dan kejiranan. Masing-masing akan cuba ikat mengikati dan lengkap melengkapi.

Friday, November 07, 2014

Hati Sebagai Raja

"itik putih tidak pernah malu untuk berkawan dengan itik hitam...."

Ketahuilah bahawa penentu ikhlas adalah terletak di dalam hati seseorang individu, ianya tidak boleh dikawal selia oleh orang lain biarpun orang itu ialah ayah ataupun ibu kepada pemilik hati tersebut. Ibu dan ayah boleh menyuruh dan memaksa namun hati sebagai raja masih belum bisa untuk diubah, sungguhpun kerangka dan anggota sudah ditawan namun hati masih berkuasa untuk melawan. Sifatnya sangat organik dengan mampu untuk menjadi lebih keras daripada batu atau lebih cair daripada air dan kerana keunikan inilah ia mampu untuk menjadi raja. Raja di mana terbentuknya niat dan helah serta tersimpannya ikhlas dan ujub. Niat yang baik akan berganding dengan keikhlasan manakala helah yang buruk akan tersiratnya ujub dan kejahatan. Itulah hati yang mampu berfungsi sebagai raja bagi sebuah keperluan dan hamba bagi sebuah kemahuan.

Ketahuilah bahawa penentu ikhlas adalah terletak di dalam hati seseorang individu, ianya tidak boleh dikawal selia oleh orang lain biarpun orang itu ialah ayah ataupun ibu kepada pemilik hati tersebut. Ibu dan ayah boleh menyuruh dan memaksa namun hati sebagai raja masih belum bisa untuk diubah, sungguhpun kerangka dan anggota sudah ditawan namun hati masih berkuasa untuk melawan. Sifatnya sangat organik dengan mampu untuk menjadi lebih keras daripada batu atau lebih cair daripada air dan kerana keunikan inilah ia mampu untuk menjadi raja. Raja di mana terbentuknya niat dan helah serta tersimpannya ikhlas dan ujub. Niat yang baik akan berganding dengan keikhlasan manakala helah yang buruk akan tersiratnya ujub dan kejahatan. Itulah hati yang mampu berfungsi sebagai raja bagi sebuah keperluan dan hamba bagi sebuah kemahuan.


Saturday, August 23, 2014

Peranan Aqal

Aqal peranannya adalah untuk tadabbur, memerhati dan berfikir. Alangkah ruginya jika empunya aqal membiarkan ia tanpa dipergunakan.
Ibnu Al-Jauzi mempersendakan golongan ini dengan memperkatakan:
"لأنه خلق للتدبر والتأمل، وقبيح بمن أعطي شمعة يستضء بها أن يطفئها ويمشي في الظلمة"
Kerana aqal diciptakan untuk bertadabbur dan memerhati, dan sungguh teruk bagi sesiapa yang diberikan lilin bagi (memanfaatkan) cahayanya, lalu dipadamkan cahaya tersebut lalu berjalan di dalam kegelapan.
Aqal adalah anugerah Allah azzawajalla yang diberi secara percuma kepada setiap insan yang sempurna. Ia tidak bermodal dan tidak berbayar. Sifatnya pula amat reletif kepada jenis penggunaan, semakin aktif digunakan semakin kuat kekenyalannya. Kerana itulah kita dapat melihat ada insan yang kuat hafalannya dan kreatif analisisnya.
Aqal yang tajam mampu melahirkan insan pemikir yang dengannya akan wujud ketamadunan. Ketamadunan yang merubah insan daripada satu peringkat yang kurang kepada yang ada dan daripada yang ada kepada yang lebih berada. Merubah insan daripada kehidupan tanpa rasa kepada kehidupan yang penuh pencerahan.
Namun aqal perlu dipandu dan ia tidak 'absolute' serta terhadnya. Keterbatasan ini menjadikan manusia perlu kepada sumber yang lain yang membolehkan dia menampung segala kekurangan ini. Allah Azzawajalla yang telah menjadikan manusia ini tidak membiarkan mereka tanpa panduan dan lantas Allah menganugerahkan mereka dengan Rasulullah SAW dan Al-Quran sebagai pedoman dan petunjuk.
Sumber wahyu dengan aqal yang waras akan memandu manusia kepada kebahagiaan dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Friday, July 11, 2014

Sombong Tidak Ke Mana...

Kehidupan ini hanya satu persinggahan dan setiap yang disinggah sudah pasti akan ditinggalkan. Ditinggalkan bagi meneruskan lagi perjalanan ke destinasi yang dituju. 

Kehidupan ini bukannya satu matlamat akan tetapi ianya satu lapangan ujian yang pada suatu hari nanti ujian ini akan ditimpa balas. Yang baik akan dibalas dengan kenikmatan dan yang jahat akan dibalas dengan azab seksa.

Di dalam kehidupan seharian ini, manusia sungguh lemah hinggakan bagi sesuap nasi yang dimakan pun tidak mampu dihasilkan oleh diri sendiri. Nasi ditanam oleh petani, ikan ditangkap oleh nelayan dan kelapa dipanjat oleh seekor monyet. Sungguh lemah makhluk yang bernama manusia ini, maka tidak selayaknya untuk kita sombong dan megah.

Jadi marilah kita memperbetulkan segala kerosakan hati yang menimbulkan sombong dan megah kerana pada suatu hari nanti kehidupan ini akan bertukar kepada kematian dan dengan kematian seseorang itu tidak mampu lagi untuk sombong dan bermegah.