Showing posts with label Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan. Show all posts

Tuesday, March 27, 2018

Kewajipan Mendidik Sebagai Ibubapa

Mendidik anak-anak adalah merupakan kewajipan kepada ibu bapa dan penjaga. Anak-anak tidak dilahirkan dengan mengetahui segala sesuatu tanpa diberikan pendidikan dan pengisian. Ia adalah benar bahawa anak-anak mempunyai kelebihan dan kepandaian yang berbeza-beza namun kebolehan tersebut perlu diraikan dengan pendidikan yang betul dan tepat.



Nik Abdul Aziz Nik Mat (2014) menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh anggota badan manusia adalah refleksi daripada pendidikan yang dimasukkan ke dalam diri manusia seperti sebiji gelas yang dimasukkan dengan air. Kalau gelas itu tumpah, yang tumpah keluar daripada gelas itu adalah air. Kalau dalam gelas itu pasir, maka yang tumpah keluar adalah pasir juga. Kalau ada objek lain di dalam gelas itu, maka yang tumpah keluar adalah objek itulah.

Diri anak-anak adalah bekas yang akan menempatkan pengisian yang berupa ilmu dan pendidikan oleh ibubapa mereka. Pengisian yang elok akan membawakan natijah yang sempurna kepada diri anak-anak dan sebaliknya.

Sungguhpun tugas ibubapa adalah untuk mendidik namun mereka juga mempunyai pengetahuan yang terhad dan maklumat yang terbatas. Oleh sebab itu, tidak menjadi aib bagi seseorang ibu atau bapa untuk mengatakan tidak tahu pada sesuatu perkara. Bahkan jawapan tersebut adalah lebih amanah berbanding dengan mereka-reka jawapan yang muncul tanpa disandarkan kepada maklumat dan fakta yang benar.

Walau bagaimanapun, jawapan ‘tidak tahu’ tersebut tidak boleh menjadi teras tunggal kepada persoalan yang ditanyakan oleh anak-anak dan dibiarkan tanpa jawapan yang sepatutnya. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa untuk mendapatkan jawapan yang sebenar berdasarkan fakta-fakta yang tepat dan betul.

Terdapat beberapa kategori ibubapa di dalam normal kehidupan ini iaitu:

(1)       Mereka yang mempunyai ilmu dan mengajar anak-anaknya dengan ilmu tersebut
(2)       Mereka yang punya ilmu tetapi tidak berkongsi dengan anak-anaknya (disebabkan kesibukan kerja dan lain-lain),
(3)       Mereka yang tidak atau kurang mempunyai ilmu tetapi ingin berkongsi dengan anak-anak
(4)       Mereka yang tidak punya ilmu dan tidak berminat untuk berkongsi dengan anak-anak.

Kepelbagaian kategori ibubapa ini menghasilkan kaedah yang pelbagai serta hasil yang berbeza di dalam pendidikan si kecil. Di sini ilmu memainkan peranan yang penting dan kerana itu menjadi tanggungjawab kepada ibubapa untuk berilmu dan berusaha untuk mendapatkan ilmu.

Menjadi ibubapa adalah bukan semata-mata bersifat organik (terjadi dengan sendiri) tetapi ia perlu dibuat dengan persediaan dan perancangan yang bukan terikat kepada wang ringgit semata-mata tetapi turut terpaut kepada persediaan ilmu agama dan kekeluargaan Islam.

Ini kerana keluarga yang akan diwujudkan adalah keluarga yang akan melahirkan anak yang akan membesar pada zaman mereka. Zaman di mana keadaan dan cabaran adalah berbeza daripada zaman ini. Dikatakan Saidina Ali R.A. berkata:

"Ajarilah anak-anakmu tentang apa yang bukan kamu ketahui kerana mereka dicipta bukan untuk zamanmu"

Walaubagaimanapun, ilmu agama adalah asas yang akan dipasakkan ke dalam hati-hati pelapis yang mana ia akan menjadi pembentuk kepada perubahan dan pemangkin kukuh daripada diubah.

Sungguhpun, zaman mereka adalah berlainan tetapi teras agama adalah sama dan ia akan kekal hingga ke penamat dunia. Kerana itu, ibubapa adalah bertanggungjawab untuk berilmu dan mencari ilmu agar apa yang diisi ke dalam gelas kelak adalah bukan racun tetapi ia adalah madu dan ubat yang berguna.

#KEWAJIPANMENDIDIKSEBAGAIIBUBAPA

Saturday, March 14, 2015

Mengajar adalah Memberi Bukan Untuk Menerima

Gagal menunaikan kewajipan adalah satu kesalahan dan dosa yang mengakibatkan balasan di dunia dan juga di akhirat kelak namun gagal untuk mencapai apa yang diharapkan adalah hanya satu kekurangan di dunia ini.

Ibubapa adalah merupakan guru pertama kepada anak-anak yang menjadi sumber rujukan dan contoh. Sebutan pertama yang didengari mereka adalah perkataan yang terkeluar daripada seorang ibu yang melahirkannya. Sungguhpun bayi masih belum mampu untuk memahami namun ia adalah langkah pertama yang akan membiasakan mereka dengan sesuatu suasana. 

Pepatah cina ada menyebut bahawa perjalanan yang beribu batu adalah bermula dengan langkah pertama. Ini bermaksud segala perkara yang kita lakukan adalah bergantung kepada permulaannya, tanpa ada permulaan maka tiadalah pertengahan dan penghujungnya. Permulaan yang baik adalah mentari fajar yang menjadi sinar kepada si makhluk untuk keluar berikhtiar dengan tujuan tersendiri. Mentari inilah semangat dan pembuka tirai kepada bermulanya satu-satu hari yang akan diusahakan. Bayangkan sekiranya pada suatu hari sesudah solat Subuh, kita menunggu-nunggu akan ketibaan matahari tetapi ia tidak muncul tiba. Kita terus menunggu namun ia tetap tidak menjelma. Apakah yang akan berlaku kepada diri kita sekiranya ia berlaku? Apakah kita tidak panik dan kaget? Adakah kita mengandaikan bahawa ia akan muncul jua dan hari akan cerah kembali? Adakah ia akan bermula sekiranya tiada sebarang tanda bahawa ia akan bermula?.

Begitulah pentingnya langkah pertama di dalam sesuatu perkara. Peranan ibubapa sebagai guru pertama adalah amat besar kerana pendidikan yang diberikan adalah bukan diharapkan dengan ganjaran. Seorang ibu yang menyusukan dan membesarkan anak adalah dibuat bukan kerana tanggapan bahawa bila besar nanti si anak akan membalas jasanya dan bukannya juga sebagai modal pencen.

Ada sebuah keluarga Myanmar yang masih belum mendapat status kerakyatan tetapi telah bermastautin di negara ini melebihi 15 tahun. Kegiatan ekonomi mereka ialah berniaga pakaian yang dibawa masuk daripada Thailand untuk dipasarkan di pasar-pasar malam dan kedai-kedai. Mereka sungguh gigih biarpun banyak kengkangan yang membantutkan usaha mereka. Mereka berniaga tanpa lesen kerana tidak memiliki dokumentasi yang sah. 

Walaubagaimanapun, mereka dengan sebaik mungkin berusaha untuk menyekolahkan anak-anak agar memperolehi keperluan pendidikan yang sempurna. Mereka percaya bahawa pendidikan adalah asas penting yang akan membentuk  kehidupan pada masa akan datang. Sungguhpun mereka sedar tanpa dokumentasi kerakyatan yang sempurna maka kehidupan ya adalah tidak ubah seperti pelarian haram yang tidak mempunyai masa depan di negara ini. 

Walaubagaimanapun, mereka tidak menyekat anak-anaknya daripada terus berusaha untuk maju dan berjaya di dalam pendidikan. Kelebihan yang ALLAH berikan adalah berbeza di antara seorang insan dengan insan yang lain. Anak-anak mereka dianugerahkan dengan aqal yang cerdas dan diri yang gigih di dalam menuntut ilmu. Kelebihan ini menjadikan mereka sungguh unik di mana pada pendaftarannya mereka ini tidak wujud namun saingan pembelajaran meletakkan mereka berada pada tangga teratas di dalam 'ranking' pengajian.

Ibubapa yang berbangsa Myanmar ini bersungguh-sungguh menyokong anak-anaknya ini untuk belajar sungguhpun secara realitinya dia lebih memerlukan mereka untuk membantunya di dalam urusan perniagaan yang memerlukan tenaga kerja yang ramai. Mereka menumpukan untuk lebih memberi berbanding menerima kerana mereka percaya memberi di dalam usaha ke arah ilmu adalah satu kebaikan sungguhpun kesan langsung daripada ilmu tersebut tidak dapat dilihat. 

Sungguhpun tiada jaminan bahawa mereka akan mendapat tempat di dalam institusi pengajian tinggi ataupun pekerjaan yang setimpal dengan kepandaian yang dimiliki, namun lapangan ilmu masih lagi didamba kerana mereka percaya bahawa ilmu itu sendiri adalah satu pemberian dan penerimaan. Pemberian agar yang tidak tahu menjadi tahu dan penerimaan yang membolehkan si hitam mempunyai nilai dan si senget tegak bermanfaat.

Di dalam pengembaraan ilmu, ibubapa dan keluarga Myanmar ini begitu bersungguh di dalam memberi sokongan. Tiada istilah sekatan dan larangan yang disebabkan oleh keterikatan kewangan yang menjadi penghalang kepada keluarganya untuk membenarkan mereka terus mengayuh dan memecut di dalam rihlah ilmu. Bagi mereka tanggungjawab anak-anak adalah berusaha untuk memperolehi ilmu dan tanggungjawab ibubapa pula adalah mencari rezeki yang membolehkan pengajian itu tidak terhalang. Mereka sanggup bersusah membanting tulang biarpun tiada jaminan bahawa apa yang dipelajari anaknya itu akan memberikan ganjaran dan faedah kepada mereka.

Begitulah suri teladan yang perlu dicontohi oleh kita sebagai ibubapa di dalam berusaha memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak. Bukan balasan yang dinantikan sungguhpun ada yang berpandangan bahawa anak-anak adalah pelaburan buat hari tua. Tiada kesalahan untuk mereka yang berharap namun berhati-hati kerana setiap harapan yang tidak tercapai akan membawa kepada kesedihan dan kehampaan. Walau bagaimanapun, berilah didikan dengan keikhlasan kerana ia adalah kewajipan yang diberikan Allah kepada kita untuk ditunaikan. Gagal menunaikan kewajipan adalah satu kesalahan dan dosa yang mengakibatkan balasan di dunia dan juga di akhirat kelak namun gagal untuk mencapai apa yang diharapkan adalah hanya satu kekurangan di dunia ini. Namun sekiranya redha dengan kekurangan ini maka dia akan diberikan ganjaran yang lebih besar dan tidak terhitung nilainya di dunia dan juga di akhirat kelak. 

Saturday, January 04, 2014

Adakah Ada Yang Gagal di Dalam Mendidik

Tiada istilah gagal di dalam mendidik pada dasarnya andai segala usaha telah dilaksanakan. 


Tiada istilah gagal di dalam mendidik pada dasarnya andai segala usaha telah dilaksanakan. Kegagalan terjadi sekiranya seseorang pendidik itu gagal untuk MENDIDIK. Gagal untuk memulakan usaha adalah merupakan kegagalan yang sebenar kerana seorang manusia diberi kemampuan untuk berusaha manakala kejayaan adalah impak kepada usaha tersebut. Ada kalanya dengan usaha tersebut dia berjaya dan ada kalanya juga tidak. Namun gagal untuk berusaha sudah pastinya cahaya kejayaan menjadi kelam.
Di dalam Islam, ganjaran daripada Allah SWT bukan hanya diukur pada keputusan atas satu-satu usaha tetapi ianya dikira atas usaha dan niat. Sekiranya kaedah yang dilakukan adalah bertepatan dengan agama dan niat adalah selari, maka sudah pastinya ganjaran akan diberikan Allah.
Walau bagaimanapun terdapat beberapa cadangan yang boleh digunapakai di dalam mengelakkan daripada gagal untuk berusaha bagi mendidik. Antaranya ialah:
  1. Kerja mendidik tidak boleh di’sub’kan atau di’outsource’kan secara sepenuhnya. Sebahagian besar tugas mendidik perlu berlaku di dalam rumah dan secara tidak formal. Kita perlu sedar bahawa anak-anak belajar lebih kuat melalui apa yang dia lihat berbanding dengan apa yang dia dengar.
  2. Ibu bapa atau penjaga perlu berusaha untuk menyebatikan diri mereka sebagai pendidik agar setiap tingkah laku adalah merupakan pengajaran kepada anak-anak.
  3. Pendidik hendaklah mempunyai ilmu. Usia dan pengalaman adalah tidak cukup untuk bertindak sebagai pendidik. Jadi usaha bagi mendapatkan ilmu oleh pendidik perlu 
  4. Pendidik yang telah mempunyai ilmu perlu beramal dengan jumlah ilmu yang dimilikinya sebanyak mungkin. Pengamalan ilmu yang dimiliki akan membolehkan seseorang pendidik itu menjadi seorang yang ‘walk the 
  5. Pendidik perlu banyak berdoa kepada Allah azzawajalla untuk memberkati, memudahkan serta memberikan keikhlasan, hidayah dan kejayaan di dalam usaha yang dilakukan.