Showing posts with label perjanjian. Show all posts
Showing posts with label perjanjian. Show all posts

Wednesday, September 25, 2013

Perjanjian Haram - Jalan Keluar (2)

Kaedah kedua untuk keluar daripada perjanjian haram adalah melalui 'perbincangan secara muqabalah (bersemuka)'.


  • Dalam kaedah ini, kedua-dua pihak yang berjanji hendaklah bersemuka bagi membincangkan isu pengharaman tersebut. Sekiranya salah satu pihak sahaja yang memahami isu tersebut maka dia bertanggungjawab untuk menerangkan kepada pihak yang lain. Walau bagaimanapun ianya tertakluk kepada kapasiti individu yang memahami isu, sekiranya 'under capacity' dan pihak yang lain adalah golongan 'yadun 'ulya', maka pilihan untuk bersemuka tidak akan memberi kesan yang memuaskan. Pilihan ini akan berkesan sekiranya kedua-dua pihak adalah sekufuk (sama level) di mana tiada siapa memiliki dominasi.
  • Di dalam kaedah bersemuka ini, si faham perlu menjelaskan tentang kenapa perjanjian yang dibuat adalah haram. Hujah dan fakta perlu diperhalusi, dikongsi dan diperbincangkan agar kedua-dua pihak dapat mengemukakan pendapat dan sokongan. Sekiranya titik pertemuan pendapat berkenaan hukum tidak dapat diperolehi maka pandangan pihak ketiga oleh golongan ulama yang memahami tentang senario semasa perlu dimiliki. Pendapat pihak ketiga ini hendaklah dikira sebagai muktamad dan diterima pakai di dalam menyelesaikan pertingkaian dan pihak ketiga ini hendaklah bersifat bebas dan tidak berpihak.
  • Tujuan bersemuka ini membolehkan kedua-dua pihak secara bersama untuk merubah perjanjian haram kepada perjanjian baru yang bersifat halalan toyyiban. Tujuan murni ini hanya akan tercapai sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman, kesungguhan, matlamat dan hala tuju yang sama. Syarat-syarat kesamaan ini adalah merupakan teras di dalam titik pertemuan sungguhpun secara zahirnya tampak berbeza. Sebagai contoh, seorang bukan Muslim dan Muslim yang telah mengikat perjanjian pembekalan ubat kepada sebuah hospital dengan pensyaratan ubat-ubat adalah bebas daripada racun dan bahan-bahan berbahaya. Dalam proses pembekalan tersebut, tetiba terdapat elemen haram yang berasaskan khinzir ditemui di dalam ubat-ubatan tersebut dan ianya adalah berbahaya kepada kesihatan pengguna. Jadi di atas kesedaran tersebut, maka kedua-dua pihak yang berjanji yang mempunyai matlamat yang sama akan mengubah perjanjian haram kepada perjanjian halal. 
  • Namun di dalam kes di atas, perubahan daripada haram kepada halal adalah bukannya melibatkan elemen aqidah dan kepercayaan tetapi ianya lebih kepada alasan lahiriah yang bersifat fizikal kepada mereka yang terlibat. Kaedah ini, boleh juga digunapakai sekiranya perjanjian haram tersebut adalah melibatkan mereka yang seakidah dan seagama. Si Muslim yang berjanji hendaklah bijak mencari hikmah disebalik pengharaman satu-satu perjanjian. Dan ini bukannya dikira sebagai mentakwil satu-satu hukum Allah yang telah ditetapkan tetapi ianya adalah satu kaedah bagi memperkuatkan keimanan mereka yang terlibat dan memperlihatkan kelebihan Islam itu sendiri.
  • Nabi Allah Ibrahim A.S pernah meminta Allah memperlihatkan kepadanya tentang bagaimana Allah menghidupkan mereka yang telah mati. Permohonan ini bukannya untuk mempersendakan kuasa Allah akan tetapi ianya bagi memperkuatkan iman yang sedia ada dilubuk kalbunya. Firman Allah SWT berbunyi:
  • وإذ قال إبراهيم رب أرني كيف تحيي الموتى قال أولم تؤمن قال بلى ولكن ليطمئن قلبي قال فخذ أربعة من الطير فصرهن إليك ثم اجعل على كل جبل منهن جزءا ثم ادعهن يأتينك سعيا واعلم أن الله عزيز حكيم
  • Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-mahkluk yang mati?" Allah berfirman: "Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanKu)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yaqin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang sangat-sangat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera". Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


    (bersambung)

Friday, September 20, 2013

Perjanjian Haram - Jalan Keluar

Sekiranya terlibat di dalam perjanjian haram, maka seorang Muslim itu hendaklah mencari jalan keluar daripada perjanjian tersebut sebagaimana berikut :-

  • Melakukan ‘badil’ atau pertukaran kepada kepada perjanjian sedia ada (perjanjian haram) kepada perjanjian baru (perjanjian Islam).
  • Contohnya, seorang Muslim yang telah terlibat di dalam perjanjian pinjaman konvensional yang pada peringkat awal perjanjian, beliau tidak menyedari tentang keharaman pinjaman konvensional. Perjanjian tersebut adalah bagi tempoh sepuluh (10) tahun. Setelah lima (5) tahun, beliau telah menyedari bahawa hukumnya adalah haram dan berhajat untuk tidak melibatkan diri di dalam perkara haram lagi.
  • Sekiranya beliau meninggalkan sahaja perjanjian tersebut, maka beliau akan dikenakan tindakan undang-undang di atas baki pembayaran yang belum diselesaikan. Pada masa yang sama, beliau juga turut berdosa kerana memungkiri perjanjian yang telah dimetrai.
  • Sebagai alternatif, beliau boleh melakukan badil dengan membuat ‘refinancing’ (pembiayaan kembali) ke atas pinjaman konvensional kepada pembiayaan Islami. Refinancing ini akan memberi beberapa kelebihan kepada pemilik  di mana terma-terma pembiayaan boleh dibincangkan dengan lebih teratur berdasarkan terma-terma sedia ada sebagai batu asas perundingan.
  • Andai kata perjanjian Islami menawarkan terma yang lebih ketat berbanding perjanjian konvensional, maka si pemilik tetap perlu memilih perjanjian Islami sebagai kemestian kerana perjanjian konvensional adalah bukan satu pilihan.

Friday, August 23, 2013

Mesti Mengelakkan Perjanjian Haram

Islam tidak mengiktiraf perjanjian di dalam perkara yang haram yang membawa kepada kederhakaan seseorang itu kepada Allah SWT. Perjanjian-perjanjian adalah merupakan kaedah atau alat bagi seseorang itu untuk mencapai sesuatu tujuan. Andai tujuan yang ingin dicapai itu adalah haram maka secara tidak langsung perjanjian yang diadakan juga akan menjadi haram sungguhpun kaedah perjanjian yang dibuat itu telah memenuhi syarat-syarat perjanjian. Contohnya, seorang pencuri, si A berjanji dengan si B untuk bertemu di Masjid Negeri semasa azan Isyak dengan tujuan untuk mencuri kasut-kasut berjenama para Jemaah masjid. Perjanjian ini telah memenuhi syarat ijab dan qabulnya serta mempunyai saksi, namun tujuannya adalah haram maka secara tidak langsung perjanjiannya juga adalah haram.

Begitu juga dalam urusan harian yang bunyinya agak lebih tersusun seperti perjanjian pinjaman yang bukan Islami dengan tujuan untuk pembelian keperluan di dalam kehidupan seperti rumah dan kereta. Ianya nampak sah dari sudut perundangan dunia, namun haram dari sudut agama kerana pinjaman yang bukan Islami adalah didasarkan kepada kaedah riba dan riba adalah haram di dalam Islam. Persetujuan di dalam perjanjian oleh pemberi dan penerima tidak menjadi alasan untuk menghalalkan perkara yang haram. Masyarakat hendaklah mengetahui bahawa wujudnya pengharaman adalah bagi mengelakkan bencana yang lebih besar yang sudah diketahui oleh Allah SWT yang Maha Pencipta dan Maha Penjaga. Tidak dinafikan bahawa di dalam satu-satu perkara haram itu ada kebaikan, namun keburukannya adalah lebih besar.

Walau bagaimanapun, perjanjian di atas perkara yang halal dan baik juga boleh menjadi haram sekiranya terdapat di dalam perjanjian itu unsur-unsur penipuan (maisir) dan ketidaktentuan (gharar). Kedua-dua unsur ini akan mewujudkan ketidakadilan di dalam perjanjian dan akan menganiayai salah satu pihak di dalam perjanjian tersebut. Mudahnya Islam kerana perjanjian yang termetrai dan terlaksana secara Islami akan menjamin keadilan dan kesamaan hak. Tidak ada yang akan teraniaya dan menganiaya. Jaminan Islam adalah merupakan jaminan keselamatan.