Friday, February 07, 2014

Kesungguhan dan Ketekunan adalah Elemen Kejayaan

Tekun di dalam melakukan sesuatu perkara adalah merupakan unsur komitmen yang merupakan jalan-jalan yang akan membawa seseorang kepada puncak kejayaan. Tekun bukan sesuatu yang dihasilkan dengan perasaan semata-mata, ianya juga bukan tindakan yang terhasil secara semulajadi. Namun ianya adalah kombinasi antara keingingan untuk melakukan dan kebenaran minda sedar untuk meneruskan sesuatu perkara yang dilaksanakan. Contohnya, seorang yang tekun untuk berjaya di dalam mempelajari menaiki basikal. Keinginan hatinya untuk sama-sama pandai sebagaimana orang lain menunggang basikal menjadi pemula di dalam melahir kan keinginan. Hampir majoriti yang belajar menunggang pernah jatuh, dan hampir keseluruhan yang jatuh pernah merasa sakit dan perit, namun 'tekun' membuatkan dia terus bangun dan terus berlatih sehingga dia berjaya melaksanakannya.

Bersungguh bermakna tidak lagi menoleh kebelakang. Bersungguh bukan bermaksud tidak pernah kalah tetapi bersungguh bererti terus bangun bagi setiap kali jatuh, terus mara setiap kali rebah dan terus menghunus biarpun patah. Bersungguh pada usaha bukan bermaksud masam setiap masa, serius sepanjang hari dan tiada masa untuk senyum. Tetapi bersungguh pada usaha bermaksud sentiasa dan tanpa henti. Terus dan terus dengan usaha dan pada masa yang sama cuba berikhtiar untuk mempelajari kaedah untuk melaksanakan cita-cita tersebut dengan kaedah yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Dalam kehidupan ini, belajar adalah merupakan satu usaha untuk menghalakan diri ini kepada jalan kejayaan dengan lebih baik. Belajar untuk meningkatkan usaha adalah merupakan 'leverage'/ tuil yang membolehkan bebanan usaha menjadi lebih ringan, pencapaian lebih efisyen dan keberhasilan yang lebih cepat. Belajar melalui pengalaman adalah merupakan satu kelebihan tetapi belajar melalui kaedah adalah satu keutamaan.

No comments: