Sunday, February 02, 2014

Orang Asal Lembah Kelang

Alhamdulillah atas kesempatan ini.

Ia tidak jauh dari bandar, hanya kurang 5km dr bandar semenyih. Namun kehidupan mereka memang tidak sama dengan apa yang berlaku di luar sana. 

Mereka dinamakan sebagai orang asal. Kehidupan di sekeliling kawasan ini adalah tidak sama dengan kawasan orang asal di Cameron Highland, Gua Musang dan lain-lain kerana ianya adalah amat hampir dengan bandaraya. Ketika mereka di luar merasai akan nikmat elektrik, air, persekolahan, kedai, jalan raya dan pelbagai lagi natijah kemodenan, tetapi mereka di sini berumahkan pondok bocor dan bermandikan hujan. Anak-anak mereka ada yang tidak pernah menjejakkan kaki ke luar dari kawasan ini. Bila ditanya pernahkah pergi ke semenyih, jawabnya tidak. Jika bandar yang kurang dari 5km itu tidak pernah dipijak, masakan boleh ditanya soalan-soalan lain yang sudah semestinya amat menyedihkan. Bila melihat mereka teringat anak di rumah dan betapa bersyukurnya kita atas nikmat yang Allah berikan. Namun adakah kita begitu ananiyyah (keakuan) sedangkan mereka adalah saudara seagama yang sepastinya hak mereka juga terdapat di dalam hak-hak kita.

Lokasi pertama yang disinggahi ialah sebuah kuil buddha (sleeping buddha) yang mana terletak di lokasi yang tidak disangkakan. Ianya betul-betul di dalam kawasan yang terasing. Yang menjadikan persoalan ialah bagaimana kuil bercirikan siam tersebut boleh berada di situ sedangkan bukannya ramai penganut buddha siam yang berada di sekitar.

Perjalanan diteruskan ke lokasi kedua iaitu perkampungan orang asli di kachau luar di mana kami berkesempatan bertemu dengan keluarga Mat Bin Badai. Keluarga ini merupakan antara keluarga Muslim yang berada di sini. Bila berbicara pasal masalah, mereka memaklumkan bahawa kelas agama dan bantuan kewangan sudah lama tidak sampai. Kehidupan bergantung kepada dengan kerja-kerja hutan yang semakin hari semakin terhad. Sungguhpun terdapat kilang dan kebun di sekitar namun mereka tidak dapat mengecapi peluang untuk bekerja di sana. Mungkin berpunca drp kemahiran yang tidak dimiliki. 

Ada yang berpendapat bahawa bantuan perlu dibuat dalam bentuk yang bertahan lama seperti menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan. Namun bagi mereka, semua perkara tersebut adalah tidak sesuai kerana susuk pandang mereka adalah berbeza. Mereka melihat hutan sebagai sumber rezeki yang darinya dikeluarkan rotan, petai dan buluh bukan balak untuk ditebang, hutan untuk diterang bagi projek dan komisyen.

Sungguh terkejut apabila terdapat pelbagai agama yang dianuti oleh orang asal ini. Ramai antara mereka yang beragama kristian dan ada juga yang beragama Islam. Dari sudut material, kelihatan mereka yang beragama kristian lebih stabil berbanding yang Islam. Dikatakan kerana bantuan dari agama mereka adalah lebih efektif dan bersungguh. Ini boleh menjadikan motivasi kepada para Muslimin untuk berikhtiar dan bertindak agar besok di akhirat kelak kita tidak akan dipersoalkan Allah berkenaan ikhtiar dan tindakan kita sebagai Muslimin ke atas saudara seagama yang berada tidak jauh dari jangkauan.

Pelbagai cadangan bantuan yang cuba diketengahkan, ada yang bersifat one off, tunai  dan berjangka panjang. Kesemuanya adalah diperlukan, namun yang paling besar sebagai agen perubah ialah pendidikan. Ia mungkin tidak akan berubah dalam sekelip mata, tidak hari ini, esok mahupun tahun depan. Tetapi ia akan berubah dalam generasi mendatang. Cuma bagaimanakah caranya? Sistem persekolahan telah dilaksanakan tetapi mereka ponteng. Mungkin para pemikir boleh berikhtiar tentang kaedah lain yang boleh dicadangkan. 
Mungkin sistem anak angkat iaitu keluarga bandar mengambil anak-anak kecil untuk di sekolahkan di bandar dan dibenarkan pulang ke kampung hanya pada hujung minggu atau ketika cuti persekolahan sahaja. Kaedah ini mungkin efektif tetapi masih lagi berisiko. Perbincangan intelektual perlu dilakukan agar perlaksanaan menjadi lebih sempurna. Segala kekurangan dapat diperbaiki dan segala kesilapan dapat diatasi.

Alhamdulilah jaulah ini yang mempertemukan kami dengan tiga (3) keluarga muslimin, dua (2) surau dan tiga (3) buah kampung memberikan pengertian berikut :
(a) masih terdapat keluarga muslimin yang merempat di tengah sebuah negara Islam, negeri yang cakna dan masyarakat yang peduli. Mungkin kerana ini situasinya yang agak terpencil dan kecil namun mereka masih lagi manusia yang empunya perasaan dan hati, kalau tidak yang tua mungkin yang kecil.
(b) Kutipan zakat yang banyak mungkin boleh diihktiarkan jua untuk diperuntukkan kepada mereka ini. Bantuan bulanan adalah amat diperlukan dan agak strategik terutama di dalam mengikat iman dan memujuk keinginan.
(c) Mereka masih lagi keluarga kita sungguhpun corak berfikir adalah berbeza. Ingat kisah badwi yang kencing di dalam masjid. Rasulullah SAW tidak memarahi beliau bahkan dinasihati dan dibersihkan tempat yang dikencingnya tadi. Ini membuktikan pengutusan Rasulullah SAW adalah rahmat bagi sekelian alam dan mengiktiraf kesemua corak pemikiran. 

Ayuhlah sesiapa sahaja untuk berganding dan membantu





No comments: