Halawatul iman ialah kenikmatan dalam mempunyai keimanan kepada
Allah SWT.Nikmat yang dirasa apabila melakukan ibadah serta perasaan yang
dimiliki di dalam setiap detik kehidupan harian sebagai seorang Muslim.
Contohnya apabila timbul perasaan gembira dengan adanya surau berdekatan dengan
rumah yang mana ia membolehkannya beribadah di sana. Ini adalah petanda adanya
dan manisnya iman berbanding dengan perasaan 'zero' apabila melihat bangunan
surau yang berhampiran dengan kediaman seolah-olah bangunan tersebut hanya
bangunan pelengkap landskap kediaman semata-mata.
Siapakah dan bagaimanakah untuk memperolehi halawatul iman?
Jawapannya ialah sesiapa sahaja dan kaedahnya alah adalah dengan usaha, ilmu
dan konsistensi. Ilmu adalah tunjang agama kerana agama tanpa ilmu membawa
kesesatan. Manakala usaha dan konsistensi pula adalah daya dan momentum ke arah
kebahagian di dalam beragama kerana ilmu tanpa usaha adalah umpama renang tanpa
air. Manakala ilmu dan usaha tanpa disertai konsisten adalah umpama pendayung yang
ingin sampai ke destinasi dengan hanya sekali kayuhan sungguhpun beliau sudah
mempunyai kepandaian dan kelengkapan namun tanpa konsistensi sudah pasti
kayuhan akan terhenti, destinasi hanya mimpi dan kelengkapan serta kepandaian
hanya disisi.
Rasulullah SAW bersabda:-
عن أنس عن النبي صلي الله عليه وسلم قال : ثلاث من كن فيه وجد حلاوة
الإيمان : أن يكون الله ورسوله أحب إليه مما سواهما، وأن يحب المرء لا يحبه إلا
لله، وأن يكره أن يعود في الكفر كما يكره أن يقذف في النار
Daripada Anas daripada An-Nabi SAW, telah berkata, tiga (golongan)
yang ada padanya kemanisan iman: Sesungguhnya menjadikan Allah dan Rasulnya
lebih disayangi olehnya berbanding selain kedua-duanya, Dan sesungguhnya (dia)
mengasihi seseorang kerana Allah SWT semata-mata, dan dia membenci untuk
kembali kepada kekufuran sebagaimana bencinya dia untuk dicampakkan ke dalam
api.
Hadith ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari di dalam kitab Al-Iman, bab
Halawatul Iman.
Hadith ini menceritakan tentang siapakah yang layak untuk
memperolehi kemanisan iman. Ia mengklasifikasikan golongan tersebut kepada tiga
iaitu:-
(a)
Mereka yang meletakkan
kasih sayang sepenuhnya kepada Allah SWT dan RasulNya.
(b)
Mereka yang
saling berkasih sayang sesama manusia kerana Allah SWT.
(c) Mereka yang
membenci kepada kekufuran seolah-olah bencinya dia untuk dicampakkan ke dalam
api.
Hadith ini menggambarkan betapa pentingnya iman dan refleksinya
kepada jiwa sehinggakan kemanisan iman dapat diperolehi dan dirasai.
Iman yang manis adalah manifestasi cinta manusia kepada Tuhannya
yang dicapai melalui kenal dan ketakutan kepada Ilahi berdasarkan konsep ilmu
samawi yang diwahyukan dan disampaikan oleh Rasulullah SAW. Ilmu ini tidak
boleh diperolehi dngan hanya penakulan mantiq, kajian sains atau mana-mana
kaedah yang tidak didasarkan kepada wahyu Ilahi. Namun ianya adalah senang
untuk difahami dan diterima sekiranya asas ilmu wahyu diketengahkan. Kaedah
wahyu adalah jalan yang akan memastikan ilmu agama yang dimiliki adalah diterima
oleh Allah SWT dan dari situ akan muncullah halawatul iman yang sebenarnya dan
bukan replikasi rekaan yang didasarkan oleh syaitani dan disokong oleh hawa
nafsu dan persepsi kepada Allah SWT semata-mata.
Halawatul iman terasa apabila nikmat ibadat dibuat atas kesedaran
bukan kerutinan. Halawatul iman bukan matlamat utama dan bukan tujuan di dalam
sesuatu ibadah tetapi ianya perolehan yang dikecapi dan anugerah yang
dicampakkan kepada seseorang setelah ibadah dan iman dibuat dengan keikhlasan.
Akhirnya, apabila ada kemanisan iman, seronok dan bahagia beribadat
akan terasa, tertinggal akan dirasa ralat dan sempurna ibadat terasa
bermotivasi.
No comments:
Post a Comment