Kepimpinan adalah teras hidup bermasyarakat. Dengannya kita bergantung untuk diletak harap akan segala keperluan dan kehendak. Dinamakan pemimpin kerana tanggungjawabnya adalah untuk memimpin ke arah kebaikan, membantu pada kesusahan dan menolong pada keperluan. Kita memilih seorang pemimpin bukan sekadar untuk menjadi ketua jauh sekali menjadi tuan kerana kedua-duanya adalah untuk kita berkhidmat kepada mereka. Berbeza dengan pemimpin di mana dialah yang berkhidmat dan memikul bebanan amanah. Jika berjaya maka dia dirahmati dan jika gagal dia dimurkai.
Para sahabat telah menunjukkan bagaimana pentingnya untuk sesuatu masyarakat itu mempunyai seorang pemimpin berdasarkan peristiwa kewafatan Rasulullah SAW di mana mereka terus berikhtiar untuk melantik khalifah pertama sungguhpun jenazah Rasulullah SAW belum lagi disemadikan. Ini menggambarkan betapa mustahaknya pemimpin di dalam kehidupan bermasyarakat. Lantaran itu, Islam semestinya telah menggarapkan ciri-ciri khusus di dalam memilih sosok tubuh seorang pemimpin. Kita tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa pedoman di dalam mengurus perkara sebegini bahkan para ulama terdahulu sepeti Imam Al-Mawardi, Al-Ghazali dan Ibnu Khaldun telah menggariskan ciri-ciri khusus seorang pemimpin layak dipilih.
Di antara ciri-ciri utama adalah berilmu (Al-Ghazali, Imam Al-Mawardi dan Ibnu Khaldun), adil dan bertanggungjawab (Imam Al-Mawardi dan Ibnu Khaldun), dan sihat tubuh badan, kuat lagi amanah (Imam Al-Mawardi dan Ibnu Khaldun)
Berilmu
Ilmu adalah pembeza di antara benar dan salah. Dengannya sesuatu ummah itu akan dinaikkan darjat daripada tidak baik kepada lebih baik. Kerana itu seorang pemimpin hendaklah berilmu di dalam lapangan kepimpinan bagi membolehkan rakyat dipimpin ke arah kepimpinan sebenar. Nabi Adam AS diberi kelebihan sebagai khalifah oleh Allah Azzawajalla lantaran kelebihan ilmu diberikan Azzawajalla berbanding para malaikat sungguhpun mereka terkenal dengan ketaatan dan kesetiaan kepada Rabbul Jalil. Kelebihan ilmu inilah menjadikan pemimpin tersebut sentiasa sedar tentang arah tuju kepimpinannya dari satu daerah kepada daerah lebih baik.
Adil dan bertanggungjawab
Pepatah Melayu berbunyi 'Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah'. Pepatah ini berkait rapat dengan ciri-ciri pemimpin perlu dilantik iaitu adil dan bertanggungjawab. Adil menjadikan rakyat dipimpin sentiasa merasa kemanisan keadilan hingga menjadikan kita sebagai rakyat tidak ragu-ragu untuk memberikan ketaatan. Wujudnya pemimpin kerana adanya kesetiaan, gugurnya kesetiaan maka berkuburlah kepimpinan. Lahirnya kesetiaan adalah kesinambungan kepada ketaatan dan kesetiaan. Munculnya ia adalah kerana adil dan tanggungjawab.
Sihat tubuh badan, kuat dan amanah
Ciri-ciri seterusnya sebagaimana disarankan oleh Imam Al-Mawardi dan Ibnu Khaldun ialah sihat tubuh badan, kuat dan amanah. Tolut dipilih Allah azzawajalla sebagai pemimpin berikutan luasnya ilmu dan kuatnya tubuh badan. Sungguhpun dakwaan mereka, merekalah lebih berhak ke atas kepimpinan tersebut berikutan banyaknya harta yang dimiliki, namum Allah memperjelaskan bahawa syarat utama kepimpinan ialah berilmu dan kuat tubuh badan, bukan banyaknya harta, emas dan perak.
Amanah adalah tulang belakang kepada kepimpinan. Ia akan mencorakkan bagaimana ilmu dan kesihatan tubuh badan dipergunakan di dalam memimpin. Tanpa amanah, ilmu baik boleh dipesongkan dan kuat tubuh badan boleh menjadi penghalang kepada kebaikan. Tengok sahaja kepada kekuatan ketenteraan dan ketinggian ilmu mereka terdahulu mengakibatkan musnahnya Hiroshima dan Nagasaki. Musnahnya hingga mengakibatkan beberapa generasi menanggung kecacatan dan kesakitan. Ini semua berpunca daripada hilangnya amanah, mengakibatkan ilmu salah dipergunakan dan kekuatan salah dimanfaatkan.
Kesimpulannya, enam (6) ciri-ciri utama iaitu berilmu, adil, bertanggungjawab, sihat tubuh badan, kuat dan amanah adalah ciri-ciri utama di dalam memilih seorang pemimpin. Ia adalah perkara dalaman yang perlu dimiliki oleh insan bernama pemimpin. Tidak cukup sekadar bersandar atau menumpang puak atau kaum untuk memiliki ciri-ciri ini tetapi ia perlu diasimilasi ke dalam nilai diri seorang pemimpin.
No comments:
Post a Comment