Pendidikan diiktiraf sebagai sesuatu yang amat
signifikan dalam Islam yang akan mencorak seluruh perjalanan kehidupan insan di
dunia ini. Juga, yang akan menentukan nasib dan tahap pencapaian mereka di
Akhirat kelak, samada berakhir dengan kesudahan yang baik ataupun sebaliknya. Sebab
itulah, permulaan intipati wahyu yang pertama yang diturunkan di Gua Hira’
kepada penyudah (khatimu) Nabi dan Rasul, Muhammad SAW bermula dengan terma
‘iqra’ yang membawa maksud ‘bacalah’.
Lantaran itu, ruang dan manafaat pendidikan baik di
peringkat rendah, menengah dan tinggi tidak wajar hanya terbatas kepada
kelompok-kelompok tertentu semata-mata, atas faktor kekangan kewangan yang ada.
Apatah lagi dengan menjadikan ianya sebagai orientasi keuntungan (profit
oriented) yang sewajarnya perlu diminimakan dengan sebaiknya. Dalam hal ini, kerajaan
sebagai pemegang amanah rakyat, perlu menggalasnya sebagai tanggungjawab dengan
penuh dedikasi dan telus.
Wajarnya, adalah mustahil untuk meyediakan ruang dan
manafaat pendidikan secara percuma dengan hanya perlaksanaan ataupun
penghapusan mekanisma dan sistem yang sedia ada seperti Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tanpa wujud satu gagasan dan pendekatan
yang lebih inkulsif dan komprehensif agar tidak menimbulkan masalah yang lebih
besar dikemudian hari. Ibarat nukilan pepatah Melayu, ‘Yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran’.
Dengan ini, Daya Fikir telah mengambil inisiatif
untuk merumuskan beberapa pendekatan yang dianggap wajar dilaksanakan, dan
bukan setakat ‘cakap-cakap politik’ yang sekadar ingin meraih sokongan
semata-mata, khususnya ketika musim pilihanraya yang semakin hampir. Hasratnya
agar ruang dan manafaat pendidikan peringkat tinggi dapat disediakan secara
percuma sepenuhnya dan pada masa yang sama masih mengekalkan keupayaan kewangan
serta tidak mengorbankan prestasi pelbagai pihak yang terlibat.
Pertama, Daya Fikir mencadangkan penubuhan Kumpulan
Wang Simpanan Pendidikan Tinggi Negara (KWSPTN) yang akan berfungsi sebagai
pemodal utama kepada keperluan kewangan institusi pengajian tinggi awam dan
swasta. Untuk peringkat permulaan, pihak kerajaan perlu menyediakan sejumlah
tertentu geran asas bagi lonjatan permulaan kepada usaha ini. Kemudian, meregulasi
potongan pendidikan tinggi kepada setiap pekerja dan majikan awam dan swasta
yang akan menjadi sumber kewangan utama kepada KWSPTN. Ini dapat dilakukan,
dengan menetapkan kadar potongan tertentu yang mesti disumbangkan oleh setiap
majikan dan pekerja. Dan, sumbangan ini mestilah menerima pengecualian cukai
100% daripada kerajaan.
Hasil sumbangan daripada potongan yang diterima oleh
KWSPTN akan dilaburkan semula ke dalam pelbagai portfolio pelaburan yang
dikawal selia secara telus oleh jawatankuasa yang dianggotai oleh pakar-pakar
yang berkaitan yang dilantik oleh pihak kerajaan. Pulangan keuntungan yang
diperolehi akan digunakan sepenuhnya untuk menampung pelbagai kos diperingkat
institusi pendidikan tinggi seperti yuran pelajar, gaji pensyarah dan
pentadbir, fasiliti dan sebagainya. Manakala, pulangan dalam bentuk dividen
diagihkan semula secara tahunan kepada pekerja dengan pengkhususan untuk tujuan
pendidikan rendah dan menengah semata-mata. Di akhir umur persaraan, bagi
pekerja yang tidak mempunyai anak yang berpeluang untuk melanjutkan pengajian
ke peringkat tinggi diberikan dua pilihan samada untuk mengeluarkan sepenuhnya
jumlah sumbangan pokoknya ataupun menukarkan statusnya kepada waqf atau derma.
Kedua, selain daripada sumbangan wajib oleh rakyat Malaysia, terdapat juga
beberapa dana lain yang disumbangkan oleh badan korporat, institusi berwajib,
kerajaan dan juga individu-individu yang dibuat secara sukarela. Dana-dana ini
boleh dikumpulkan di bawah satu ‘pool of
fund’ yang dikenali sebagai dana ‘waqf’. Bagi tujuan perkembangan dan
pemantapan pengurusan dana ini, Daya Fikir mencadangankan ianya dibuat
berdasarkan konsep Waqf Korporat. Waqf korporat khusus bagi pendidikan boleh
diperkenalkan sebagai sokongan penting di dalam menjayakan perancangan
pendidikan percuma. Waqf korporat yang dimaksudkan ini akan berfungsi sebagai
salah satu punca suntikan kewangan yang diperlukan. Sumber kewangan ini
dipercayai dapat melancarkan proses pendidikan yang mana pada kebiasannya ia
akan menjadi halangan dan keterbatasan.
Di dalam institusi waqf, pemilikan harta telah
diserahkan kembali kepada Allah SWT, manakala urusan pengendalian harta
tersebut diserahkan kepada ‘pemegang amanah’ di mana mereka adalah
bertanggungjawab di dalam mentadbir urus harta yang diwaqafkan berdasarkan
peruntukan yang telah disediakan oleh agama dan juga orang yang mewaqafkan
harta tersebut. Pemegang amanah adalah bertanggungjawab untuk memastikan
kesinambungan harta yang diwakafkan dan adalah lebih baik sekiranya harta
tersebut dapat dikembangkan dan menghasilkan lebih banyak perolehan. Justeru
itu, Daya Fikir mencadangkan agar perlaksanaan waqf korporat perlu diperkasakan
terutama di dalam melengkapkan dan menjayakan sistem pendidikan percuma.
Perlaksanaan waqf korporat secara profesional yang
diuruskan berdasarkan tata-urus korporat yang cemerlang dijangka dapat
menghasilkan perolehan yang lumayan. Waqf korporat ini adalah selari dengan
tanggungjawab pemegang amanah untuk memastikan kesinambungan dan kesuburan
harta waqf yang mana ianya dapat memanjangkan dan meluaskan manfaah harta
tersebut. Memandangkan mereka yang memiliki kepentingan di dalam harta waqf
adalah terdiri daripada penerima manfaah, lantas perolehan tersebut adalah
dikhususkan untuk mereka. Justeru itu, dengan berkembangnya harta waqf dengan
jumlah yang besar dijangka dapat menampung keperluan kewangan institusi
pendidikan secara khususnya dan sistem pendidikan secara keseluruhannya.
Satu waqf khas pendidikan dicadangkan untuk
diwujudkan. Ini bagi memastikan manfaah waqf dapat disalurkan untuk tujuan yang
dimaksudkan. Kaedah pengwujudan waqf khas ini boleh dilaksanakan dengan dua
cara iaitu pertama pengwujudan waqf yang baru dan kedua dengan menggunakan
kaedah 'istibdal' atau penukaran ke atas harta-harta waqf sedia ada (terutama
harta-harta waqf yang terbiar) kepada harta yang baru (yang aktif dan sesuai
untuk dikorporatkan. Transformasi waqf baru ini dijangka dapat meligatkan lagi
pusingan harta dan menggalakkan lagi peningkatan keluaran dalam negara kasar.
Akhirnya, perolehan daripada aktiviti waqf korporat
ini akan disalurkan kepada penerima faedah di mana di dalam kes ini adalah
institusi pendidikan, guru-guru, pelajar-pelajar dan perkara-perkara yang berkaitan dengan
pendidikan.
Ketiganya, pemerkasaan pengagihan zakat dibawah ‘asnaf fisabillah’ yang digunakan untuk
membiyai yuran pengajian kepada pelajar cemerlang yang datang dari latar
belakang yang amat memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan pengajian,
walaupun ibubapa mereka tidak membuat potongan dalam KSWPTN. Untuk mengelakkan
pertindihan kewangan, potongan KSWPTN lebihan dikembalikan semula kepada
penyumbang atau mereka diberi pilihan untuk menukar statusnya kepada waqf
ataupun derma.
Keempat, peranan dan fungsi PTPTN mesti dikekalkan
khusus untuk golongan pelajar yang kurang cemerlang yang tidak mendapat tempat
di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), dimana mereka terpaksa meneruskan
penggajian di institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), yang secara umumnya
kos pendidikan adalah lebih tinggi berbanding IPTA. Ini adalah wajar, sebagai
stimulasi untuk pelajar meningkatkan dan mengekalkan kecemerlangan mereka, jika
mahu menikmati pendidikan secara percuma sepenuhnya.
Untuk terus mengekalkan keberkesanan pencapaian dan
produktiviti pihak-pihak yang terlibat dalam institusi pendidikan tinggi ini,
Daya Fikir mencadangkan:
Pertama, penggabungan mana-mana IPTA/IPTS yang
dilihat fungsi dan matlamatnya bertindih antara satu sama lain. Ini bertujuan
untuk mengurangkan elemen kos pentadbiran dan pengurusan secara keseluruhan dan
meningkatkan daya kualiti dan kecekapannya. Berdasarkan statistik yang
dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2010 secara
keseluruhannya terdapat 21 buah IPTA, 23 buah IPTS yang bertaraf universiti, 5 buah
IPTS yang bertaraf universiti cawangan luar negara dan 21 IPTS yang bertaraf
kolej universiti.
Kedua, kemasukan ke IPTA mestilah berdasarkan kepada
sistem merit sepenuhnya dan mana-mana pelajar yang tidak mengekalkan pencapaian
mereka perlu menukarkan statusnya ke IPTS dengan sebahagian kos mestilah ditanggung
oleh mereka sendiri, dan sebahagian yang lain akan ditanggung oleh KWSPTN.
Ketiga, bayaran balik PTPTN mestilah berdasarkan
nilai CGPA yang diperolehi setelah tamat pengajian dan setelah 6 bulan berada
di alam pekerjaan. Sungguhpun begitu, berdasarkan merit-merit khas yang lain
seperti CGPA yang cemerlang dan sumbangan yang signifikan dari sudut sosial dan
praktikal, pembayaran balik PTPTN boleh dibuat secara langsung dari dana KWSPTN
bagi pihak peminjam PTPTN yang mana ianya perlu diperolehi dari ‘reserve’
keuntungan pelaburan dana KWSPTN tersebut. Cadangan ini dibuat bagi membolehkan
mereka yang tidak mempunyai kecemerlangan pendidikan semasa peringkat menengah
terus diberi peluang semasa di universiti atau kolej untuk mendapatkan
pendidikan percuma.
Akhir sekali, Daya Fikir merumuskan bahawa
perlaksanaan pendidikan tinggi secara percuma secara signifikannya memerlukan
kerjasama dan pengorbanan daripada pelbagai pihak, iaitu rakyat dan kerajaan.
Ia tidak semudah menuturkannya di bibir, tanpa ada perancangan dan perlaksanaan
yang teliti dan telus. Walaubagaimanapun, ia tidak mustahil untuk dilaksanakan,
dimana pada masa yang sama tidak menyebabkan bebanan kewangan khususnya kepada
rakyat dan kerajaan. Ibarat kata pepatah Melayu, ‘ nak seribu daya, tak nak seribu dalih’.
@ Daya Fikir
No comments:
Post a Comment