Friday, October 19, 2012

Waqf Ganti PTPTN


Waqf korporat khusus bagi pendidikan boleh diperkenalkan sebagai sokongan penting di dalam menjayakan perancangan pendidikan percuma. Waqf korporat yang dimaksudkan ini akan berfungsi sebagai salah punca suntikan kewangan yang diperlukan. Sumber kewangan ini dipercayai dapat melancarkan proses pendidikan yang mana pada kebiasannya ia akan menjadi halangan dan keterbatasan.

Di dalam institusi waqf, pemilikan harta telah diserahkan kembali kepada Allah swt dan pemegang amanah adalah bertanggungjawab di dalam mentadbir urus harta yang diwaqafkan berdasarkan peruntukan yang telah disediakan oleh agama dan juga orang yang mewaqafkan harta tersebut. Pemegang amanah adalah bertanggungjawab untuk memastikan kesinambungan harta yang diwakafkan dan adalah lebih baik sekiranya harta tersebut dapat dikembangkan dan menghasilkan lebih banyak perolehan. Justeru itu, Daya Fikir mencadangkan agar perlaksanaan waqf korporat perlu diperkasakan terutama di dalam melengkapkan dan menjayakan sistem pendidikan percuma.

Perlaksanaan waqf korporat secara profesional yang diuruskan berdasarkan tata-urus korporat yang cemerlang dijangka dapat menghasilkan perolehan yang lumayan. Waqf korporat ini adalah selari dengan tanggungjawab pemegang amanah untuk memastikan kesinambungan dan kesuburan harta waqf yang mana ianya dapat memanjangkan dan meluaskan manfaah harta tersebut. Memandangkan mereka yang memiliki kepentingan di dalam harta waqf adalah terdiri daripada penerima manfaah, lantas perolehan tersebut adalah dikhususkan untuk mereka. Justeru itu, dengan berkembangnya harta waqf dengan jumlah yang besar dijangka dapat menampung keperluan kewangan institusi pendidikan secara khususnya dan sistem pendidikan secara keseluruhannya.

Satu waqf khas pendidikan dicadangkan untuk diwujudkan. Ini bagi memastikan manfaah waqf dapat disalurkan untuk tujuan yang dimaksudkan. Kaedah pengwujudan waqf khas ini boleh dilaksanakan dengan dua cara iaitu pertama pengwujudan waqf yang baru dan kedua dengan menggunakan kaedah 'istibdal' atau penukaran ke atas harta-harta waqf sedia ada (terutama harta-harta waqf yang terbiar) kepada harta yang baru (yang aktif dan sesuai untuk dikorporatkan. Transformasi waqf baru ini dijangka dapat meligatkan lagi pusingan harta dan menggalakkan lagi peningkatan keluaran dalam negara kasar.

Akhirnya, perolehan daripada aktiviti waqf korporat ini akan disalurkan kepada penerima faedah di mana di dalam kes ini adalah institusi pendidikan, guru-guru, pelajar-pelajar  dan perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan.

No comments: