Thursday, April 25, 2013

Berkomunikasi dalam Islam


Komunikasi merupakan satu elemen penting di dalam kehidupan harian. Dengannya kehidupan akan menjadi lancar dan mudah dan tanpanya kehidupan akan menjadi payah, sukar, hambar dan sunyi. Komunikasi ini tidak terhad kepada manusia sesama manusia sahaja, tetapi ianya melibatkan keseluruhan makhluk di dalam alam ini.
Pada kebiasannya, manusia berinteraksi di antara manusia sesama manusia dan manusia dengan alam. Tetapi bagi seorang muslim, interaksi mereka adalah jauh menjangkaui alam ini. Interaksi seorang Muslim adalah merupakan ikatan seorang hamba dengan Tuhannya yang Maha Esa, Tuhan yang menciptakan keseluruhan alam ini. Interaksi mereka adalah merupakan manifestasi perhambaan seorang makhluk kepada Penciptanya yang Maha Agong, yang menciptakan segala makhluk yang saling berinteraksi sesama mereka. Dan interaksi mereka adalah merupakan ‘the ultimate communication’ bagi seorang hamba yang boleh dilakukan.

Bahasa yang digunakan oleh muslim sesama muslim adalah bahasa yang indah. Tutur bahasa yang indah adalah bunga penghias bunyi, madu pemanis telinga dan halwa dikala kepahitan. Bahasa yang indah bukan sahaja pada isinya tetapi pada cara dan suasana penyampaiannya.

Kompilasi bahasa, pertuturan dan bicara akan membentuk komunikasi. Komunikasi yang berasaskan bahasa yang indah, pertuturan yang teratur dan bicara yang difahami akan membentuk kefahaman kepada pembicara dan penerima.

Kefahaman pula adalah puncak tujuan di dalam sesuatu komunikasi. Gagal di dalam menyampaikan maksud adalah merupakan kegagalan komunikasi. Ini jelas kerana tujuan seseorang berkomunikasi adalah bagi menyampaikan mesej kepada penerima dengan harapan mesej yang disampaikan dapat diulas dan difahami. Sebagai timbal balas kepada kefahaman tersebut, si penerima akan memberi reaksi dan respon yang juga bertujuan untuk difahami oleh penyampai pertama.

Sekiranya ruang komunikasi ini digunakan dengan bahasa yang kasar, kesat dan tidak jelas, ianya akan membawa kepada suasana yang tidak lagi indah. Pertelingkahan mungkin terjadi dengan sengaja sekiranya mesej yang disampaikan adalah dengan niat perkelahian dan mungkin juga tanpa sengaja sekiranya mesej yang disampaikan tersalah tafsir.

Allah SWT dengan jelasnya menggarapkan firmanNya sebagaimana berikut:-

﴿ أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ (24) تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (25) وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ اجْتُثَّتْ مِنْ فَوْقِ الْأَرْضِ مَا لَهَا مِنْ قَرَارٍ (26) يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آَمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآَخِرَةِ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ (27)

Maksudnya :-

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit (24), 

Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran) (25), 

Dan bandingan kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi, tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup (26), 

Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri), dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya (27)             
(Surah Ibrahim, Ayat 24- 27)


No comments: