Sunday, August 11, 2013

Apa Lagi Selepas Raya

Pesta ibadah telah berlalu dan hari bahagia menyambut kemenangan dalam meraih pesta ibadah juga telah berlalu. Terdapat keseronokan dan keindahan khas bagi mereka yang memasuki dan meraikan pesta-pesta tersebut. Keindahan yang berupa kesinambungan daripada ibadah-ibadah yang dilakukan dan keikhlasan yang terpancul daripada tindakan ibadah yang dibuat semata-mata untuk mendapatkan keredhaan ilahi.

Di sepanjang ramadhan, para muslimin mukhlisin berjuang di dalam meraih segala ibadah yang tersedia yang dibuat berdasarkan peruntukan khas yang ditunjukkan dan diajarkan oleh Rasulullah SAW sebanyak mungkin. Ada yang menumpukan diri di dalam membanyakkan pembacaan Al-Quran, ada yang mengutamakan qiyamullail dan ada yang meningkatkan sedekah. Kata-kata nasihat diperbanyakkan dan kalimah buruk dan kejian dijauhkan.

Pada bulan ini, dapat digambarkan seolah-olah Islam yang bergerak dapat dilihat pada insan-insan yang mengamalkan Ramadhan. Bulan ini mendidik muslim untuk mengamalkan agama mereka secara menyeluruh dan pendidikan ini berlaku selama sebulan dalam setiap tahun. Dengan kata lain 8% daripada kehidupan manusia dalam setahun dipeuntukkan untuk mendidik jiwa dan fizikal mereka untuk menjadi insan muslim yang sempurna. Proses didikan wajib tahunan ini dibuat secara konsisten setiap tahun bermula dari aqil baligh hinggalah berakhirnya nyawa atau hilangnya keupayaan. Ini menggambarkan keindahan Islam di dalam menjadikan umatnya sebaik-baik umat, umpama satu organisasi yang terbaik biasanya dilengkapi dengan sistem latihan yang sempurna dan konsisten.

Setelah sempurna pesta ibadah, Islam tetap merahmati jiwa manusia yang empunya keinginan, diberinya pesta kegembiraan berdasarkan garisan dan batasan yang telah diperuntukkan untuk meraikan insan yang empunya jiwa. Di ketika itu, manusia akan menyambutnya dengan segala lafaz indah ketuhanan dengan merasa syukur di atas kejayaan. Namun kegembiraan itu tidak dipisahkan dengan nilai-nilai ketuhanan dan tidak dicampurkan dengan unsur-unsur syaitani. Segala batasan dijaga dan tidak melampau.

Sesudah kegembiraan, nah di sana, kesan pendidikan madarasah ramadhan akan bermula. Konsistensi kesungguhan beribadah akan tampak kepada mereka yang ikhlas semasa ramadhan. Jiwa yang lunak, kental dan berdaya tahan akan terpancul di dalam aktiviti hariannya. Dan segala tindak tanduk dan urusan harian dibuat secara kebergantungan terus dengan Ilahi dalam memperolehi keberkatan dan hidayahnya.

Walau bagaimanapun, calon yang gagal dalam madrasah ramadhan akan mengekalkan atau menjadi lebih buruk tindak tanduknya berbanding sebelum ramadhan. Dengan kata lain dirinya tiada mendapat manfaat daripada madrasah Ramadhan yang dihadirinya itu. Namun proses islah, taubat dan membaiki diri tidak terhad di dalam bulan Ramadhan semata-mata umpama sekolah, mungkin seseorang itu tidak berjaya di dalam sistem persekolahan normal namun dia masih lagi boleh berjaya di dalam kehidupannya.


Jadi sungguhpun Ramdhan telah berlalu, berusahalah bersungguh-sungguh demi penambahbaikan diri dari hari ke hari. Dan proses penambahbaikan yang berterusan adalah lebih utama demi kejayaan di masa mendatang di dunia dan di akhirat.

No comments: