Kekeluargaan adalah merupakan satu institusi yang diterima ramai sebagai satu organisasi asas dalam pengwujudan masyarakat dan negara. Kombinasi organisasi ini akan mewujudkan masyarakat. Eloknya keluarga maka akan eloklah sesuatu masyarakat dan negara. Suami atau ayah adalah ketua keluarga yang dibahunya adalah tanggungjawab pengemudian dan pelayaran. Mengemudi untuk menentukan hala tuju dan berlayar untuk menyediakan kelengkapan dan keperluan harian kepada ahli-ahli keluarga. Manakala ibu atau isteri pula bertugas sebagai pembantu dalam menjayakan hala tuju dan menguruskan perjalanan hari. Umpama sebuah pesawat di mana juruterbang akan menentukan destinasi dan juruteranya akan menentukan kesedian untuk terbang. Kedua-dua saling perlu memerlukan dan lengkap melengkapi.
Masa berubah situasi bertukar, dulu si suami adalah segalanya dalam mencari rezeki tapi kini si isteri juga menyumbang dalam ekonomi keluarga. Capaian ilmu yang sama dan peluang yang setara membolehkan si isteri duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan si suami. Juga ada keadaan di mana si isteri melebihi si suami dari sudut ilmu dan kerjaya. Situasi ini disempurnakan pula oleh nilai kuasa beli yang semakin hari semakin menurun. Jika dulu perbelanjaan dapur cukup dengan RM10 - RM15 sehari tapi kini nilai tersebut hanya cukup untuk membeli ikan kembung sekilo. Gaji ribuan ringgit hampir tiada bezanya dengan ratusan ringgit pada satu ketika dahulu. Jadi kehadiran isteri dalam membantu mencari rezeki seolah-olah kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.
Situasi ibu ayah bekerja sudah menjadi lumrah semasa mereka yang berkerja di kota raya. Anak-anak dihantar kepada pengasuh atau ditinggalkan dengan orang gaji sebagai kaedah penyelesaian bagi penjagaan. Kaedah 'outsourcing' ini biasanya tidak mencapai kepada 'standard' pencapaian yang diharapkan. Lantas, si ibu memilih sebagai korban untuk menumpukan tugas kepada keluarga dengan mengharapkan kualiti penjagaan dan pendidikan yang lebih baik. Dalam satu situasi, kehidupan berkeluarga telah kembali sempurna tanpa adanya aktiviti 'sub-con' dan 'delegation'. Walau bagaimanapun, tibanya hujung bulan si suami mulalah menggaru di tempat yang tidak gatal. Hutang kereta yang dibuat ketika kedua-dua bekerja perlu ditanggung seorang, hutang rumah yang dihitung berdasarkan kemampuan 'household income' telah menjadi separuh kemampuan dan 'maintenance cost' bagi isteri yang berpendidikan dan telah berkerjaya perlu dikekalkan. Ombak kehidupan bergelora, badai kekadang menyinggah, kedamaian seketika keluarga yang sempurna kembali diuji.
Kesinambungan daripada itu, seorang isteri yang penyejuk di hati pendamai di mata akan berusaha membantu mencari penyelesaian. Dia tidak akan menyimbah petrol kepada marak yang tengah menyala akan tetapi cuba memadam api menjadi bara dari bara bertukar abu. Dari masalah menjadi peluang dari peluang terus berjuang. Peluang untuk si isteri membantu menggandakan pendapatan keluarga kembali tiba seiring dengan peningkatan sains dan teknologi. Capaian pasaran luar daripada sempadan rumah dan daerah juga berlaku berikutan pertambahan jaringan internet, blog, media sosial (facebook, twitter dan bermacam lagi) dan youtube. Peluang perniagaan atas talian (online) adalah merupakan salah satu cara yang membolehkan si isteri membantu institusi keluarga di dalam menjada pendapatan kembali.
Pada masa ini terdapat pelbagai cara yang membolehkan si isteri merealisasikan perniagaan di atas talian. Ada yang memerlukan produk (sendiri atau trading) dan ada juga yang memerlukan perkhidmatan. Yang paling penting ialah untuk menentukan 'niche' produk, servis dan pasaran kerana penentuan ini membolehkan si isteri membina fokus. Antara peluang yang ada ialah :-
(a) Menulis cerpen dan novel
(b) Menyertai perniagaan MLM yang membuat pemasaran atas talian
(c) Menyertai sistem 'dropship' dengan memasarkan melalui penulisan blog
(d) Melaksanakan kelas-kelas online melalui skype dan pelbagai lagi.
Aktiviti-aktiviti perniagaan ini sekiranya dilaksanakan dengan kaedah yang betul akan memberikan pulangan yang memuaskan dan kekadang boleh menjangkaui pendapatan yang diperolehi semasa berkarier.
Bertambah pendapatan bermakna bertambah komitmen. Mungkin di sini, keluarga sempurna akan diuji lagi. Ujian antara komitmen keluarga dan juga komitmen perniagaan. Terlebih berniaga memungkinkan keluarga terabai dan begitulah sebaliknya. Jadi di sini, institusi keluarga perlu melakukan pilihan yang terbaik bagi memastikan matlamat utama isteri berada di rumah adalah bagi menguatkan institusi kekeluargaan terus berjaya.
Beberapa kaedah boleh dilaksanakan bagi mengimbangi perniagaan dan keluarga oleh suri-niaga ini iaitu :-
(a) Meletakkan keluarga sebagai ranking pertama sebelum perniagaan
(b) Mewujudkan jadual khusus bagi pelaksanaan perniagaan dengan peruntukan antara 2 hingga 3 jam sehari.
(c) Memilih untuk melaksanakan perniagaan semasa menemani anak melakukan kerja sekolah.
(d) Mencuri sedikit masa sebelum subuh untuk melakukan kerja-kerja kemaskini dan pemasaran.
(e) Memiliki dan menggunakan 'gadget-gadget' terkini yang membolehkan si peniaga mengases internet dan komunikasi dengan pelanggan-pelangganya secara langsung.
(f) Memperbanyakkan doa- doa dan zikir-zikir yang maa'thur kerana semua insan tidak punya daya untuk merubah sungguhpun punya usaha untuk membuat. Segala daya dan ketentuan adalah dimiliki Allah semata-mata.
Sebagai akhirnya, ayah dan ibu perlu sentiasa jelas tentang tujuan berkeluarga, berkerja dan berniaga. Mata wang bukan matlamat utama di dalam kehidupan seharian. Akan tetapi, tanpanya atau kekurangannya, kehidupan akan menjadi rumit dan sukar. Jadi milikilah harta, punyailah keluarga dan didikilah mereka.
No comments:
Post a Comment