Sunday, October 27, 2013

Sumber Manusia Melalui Kisah Nabi Musa AS

Perlantikan adalah proses memilih, menerang (memberi penerangan) dan menyerah tugasan kepada sesuatu individu yang telah terpilih. Proses pemilihan ini dibuat berdasarkan beberapa teori yang telah dikaji oleh mereka-mereka yang pakar di dalam kajian ‘sumber manusia’. Ada teori yang serasi dengan perlaksanaannya dan ada juga terpesong dari hala tujunya. Kebanyakkan teori pemilihan didasarkan kepada pengalaman lepas , peringkat pendidikan dan kelulusan serta rekemendasi mereka yang telah mengenali calon tersebut. Kombinasi ciri-ciri yang memuaskan akan membantu pemilih untuk melantik seseorang bagi satu-satu tugasan yang telah diputuskan.


Berdasarkan ayat 26 Surah Al-Qasas yang berbunyi :-

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Bermaksud : Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah"

Ayat di atas menggariskan dua ciri utama di dalam satu-satu perlantikan iaitu :-
  1.  Kuat
  2. Amanah

Ciri pertama yang diutarakan ialah kuat. Kuat di dalam ayat di atas bermaksud kuat tubuh badan di mana Baginda Musa A.S secara badaninya mempunyai kekuatan fizikal yang mantap dan kekuatan yang luar biasa. Baginda mampu mengangkat batu yang menutupi telaga yang biasanya memerlukan kekuatan sepuluh lelaki mampu diangkatnya berseorangan. Kekuatan fizikal ini menjadi hujjah utama kepada puteri Nabi Allah Syuaib A.S (sebagaimana dinukilkan oleh Ibn Kathir bahawa pendapat ini disokong oleh Hasan AlBasari mengikut riwayat Ibn Jarir) untuk ayahnya melantik Nabi Musa AS sebagai pekerja penternakannya.

Tugasan penternakan memerlukan kekuatan fizikal. Sebagai translasi kepada tugasan-tugasan lain kekuatan bolehlah diterjemahkan sebagai kemampuan yang perlu dimiliki bagi seseorang untuk melaksanakan satu-satu tugasan. Sebagai contohnya, jika yang ingin dilantik ialah seorang guru Al-Quran, maka kemampuan calon hendaklah seorang yang mempunyai kemampuan membaca Al-Quran dengan baik serta mempunyai ilmu Al-Quran yang mendalam. Kebolehannya yang melangkaui kebolehan orang lain menggambarkan kekuatan dirinya berbanding yang lain. Asas utama ini adalah merupakan pra syarat utama di dalam melantik seseorang. Sekiranya ianya tidak dipunyai maka calon tersebut hendaklah digugurkan.

Ciri kedua ialah amanah di mana dengannya sesuatu perlaksanaan akan dapat disempurnakan sebagaimana dihajatkan oleh pemberi amanah. Amanah adalah melibatkan kepercayaan satu individu kepada individu yang lain. Dan seorang yang amanah akan menjaga kepercayaan individu yang lain itu terhadap dirinya. Penjagaan amanah ini bukan hanya diperingkat permukaan semata-mata tetapi ianya melibatkan kepercayaan secara keseluruhan atas dan bawah, luar dan dalam. Dengan kata lain, seseorang itu hendaklah amanah dan hendaklah kelihatan amanah (Trust and look to be trusted).

Ciri tambahan yang boleh digarapkan daripada pengisihan pemilihan Nabi Musa AS sebagai pekerja Nabi Shuaib AS adalah berkenaan dengan PENDAPAT PIHAK KETIGA. Baginda meminta pandangan anak perempuannya yang telah mengenali Nabi Musa AS berkenaan dengan pandangan beliau terhadapnya. Pandangan pihak ketiga ini diambilkira dengan syarat pihak ketiga ini adalah dikenali dan diyakini.

Secara keseluruhannya, peristiwa Nabi Musa AS ini boleh diambil iktibar sebagai input yang penting di dalam melakukan satu-satu transaksi yang melibatkan pemilihan seseorang yang akan dilantik di dalam satu-satu jawatan. Dua prasyarat iaitu KEKUATAN dan AMANAH serta satu kaedah iaitu DAPATAN PIHAK KETIGA perlu dijadikan input di dalam pemilihan satu-satu jawatan tidak kira ianya di peringkat korporat, kerajaan, individu ataupun organisasi.


No comments: