Jika dulu, dia yang kamu lantik? Tapi kini, kamu mengungkit, kenapa? Mungkin dulu kamu ingat dia pejuang tapi kini kamu rasa dia tidak memberi kamu peluang.
Tahukah kamu, dia naik bukan hanya kerana kamu tapi dia dipilih rakyat. Dipilih untuk manfaat ramai bukan hanya untuk haloba nafsu. Kamu bicara menolak rasuah, memilih keadilan dan mempertahankan kesaksamaan. Tapi kamu membuang pilihan rakyat, merencatkan sistem dan membazirkan wang amanah.
Jika itu semua kerana tektikal, kenapa dia yang kamu letak? Kenapa perlu dipermainkan perasaan rakyat? Kenapa kamu membazir sebegitu rupa? Kenapa bila orang yang buat hukumnya haram tapi bila bagi kamu segalanya halal? Inikah yang dinamakan keadilan.
Ketahuilah, sesungguhnya kepimpinan masyarakat itu adalah satu amanah yang diberi bukannya sebagai anugerah tetapi ianya adalah tanggungjawab yang dibebankan kepada seseorang yang mampu menanggungnya. Tanggungjawab ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT di mahkamahnya di mana tiada bayangan kecuali bayangannya. Di sana tiada siapa lagi yang mampu untuk menyembunyikan apa yang dilakukan bahkan juga apa yang dihasratkan.
Tanggungjawab kepimpinan adalah tanggungan tiga (3) penjuru iaitu tanggungjawab beliau kepada Allah, tanggungjawab beliau sesama makhluk dan tanggungjawab beliau kepada diri sendiri. Kerana itu, ia bukan merupakan bebanan kepada semua manusia. Seorang yang berhajatkan untuk menjadi pemimpin hendaklah mempunyai dua (2) kelayakan asas iaitu (al-qawiyy) kekuatan dan (al-amin) amanah. Kekuatan pada aqal dan jasmani diperlukan kerana ia akan memastikan perlaksanaan kerja dapat disempurnakan sebagaimana sepatutnya. Seorang pemimpin mestilah mempunyai daya fikir yang tinggi serta tubuh badan yang sihat kerana ini dapat menghasilkan natijah kerja yang berkualiti dan efektif. Pra syarat kedua ialah amanah di mana ianya berfungsi bagi memastikan perlaksanaan kerja adalah dibuat dengan sebetul-betulnya tanpa terdapat unsur-unsur kepentingan peribadi ataupun puak. Segala kerja yang dilaksanakan adalah semata-mata dibuat kerana kepercayaan yang telah diberikan. Tambahan bagi seorang pemimpin Islam, perlaksanaan amanah hendaklah didasarkan semata-mata kerana Allah SWT.
Susuk seorang pemimpin adalah bukannya seperti raja yang disembah akan tetapi beliau ialah penunjuk arah, suri teladan, cahaya di dalam kegelapan, penolong dikala diperlukan, teman yang menasihati dan kawan yang dinasihati. Seorang pemimpin diwajibkan untuk mewaqafkan dirinya demi kepentingan ummah tanpa apa-apa ganjaran yang diperuntukkan manusia namun jaminan yang pasti oleh Allah SWT. Seorang pemimpin yang benar kelihatan terkorban pada zahirnya akan tetapi segala pengorbanannya telah diperuntukkan ganjaran oleh Allah SWT. Anugerah siapakah lagi yang diperlukan sekiranya sebaik-baik anugerah telah diperuntukkan oleh sebaik-baik pemberi anugerah?
Bagi pemimpin yang telah terpilih, jalankanlah tanggungjawab anda. Bagi ahli politik, tunggulah peluang anda bermain kembali, tidak lama dan ianya hanya kurang dari lima (5) tahun sahaja. Janganlah diajak kami ini bermain bersama, kerana kami hanya rakyat yang memilih..
No comments:
Post a Comment