Perkara utama yang perlu dielakkan di dalam berhutang ialah riba. Ini adalah kerana ia termasuk di dalam kategori dosa besar yang balasannya adalah kesengsaraan di dunia dan juga azab neraka yang pedih di akhirat kelak. Allah mengishtiharkan perang kepada golongan yang terlibat di dalam riba dan sebesar-besar peperangan adalah dengan melawan Allah azzawajalla, Tuhan segala makhluk yang Maha Hebat dan Maha Perkasa. Siapakah insan yang hina dan rendah darjatnya yang bercita-cita untuk melawan Tuhan yang Maha Perkasa dan Empunya segala sesuatu termasuk insan itu sendiri?
Di atas dasar dan ketakutan kepada Allah Azzawajalla, maka berusahalah untuk mengenali riba dengan mendalamj ilmu serta meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada pakar-pakarnya (pakar-pakar ekonomi Islam). Tanpa ilmu, seseorang itu tidak akan dapat membezakan di antara keuntungan perniagaan serta lebihan riba. Bagi mereka, ianya mempunyai ciri-ciri yang sama dan tiada perbezaan bagi kedua- dua kategori tersebut.
Keluasan makna riba disempitkan dengan hanya beberapa perkara sahaja yang dijelaskan di dalam hadith Rasulullah SAW sahaja yang dikenali sebagai riba hinggakan tercicir banyak kategori yang turut mempunyai ciri-ciri riba yang sama. Dan kesempitan makna 'keuntungan perniagaan' diluaskan sehingga termasuk banyak perkara haram yang telah dihalalkan melalui proses penghalalan ini. Banyak kategori yang berada pada garis syubhah telah ditarik masuk ke dalam jurang halal yang akhirnya ciri-ciri pengharaman telah larut dan zat halal menjadi lebih tertonjol.
Kerana itu, ilmu dan kepercayaan kepada mereka yang berilmu perlu bergerak seiring bagi memastikan diri Muslim adalah bebas daripada pengishtiharan perang oleh Allah dan RasulNya.
No comments:
Post a Comment