Thursday, November 27, 2014

Siapa Jiran Itu?

Si sulungku bertanya "Baba, Kishen tu jiran kita ker?", jawabku "Ya, Kakak", "Ain tu, jiran kita jugak ker baba?", jawabku "Ya, kakak." "Semua yang tinggal di apartment kita ni adalah jiran kita, tak kira melayu ker dia, cina ker dia atau india, semua-semua adalah jiran kita"  jelasku dengan niat memberi sedikit pemahaman kepada si kakak yang berusia 8 tahun ini. Dia tersenyum bangga sebab baginya dia ada ramai kenalan yang kemudian nanti akan menjadi kawan-kawan yang menjadi teman sepermainannya. Tidak lagi terhad untuk berkawan dan bergaduh dengan adik lelakinya yang berusia setahun lebih muda.
Sesungguhnya, satu perkara yang hampir tidak mungkin berlaku kepada kita pada masa ini ialah untuk hidup tanpa jiran. Di mana sahaja, sama ada di kampung atau di bandar, jiran agak sukar untuk dielakkan. Kalau di kampung, jiran adalah mereka yang sudah lama kita kenal, daripada datuk, nenek, ayah, ibu dan anak-anak mereka. Anak-anak senang bermain dengan anak-anak mereka, ayah sering berbincang sesama mereka dan ibu kerap berceloteh dan berkongsi cerita sesamanya. Hampir separuh daripada kehidupan kita dan mereka adalah disaksikan secara bersama.
Tetapi di bandar, ia sedikit berbeza kerana orangnya lebih ramai dan cara hidupnya lebih sibuk. Masing-masing dengan hal sendiri, dunia sendiri dan 'circle' sendiri. Kediaman menjadi seperti sangkar bertaman, diseri indah, dihias cantik tetapi dipagar tinggi. Sangkar berpagar yang menjamin penghuninya tidak dikacau pada hartanya dan tidak diselidiki hak peribadinya. Batasan-batasan rumah menjadikan penghuninya semakin bersendirian di dalam ramai dan sunyi di dalam bising.
__________________________________________________________________________
 Baba, rumah orang ini mesti best kan? Tanya si sulungku setiap kali kami melepasi kediaman yang besar-besar dan berpagar tinggi di taman kami. Napa, kakak kata begitu? aku cuba menduga, sebab dia orang boleh main-main dan boleh lari-lari, tak ada orang yang kacau dan dia orang pun tak kacau orang…” jelas kakak dengan penuh yakin. Aku hanya senyap dan senyum dengan cuba memahami isi tersirat di dalam kata-katanya.
Sesungguhnya benar di dalam kata-katanya bahawa kediaman yang besar dan selesa adalah suatu kelebihan kepada penghuninya. Ia memberikan ruangan yang selesa kepada anggota keluarga yang sedang membesar dan kerehatan kepada yang telah berumur untuk menikmati usiausia yang tersisa. Namun di dalam kata-kata si sulungku itu aku dapati ia tertinggal satu perkara yang juga penting berkenaan dengan kediaman ini iaitu kejiranan. Jiran yang baik adalah pelengkap kepada kesempurnaan kediaman yang selesa dan jiran yang buruk bagi kediaman yang indah adalah seperti sekuntum bunga harum yang berada di dalam longgokan najis, sungguhpun cantik tetapi mustahil untuk dicium. Sungguhpun rumahnya nampak hebat namun kehidupan penghuninya adalah terseksa.
Di dalam perkara ini, Rasulullah SAW di dalam hadithnya bersabda:-
Empat perkara yang membawa kepada kebahagian iaitu (memiliki) perempuan (isteri) solehah, rumah yang bagus (luas), jiran yang baik dan kenderaan yang bagus (Riwayat Al-Hakim Abu Naim dan disahihkan oleh Al-Albani di dalam Sahih Al-Jami Bil (887)).
Terdapat empat (4) perkara penting yang akan membahagiakan kehidupan seseorang insan iaitu :-
a.          Isteri yang solehah
b.          Kediaman yang luas (selesa)
c.           Kejiranan yang baik
d.          Kenderaan yang baik

Faktor kejiranan adalah salah satu elemen besar yang akan membahagiakan kehidupan seseorang. Ia akan memberikan kita rasa lebih selesa dan selamat. Tiada syak dan prasangka di antara kita dan kejiranan. Masing-masing akan cuba ikat mengikati dan lengkap melengkapi.

No comments: