Showing posts with label ujian. Show all posts
Showing posts with label ujian. Show all posts

Sunday, January 26, 2014

Bersabarlah

Jangan bimbang dengan ujian,
Kerana ujian menjadikan kita tabah,
Kerana ujian membinakan kita kekebalan,
Kerana ujian membuatkan kita matang,

Percayalah,
Allah memberi kita uji,
Kerana Allah tahu,
Bahawa kita mampu diuji,
Percayalah selepas ujian akan ada kesenangan,
Selepas pahit akan ada manis,
Selepas gelap akan ada cerah,

Percayalah,
Ujian itu seperti getah,
Semakin ditarik semakin jauh perginya,
Semakin kuat ujian itu semakin tinggi tabahnya dan semakin kuat manisnya....

Monday, December 30, 2013

Bersabarlah di Atas Ujian

Bersabarlah di atas ujian,
Kerana ujian petanda kita dipeduli,

Bersabarlah di atas ujian,
Kerana ujian membina pertahanan,

Bersabarlah di atas ujian,
Kerana dengan ujian tanah menjadi subur,
Kerana dengan ujian hidup menjadi kental,
Kerana dengan ujian sakit menjadi biasa,
Kerana dengan ujian yang takut menjadi berani,

Bersabarlah di atas ujian,
Kerana ujian itu anugerah Ilahi,
Untuk membina dan membentuk,
Dengan bentuk yang telah ditentukan.

Monday, November 25, 2013

Nikmat Selepas Niqmah

Kini  quran begitu sayu bila mata sudah layu,
Kini qiyam dirasa #hebat bila solat hanya di kerusi,
Kini sujud dirasa indah bila kepala tidak mampu direbahkan,
Kini quran hanya di telinga bila mata sudah terpinga,


Tapi #syukur kerana sedar sebelum tersandar,
Syukur kerana di kerusi sebelum di sisi,
Syukur kerana mampu #sujud sebelum tersungkur sujud,
Syukur kerana selepas #mata ada telinga,

Wahai diri,
Hayatilah #nikmat sebelum niqmah,
Agar nikmat mengajar syukur,
Agar niqmah penghalang dosa,
Agar peringatan membina #iman.

Thursday, November 14, 2013

Ujian satu Rahmah

Ujian dan cubaan adalah rencah kehidupan. Dengannya kemanisan dapat dirasai, pengalaman dibina dan kesabaran diuji. Hidup tanpa ujian adalah satu kekosongan umpama sup tanpa rempah, kopi tanpa gula. Hidup tanpa ujian juga boleh membawa kepada kekufuran andai ianya membawa kepada takabbur dan besar diri. Firaun yang tidak ditimpa ujian pada awal kehidupannya bertukar menjadi takabbur dan kufur lantaran kesenangan yang mengalpakan. Begitulah sunnah ujian yang wujudnya mendidik dan melatih.

Ujian melatih yang lemah menjadi kuat dan kuat menjadi perkasa. Kuat datangnya daripada sabar dan sabar membina ketahanan. Umpama labu sayung yang dibakar, asalnya daripada tanah liat yang lembut dan dibakar untuk membina kekerasan, bertambah panas maka bertambah keras. Lagi lama berada dalam kepanasan lagi kuat ketahanan yang terbina.

Kesabaran yang terhasil adalah satu kekuatan kerana dengan adanya sabar maka darjah kesakitan dan keperitan dapat dirasa. Ia tidak bermeter dan tidak berukur, jadi tiadalah sukatan yang dapat dibina untuk dinilai. Si sabar sahaja yang tahu di mana ketahanan dan bagaimana dirasa. 
Islam mengajar manusia menerusi iman untuk membina dan memiliki kesabaran. Iman yang terbina akan membenihkan kesabaran kerana ia menggambarkan keredhaan ke atas ketentuan yang telah diputuskan Allah SWT. Redha dan percaya atas qadha dan qadar Allah SWT adalah salah satu daripada enam rukun iman yang menjadi prasyarat sebagai seorang mukmin. Bilal Bin Rabbah telah menunjukkan bagaimana iman dapat melahirkan kesabaran, dengan kalimah tauhid (ahad,ahad) beliau bertongkat mempertahankan iman. Dan setiap ujian yang diberi Allah SWT kepada seseorang manusia adalah petanda bahawa Allah SWT masih lagi mempedulikan hambaNya itu. Tidak terkena satu kesakitan dan kesusahan bagi seorang Muslim melainkan dihapuskan daripadanya dosa atau dinaikkan kepadanya darjat. 

Bagi Muslim segala-galanya adalah kebaikan sehinggakan Rasulullah SAW menyatakan ketakjubannya dengan hadith yang berbunyi :

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير وليس ذاك لأحد إلا للمؤمن إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر فكان خيرا له

Bermaksud : Telah berkata Rasulullah SAW, ketakjuban pada urusan seorang Mukmin, sesungguhnya segalanya adalah baik baginya dan tidak semua memiliki (ini) kecuali Mukmin, sekiranya ditimpa dengan kebaikan maka dia bersyukur, dan itu adalah baik baginya, dan sekiranya ditimpa dengan kesusahan maka dia bersabar, dan itu adalah baik baginya.

Begitulah rahmah agama ini yang membuka kebaikan dalam seluruh keadaan. Putih hitam, cerah dan gelap. Sejuk, panas, manis dan pahit. Semuanya adalah makhluk Allah yang kebaikan dan keburukan adalah semuanya di bawah ketentuannya.

Monday, April 29, 2013

Syukur Pada Nikmat dan Sabar Pada Ujian

Sedikit bagi yang punya banyak, adalah besar kepada yang tiada.

Perlahan bagi yang laju, adalah deras bagi yang tidak bergerak.

Sakit bagi yang aktif, adalah kuat bagi yang terlantar koma yang jarinya pun tidak mampu untuk digerakkan.

Ubat bagi yang banyak adalah dengan melihat yang sedikit dan ubat bagi yang sedikit adalah dengan melihat kepada yang tiada.

Rawatan kepada musibah adalah dengan kesabaran dan rawatan kepada kesenangan adalah dengan kesyukuran.

عن صهيب رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "عجبا لأمر المؤمن، إن أمره كله خير، وليس ذلك إلا للمؤمن، إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له، وإن أصابته ضراء صبر فكان خيرا له" صحيح مسلم : كتاب الزهد والرقائق

Dari Suhaib r.a., telah berkata : telah berkata Rasulullah SAW : "ketakjuban dengan urusan seorang mukmin, sesungguhnya segala urusan adalah baik untuknya, dan tidak berlaku perkara itu kecuali kepada seorang mukmin, apabila dikurniakan kesenangan maka bersyukur dan ianya adalah baik baginya, dan sekiranya ditimpa bencana maka bersabar dan ianya adalah baik baginya." sahih muslim


Wednesday, March 20, 2013

Siang Malam

Apabila malam tiba, kita yakin bahawa siang akan menjelma di penghujungnya. Begitu juga dgn siang, kita pasti yg dipenghujungnya ada malam.

Tapi yang kita tidak pasti ialah, adakah kita orangnya yg akan bersama dgn siang dan malam tersebut.

Kekadang kita berasa yakin yg pertukaran siang dan malam tersebut adalah serasi dgn kita hinggakan seakan-akan pada satu ketika tidak disedari yang ianya  tidak lagi akan bersama kita..

Tanpa diduga, ketika itu adalah khas utk kita tanpa sempat malam menemui siang atau siang bertemu malam.