Thursday, June 20, 2013

Harga Naik Lagi....by hashim and hadi

Alhamdulillah, mujurlah kerajaan tidak meluluskan permintaan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), walaupun difahamkan sebelum ini mereka masih kekal dengan pendirian untuk tetap menaikkan tambang bas ekspres sebanyak 30 peratus, walaupun banyak pihak menyifatkan kadar tersebut sebagai terlalu tinggi dan tidak munasabah.
Jika pihak kerajaan benar-benar melayan tuntutan mereka itu, pastinya akan mencetuskan bebanan kewangan kepada sebahagian besar rakyat yang masih bergantung harap kepada perkhidmatan awam untuk berulang alik ke kampung halaman masing-masing khususnya ketika musim perayaan.
Untuk itu, saya beranggapan keputusan pihak pengusaha bas sebelum ini untuk tidak menjual tiket lebih awal seperti kebiasaanya, iaitu pada Julai dan Ogos sebagai ‘ugutan cara halus’ kepada pihak kerajaan, khususnya kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar meluluskan permohonan tersebut.
Pada saya, pihak pengusaha bas ekpress tidak sewajarnya mengambil sikap dan tindakan sedemikian yang jelas mencerminkan sikap terlalu mementingkan diri sendiri, tanpa ada rasa tanggungjawab sosial kepada rakyat dan negara.
Apalah salahnya, jika sekali-sekala ‘kurang untung’ akibat membantu rakyat dan negara. Sifat terlalu mementingkan keuntungan perlulah diredakan. Apatah lagi, 'budaya ugut-mengugut' seperti ini. Bertimbang rasalah sebelum membuat apa-apa tuntutan, agar pihak – pihak tertentu tidak dizalimi. Baik pengusaha bas, pemandu mahupun rakyat jelata. Jika ini dapat dijadikan budaya dalam gerak laku ekonomi kita, Insha Allah kestabilan dan keamanan ekonomi dapat dinikmati secara lebih adil. Banyak pihak akan berpuas hati dan tidak menyanggahi antara satu sama lain.
Andaikata, kerajaan 'bersetuju' dengan tuntutan tersebut, inilah anatara hasil bebanan kewangan yang bakal ditanggung oleh rakyat kebanyakan.
Trip: Kuala Lumpur ke Pasir Mas
Harga sekarang: RM43
Harga selepas 30%: RM55.90
Cuba bayangkan, jika lapan orang sekeluarga yang terpaksa menggunakan perkhidmatan bas tersebut untuk berulang alik sebanyak lima kali setahun .
RM55.90 X 8 orang X 10 hala = RM4,472.00 (belum termasuk kos teksi dan makan minum)
Alamaknya, makin ramailah yang akan jarang balik ke kampung halaman masing-masing untuk menziarahi kedua ibubapa dan sanak saudara. Tambahan lagi, kenaikan gaji khususnya mereka yang berada di sektor swasta hanyalah sekitar 3 peratus hingga 6 peratus setahun. Itupun, tidak menentu. Kadang-kadang ada, kadang tidak ada.
Saya masih ingat lagi, lima belas tahun yg lalu ketika saya mula-mula bermujahadah mencari kehidupan di Kuala Lumpur harga tiket pada waktu itu hanya sekitar RM25 sahaja. Itupun, dalam keadaan tidak ada lambakan bas ekpress pelbagai jenama seperti hari ini!
Saya percaya, dalam konteks hari ini soal pengangkutan sudah termasuk dalam kategori 'dhururiyyat' (keperluan asas) yang perlu diberikan 'perhatian' secara serius dan telus oleh kerajaan, agar rakyat pelbagai lapisan dpt menikmati hak mereka yang selayaknya.
Justeru, diharapkan kerajaan tidak perlu terlalu 'tunduk' kepada tuntutan seperti itu. Namun, pada masa yang sama perlu juga memikirkan satu mekanisme yangg sesuai dan munasabah agar para pengusaha bas turut mendapat hak mereka yang selayaknya. Antaranya, dengan melaksanakan sistem secara tender terbuka untuk mengurus pengangkutan bas ekpress ke seluruh negara di bawah satu konsortium yang dikawal selia secara terus dan telus oleh pihak SPAD.
Akhir sekali, mana-mana pengusaha yang tetap berdegil perlu diberikan kata dua iaitu, ‘either take it or leave it’. Banyak lagi pihak yang berkelayakan dan mahu menguruskan perkhidmatan tersebut secara lebih professional dan telus. Namun, ianya amat sukar dititik noktahkan, sekiranya unsur ‘kronisme dan nepotisme’ berakar umbi dalam projek-projek anugerah kerajaan

No comments: