Wednesday, September 25, 2013

Perjanjian Haram - Jalan Keluar (2)

Kaedah kedua untuk keluar daripada perjanjian haram adalah melalui 'perbincangan secara muqabalah (bersemuka)'.


  • Dalam kaedah ini, kedua-dua pihak yang berjanji hendaklah bersemuka bagi membincangkan isu pengharaman tersebut. Sekiranya salah satu pihak sahaja yang memahami isu tersebut maka dia bertanggungjawab untuk menerangkan kepada pihak yang lain. Walau bagaimanapun ianya tertakluk kepada kapasiti individu yang memahami isu, sekiranya 'under capacity' dan pihak yang lain adalah golongan 'yadun 'ulya', maka pilihan untuk bersemuka tidak akan memberi kesan yang memuaskan. Pilihan ini akan berkesan sekiranya kedua-dua pihak adalah sekufuk (sama level) di mana tiada siapa memiliki dominasi.
  • Di dalam kaedah bersemuka ini, si faham perlu menjelaskan tentang kenapa perjanjian yang dibuat adalah haram. Hujah dan fakta perlu diperhalusi, dikongsi dan diperbincangkan agar kedua-dua pihak dapat mengemukakan pendapat dan sokongan. Sekiranya titik pertemuan pendapat berkenaan hukum tidak dapat diperolehi maka pandangan pihak ketiga oleh golongan ulama yang memahami tentang senario semasa perlu dimiliki. Pendapat pihak ketiga ini hendaklah dikira sebagai muktamad dan diterima pakai di dalam menyelesaikan pertingkaian dan pihak ketiga ini hendaklah bersifat bebas dan tidak berpihak.
  • Tujuan bersemuka ini membolehkan kedua-dua pihak secara bersama untuk merubah perjanjian haram kepada perjanjian baru yang bersifat halalan toyyiban. Tujuan murni ini hanya akan tercapai sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman, kesungguhan, matlamat dan hala tuju yang sama. Syarat-syarat kesamaan ini adalah merupakan teras di dalam titik pertemuan sungguhpun secara zahirnya tampak berbeza. Sebagai contoh, seorang bukan Muslim dan Muslim yang telah mengikat perjanjian pembekalan ubat kepada sebuah hospital dengan pensyaratan ubat-ubat adalah bebas daripada racun dan bahan-bahan berbahaya. Dalam proses pembekalan tersebut, tetiba terdapat elemen haram yang berasaskan khinzir ditemui di dalam ubat-ubatan tersebut dan ianya adalah berbahaya kepada kesihatan pengguna. Jadi di atas kesedaran tersebut, maka kedua-dua pihak yang berjanji yang mempunyai matlamat yang sama akan mengubah perjanjian haram kepada perjanjian halal. 
  • Namun di dalam kes di atas, perubahan daripada haram kepada halal adalah bukannya melibatkan elemen aqidah dan kepercayaan tetapi ianya lebih kepada alasan lahiriah yang bersifat fizikal kepada mereka yang terlibat. Kaedah ini, boleh juga digunapakai sekiranya perjanjian haram tersebut adalah melibatkan mereka yang seakidah dan seagama. Si Muslim yang berjanji hendaklah bijak mencari hikmah disebalik pengharaman satu-satu perjanjian. Dan ini bukannya dikira sebagai mentakwil satu-satu hukum Allah yang telah ditetapkan tetapi ianya adalah satu kaedah bagi memperkuatkan keimanan mereka yang terlibat dan memperlihatkan kelebihan Islam itu sendiri.
  • Nabi Allah Ibrahim A.S pernah meminta Allah memperlihatkan kepadanya tentang bagaimana Allah menghidupkan mereka yang telah mati. Permohonan ini bukannya untuk mempersendakan kuasa Allah akan tetapi ianya bagi memperkuatkan iman yang sedia ada dilubuk kalbunya. Firman Allah SWT berbunyi:
  • وإذ قال إبراهيم رب أرني كيف تحيي الموتى قال أولم تؤمن قال بلى ولكن ليطمئن قلبي قال فخذ أربعة من الطير فصرهن إليك ثم اجعل على كل جبل منهن جزءا ثم ادعهن يأتينك سعيا واعلم أن الله عزيز حكيم
  • Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-mahkluk yang mati?" Allah berfirman: "Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanKu)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yaqin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang sangat-sangat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera". Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


    (bersambung)

No comments: