Wednesday, January 29, 2014

Kenapa Perlu dipisahkan

Sistem apakah ini yang ditegakkan? Keadilan siapakah ini yang diperjuangkan? Hinggakan perasaan manusia tidak lagi menjadi penilaian. 

Jika atas dasar keselamatan si anak takut didera dan disakiti maka si anak dipisahkan daripada ibu bapanya, maka itu adalah satu alasan yang munasabah. Namun, jika marah untuk membentuk itu dianggap dera maka pemisahan itu adalah satu penzaliman. Mana tidaknya, kerana pemisahan seorang anak dr ibu bapanya adalah merupakan suatu penyeksaan perasaan, kalau bukan untuk ibu bapanya, sudah pasti untuk si anak.

Tindakan proaktif dan sensitif mereka adalah dipuji kerana ia boleh menyelamatkan nyawa si kecik daripada diseksa dan dizalimi oleh si tua. Namun manusia bukan robot kerana setiap tindakan perlu ulasan, andai berasas terimalah andai tidak tangkaplah. Andaikata tindakan marah ibu bapa yang dibuat atas alasan untuk mendidik yang masih lagi di dalam ruang lingkup ‘boleh diterima’, hendaklah dinilai. Dan penilaian tersebut hendaklah juga mengambilkira ‘human right’ ke atas perasaan ibu bapa tersebut dan juga anak-anak mereka di mana si anak sudah sepastinya tidak terlepas daripada perasaan rindu kepada kedua ibu bapa mereka.

Andaikata terdapat merit bahawa si tua tadi mungkin akan melakukan tindakan penderaan maka ambillah tindakan dan jalankanlah penyiasatan namun ianya hendaklah dibuat dengan skop yang logik. Janganlah diambil masa yang lama dan janganlah pula dinafikan hak anak-anak tadi daripada kedua ibubapa mereka untuk berjumpa (kecuali anak-anak yang telah sampai umur mumayyiz yang mengambil keputusan untuk tidak berjumpa) serta jangan pisahkan anak-anak tadi daripada keluarga besar mereka.

Islam cukup memarahi mereka yang tidak reti untuk menyayangi si kecil. Sehinggakan Rasulullah SAW menegur Al-Aqra’ Bin Habis ketika mana Al-Aqra’ melihat baginda mencium cucunya Al-Hasan. Al-Aqra’ berkata ‘Sesungguhnya aku mempunyai sepuluh orang anak, tidak aku menciumi mereka walaupun seorang’, Baginda SAW berkata ‘من لا يرحم لا يرحم(bermaksud : sesiapa yang tidak merahmati tidak akan dirahmati).

Ini adalah merupakan gambaran yang jelas bahawa setiap Muslim wajib menyayangi dan merahmati si kecil kerana perbuatan itu adalah disukai oleh agama dan diredhai oleh Allah SWT.

Walau bagaimanapun, di dalam mendidik Islam membenarkan ibu bapa untuk sedikit berkeras namun tidak sampai kepada had mencederakan mahupun menyakiti si kecil. Kekerasan yang dimaksudkan adalah ketegasan di mana ia mampu untuk membina gerun dan rasa hormat mereka kepada kedua ibu bapa. Contohnya, di dalam melatih anak-anak untuk bersolat, ianya hendaklah bermula ketika mereka berumur tujuh (7) tahun di mana suruhan demi suruhan perlu dilakukan. Setelah berumur sepuluh (10) tahun dan anak tadi masih lagi berdegil untuk tidak bersolat, maka ibu bapa bolehlah memukulnya dengan pukulan yang tidak menyakitkan namun bermakna untuk mendidik. Perintah suruh dan memukul dipisahkan selama tiga (3) tahun di mana tempoh ini sudah cukup berkesan untuk mengingatkan si kecil agar menunaikan kefardhuan solat tersebut.

  
مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين، واضربوهم عليها وهم أبناء عشر، وفرقوا بينهم في المضاجع

Maksudnya :
Perintahkan anak-anakmu untuk bersolat ketika mereka berumur tujuh (7) tahun, dan pukullah mereka (sekiranya tidak menunaikan solat) ketika mereka berumur sepuluh (10) tahun, dan pisahkanlah tempat tidur mereka.

Islam adalah merupakan agama rahmat di mana ianya cukup sempurna. Islam mengajar umatnya untuk merahmati anak-anak, mendidik dan menegur mereka. Islam membenarkan ketegasan di dalam mendidik namun ianya perlu dilakukan secara berhikmah bukan menyeksa. 

No comments: