اللهم أحسنت خلقي فأحسن خلقي
Ya Allah yang telah mengindahkan penciptaanku maka perelokkanlah akhlakku
Seorang ayah bertanggungjawab untuk membina tubuh dan jiwa sesuatu keluarga. Daripada sudut luarannya, ayah bertanggungjawab untuk membekalkan keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan keselamatan. Keperluan-keperluan ini akan membentuk fizikal dan luaran yang lengkap yang membolehkan ahli keluarganya membesar dan meneruskan kehidupan dari sehari ke sehari. Namun sebagaimana sedia maklum, jasad manusia tiada manfaat jika tidak bersama dengan roh dan jiwa. Sebagaimana tidak bermanfaatnya pakaian yang cantik dan anggun kepada sebuah patung yang dihias indah. Si patung tidak akan punya perasaan samaada dipakai cantik atau diselubung hodoh. Berlainan dengan insan yang punya jiwa dan perasaan yang mana si ayah bukan sahaja bertanggungjawab untuk membina fizikal namun juga untuk mengisi dan mengatur jiwa.
Pembentukan muslim yang sempurna adalah tidak semata-mata pada bentuk fizikalnya namun yang lebih dinilai adalah jiwa dan perasaannya yang mana kedua-dua ini akan membetukkan akhlak keseluruhan seseorang Muslim. Terdapat sepotong doa ma’thur yang diajarkan kepada ummat Muslim yang cukup untuk menggambarkan bagaimana perlunya akhlak yang indah selari dengan keindahan fizikal ciptaan Allah Azzawajalla. Doa’ tersebut berbunyi:
اللهم أحسنت خلقي فأحسن خلقي
Ya Allah yang telah mengindahkan penciptaanku maka perelokkanlah akhlakku
Ayah adalah insan pemancu yang bertanggungjawab untuk menjadi penggera yang akan menentukan bentuk jenis pengisian jiwa bagi sesuatu keluarga. Sungguhpun si ayah adalah tidak serapat si ibu di dalam bermuamalat dengan ahli keluarga namun penentu hala tuju dan jenis pengisian jiwa masih lagi terletak di bahu si ayah.
No comments:
Post a Comment