Tuesday, April 17, 2018

Ciri-Ciri Pemimpin Dalam Islam

Pemimpin didambakan ialah laksana singa di siang hari dan a’bid di malamnya. Pada siangnya beliaulah pemimpin gagah, gigih berikhtiar dan berusaha dengan segala daya di dalam membawa kesejahteraan masyarakat. Di dalam usahanya sentiasa menitikberatkan kemakmuran, kesungguhan di dalam menyediakan suasana selesa dan aman bagi kehidupan, kondusif dan selamat untuk perkembangan ekonomi serta subur dan lunak untuk percambahan pendidikan dan ilmu. 


Pada malamnya pula, beliau bagaikan a'bid di mana fokusnya adalah sepenuhnya beribadah kepada Allah. Mengadu segala perihal kepadaNya, memohon segala bantuan di atas segala keperluan, meminta ampun di atas segala kesalahan dan kealpaan. Di penghujung malamnya sentiasa diperuntukkan khas kepada Allah Azzawajalla tanpa diketahui oleh sesiapa pun hinggakan isteri di sebelah pun tidak menyedari akan perihal tersebut.

Horizon kepimpinan Islam adalah melangkaui tempoh kehidupan ini. Ia tidak terhenti kepada tamatnya usia seorang pemimpin atau yang dipimpin tetapi berkesinambungan sehingga ke akhir hari perhitungan. Setiap tindak tandak mereka sentiasa mengambil kira kesan baik buruk akan berlaku dalam masa terdekat dan akan datang. Ditambah pula natijah bakal diterima di akhirat kelak sama ada ia membawa ke syurga atau ke neraka, wal ‘iyazubillah. Amanah utama di dalam melaksanakan tugasan ini ialah untuk sentiasa memimpin kita menjadi lebih hampir kepada Allah dan menjauhkan kita daripada maksiat serta kemungkaran. 

Pemimpin ini tidak akan sesekali menyerahkan urusan agama rakyatnya kepada rakyatnya semata-mata. Bahkan beliau akan sentiasa mengaitkan dirinya dengan apa terjadi kepada rakyatnya. Setiap titahnya adalah nasihat, setiap kata-katanya adalah azimat dan setiap tegurannya adalah pesanan. Tiada nista pada pertuturan, tiada pembohongan pada kata-kata dan tiada penghinaan pada kalimahnya. Segala tindak tanduknya adalah dibuat semata-mata kerana amanah diberikan Allah. Baginya jawatan ini adalah satu tanggunjawab bukan satu keistimewaan.

Kepimpinan diri sendiri
Kepimpinan dalam Islam adalah bermula dengan diri sendiri. 'Role' modelnya adalah Rasulullah SAW di mana akhlaknya adalah Al-Quran. Berakhlak adalah permata utama seorang pemimpin menjadikan beliau disanjungi kawan dan digeruni lawan. Akhlak adalah suatu kepimpinan kerana ia bukan suatu lakonan sebaliknya ia suatu latihan yang menjadikan perkara-perkara baik sebati dan lekat dengan dirinya seolah-olah tidak dapat dipisahkan lagi. Kerana itu kepimpinan sememangnya bermula dengan diri sendiri.

Dicintai dan didoakan rakyat
Nilai seorang pemimpin adalah dicintai dan disayangi oleh yang dipimpin. Kecintaan ini adalah bukan berpunca daripada harta dan kuasa tetapi lahir atas nilai diri dengan meletakkan agama dan maruah sebagai teras dan benteng di dalam kepimpinan. 

Kita pernah mendengar kisah pemimpin hebat dunia berbekalkan kebolehannya untuk berpidato memukaukan ribuan rakyat sehinggakan tiada seorangpun akan bangun meninggalkan majlis tatkala beliau berucap. Apabila ditanya kepada pendengar, dijawabnya adalah 'sungguhpun pidato tersebut dibuat di hadapan ribuan khalayak, namun ia seolah-olah berucap khas untuk diriku seorang. Mana mungkin untuk aku bangun meninggalkannya apabila dia sedang bercakap dengan diriku'. Begitulah kehebatan kebolehan pidato pemimpin tersebut sehinggakan para rakyat seolah-olah kasih dan mencintainya. Namun beliau telah dibeli dunia, akibatnya para rakyat menolak dan menyanggah ketuanan beliau. Kasih dan sayang rakyat hilang tergadai begitu sahaja.

Seorang pemimpin Islam sebenar akan memperolehi lebih daripada cinta dan sayang mereka yang dipimpin. Hadiah terbesar bakal diperolehinya hasil daripada pemberian ikhlas mereka di bawah tanpa disuruh dan dipaksa. Hadiah ini bakal dipahat kekal di sisi Allah Azzawajalla, Tuhan yang Maha Memberi segala sesuatu. Ia tidak lain dan tidak bukan adalah sebuah doa. Ia tidak akan terhasil daripada pengampu dan musuh sebaliknya ia muncul jernih hasil daripada benih keikhlasan yang ditanam murni di atas segala usaha kepimpinan. Itulah tautan mahabbah di antara pemimpin dan rakyatnya. Di atas mendoakan di bawah dan di bawah mendoakan di atas. Segala perkara diserah kepada Allah Azzawajalla setelah setiap usaha telak dilaksanan. 

Inilah dia ciri-ciri pemimpin dalam Islam. Setiap gerakan dan tindakan adalah sentiasa berhubungkait dengan Allah. Setiap cara dan matlamat sentiasa dipantau agar ia bukan sahaja membuahkan hasil di dunia sementara ini tetapi melangkau hingga alam akhirat. Kepimpinan tersebut adalah bukan semata-mata untuk membetulkan masyarakat sebaliknya jua untuk membetulkan diri sendiri kerana diri tersebut adalah sebahagian daripada anggota masyarakat. Elok masyarakat namun nafsinya gagal maka itulah sebesar-besar kegagalan. Puncak kepada kejayaan mahabbah rakyat kepada pemimpinnya adalah dengan memperolehi sepotong doa dipanjatkan kepada Allah demi keberkahan dan kerahmatan Ilahi di atas kepimpinan tersebut.

No comments: