Showing posts with label Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Kehidupan. Show all posts

Saturday, November 30, 2013

Kehidpun Hanya Persinggahan

Kehidupan hanyalah satu perjalanan, 
Dalam setiap perjalanan sudah pasti ada yang dituju,

Seorang  insan, 
Kehidupannya adalah perjalanannya,
Kehidupannya  adalah persinggahan,
Persinggahan sifatnya sementara,
Sebagai bekalan dalam perjalanan,

Lumrah perjalanan,
Ada sakit, ada pedih, ada suka dan ada bahagia,
Ketika diberi sakit dan pedih,
Sabarlah peneman dan sahabat yang setia,
Ketika diberi suka dan bahagia,
'syukur'lah pelengkap dan juga penyudah,
Agar berkat dan rahmat sebagai ganjaran,

Jika hidup sentiasa memberi,
Pastinya akhir juga dengan pemberian,
Pemberian mana lagi yang ingin diharapkan,
Ketika tiada lagi pemberian yang boleh diterima,
Kecuali pemberian yang hanya Allah mampu memberi.

Sunday, October 20, 2013

Business Kehidupan

Kehidupan biasanya dikaitkan dengan manusia yang berakal  di mana di dalam setiap kehidupan terdapat kisah dan sejarah. Haiwan dan tumbuhan juga mengalami proses 'hidup' namun tidak pula dikiatkan dengan kehidupan kerana sejarah dan kisah mereka biasanya akan hilang begitu sahaja. Ianya melalui proses rutin yang tidak jauh berbeza dari sehari ke sehari. Berbeza dengan manusia, di mana kehidupan mereka juga rutin namun akal sentiasa berkisar untuk melakukan perubahan, penambahbaikan dan kemenangan. Terdapat banyak cerita yang disimpan untuk kenangan dan sejarah sebagai mengambil ibrah daripada apa yang berlaku dan motivasi demi masa masa mendatang.

Sebuah kehidupan adalah dimengertikan dengan kehidupan seseorang manusia di mana ianya tidak terhad kepada yang kaya atau yang berjaya sahaja. Semua manusia tidak kira kaya atau miskin, berjaya atau gagal, kecil atau besar, muda atau tua, atau siapa sahaja sememangnya mempunyai sebuah kehidupan yang harganya tidak ternilai dengan ringgit dan sen atau emas dan perak. Sememangnya sebuah kehidupan adalah bukannya satu eksperimen tetapi ianya adalah pengalaman nyata yang di dalamnya ada kesakitan dan kebahagian sebenar oleh seseorang yang benar-benar berlaku. 

Realiti kehidupan  adalah aset berharga yang terkumpul di dalam perbendaharaan pengalaman di mana ianya amat berharga kepada pemilik dan tidak boleh dipindah milik. Walau bagaimanapun, ianya amat bermakna untuk dikongsi dengan orang lain sebagai pengajaran dan iktibar. Sungguhpun pengalaman tersebut tidak serupa secara fizikal tetapi ketahanan, kesabaran dan mental menuntut ciri-ciri yang serupa.  Seorang yang serius sakit akan merasa kesakitannya adalah yang amat perit dan kesabarannyalah yang paling tinggi. Namun, ketahuilah di sana terdapat orang lain yang mempunyai darjah kesakitan yang berbeza dan juga menuntut kesabaran yang berbeza dan nilai siapa yang lebih dan siapa yang kurang tidak dapat diukur dengan apa jua peralatan ukur yang wujud. Tetapi secara jumhurnya, pengalaman yang dapat dikongsi oleh bekas pesakit tadi ialah erti kesabaran. Pengalaman kesabaran itulah intipati sebenar yang dapat dikongsi oleh bekas pesakit kepada mereka yang lain sebagai persediaan di dalam membina ketahanan kesabaran sekiranya penyakit tadi datang mengunjung kepada yang lain.

Setiap insan yang berumur sudah sepastinya kaya dengan pengalaman. Ada dikalangan mereka yang suka berkongsi dan ada juga yang suka memendam dan membiarkan pengalaman mereka berkhazanah bersama dirinya. Jadi bagi yang muda terutama yang ingin mendewasakan serta mematangkan diri secara lebih baik, maka salah satu caranya  adalah dengan bersahabat dengan golongan yang tua beralaskan sifat penuntut dan pelajar yang sebenar. Sebagai penuntut, segala adab perlu dijaga terutama apabila berhadapan dengan mereka yang telah berumur kerana mereka agak sensitif. Sekiranya perasaan ini diusik maka penuntut tadi akan rugi kerana ia akan membina benteng halangan yang akan menghadkan perkongsian ilmu pengalaman yang dimiliki mereka. Jadi tidak rugi untuk merendahkan diri bagi memperolehi ilmu kerana merendahkan diri bukan bermakna menjatuhkan maruah tetapi dengan ilmu martabat diri akam menjadi lebih jitu dan nilainya menjadi lebih utama.

Mereka yang empunya sebuah kehidupan biasanya lebih matang dan jelas pemikirannya. Struktur pemikiran yang terbina adalah bukan hanya dari asas teori semata-mata tetapi juga disokong oleh pengalaman yang kukuh yang mana ianya akan menghasilkan sesuatu tindakan atau keputusan yang baik. Oleh sebab itu, nasihat dan pendapat yang diberikan oleh golongan ini adalah amat berharga. Umpama garis panduan pemasangan kabinet yang bukan setakat ditunjuk secara bertulis tetapi  juga disertakan dengan video pemasangan lengkap. Panduan bertulis sukar untuk ditiru tetapi video amali senang untuk diikuti. Begitulah nasihat mereka yang matang, ceritanya bukan omongan tetapi ianya adalah suri teladan yang perlu dipertimbangkan.

Setiap individu adalah setiap kehidupan. Padanya lembaran sejarah yang pelbagai yang banyak diabaikan dan sedikit sahaja dihiraukan. Sungguh beruntung bagi mereka yang reti menilai kerana emas akan kekal sebagai tanah dan batu sekiranya ia tidak dikenali. Begitu juga dengan kehidupan, mereka yang reti menilai pengalaman orang lama sahaja yang bakal mendapat manfaat daripada perkongsian sebuah kehidupan. Mereka yang buta akan kekal membatu dan senyap tanpa sedu.


Monday, May 13, 2013

Langit Tidak Selalu Cerah

langit tidak selalu cerah,
Hari tidak selalu terang, 
Udara tidak selalu nyaman,
Air tidak selalu tenang.

Begitu juga dengan kehidupan,
Hidup tidak sentiasa riang,
Kekadang manis, kekadang pahit,
Kekadang kalut, kekadang hebat.

Dalam pelbagai keadaan,
Diri manusia kekadang menjadi seperti sabut, hanyut dibuai lambunan ombak,
Kekadang menjadi seperti resmi padi, mengarah selari dengan tiupan angin, 
Dan kekadang menjadi tegar seperti tunggul berakar tunjang.

Begitulah kehidupan ini, biarlah diri seperti air berbentuk berdasarkan suasana,
Tapi tidak pada agama, biarkan ia seperti tunjang, kekal padu disetiap waktu, sehingga waktu yang telah ditentu.


عَنْ أَنَسٍ قَالَ

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ
(يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ)
فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ
فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟

قَالَ

(نَعَمْ، إِنَّ الْقُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ)(1)

Daripada Anas telah berkata, adalah Rasulullah SAW banyak berkata "Wahai Yang Membalik-balikkan hati, kekalkan hatiku di dalam agamamu, maka aku berkata, Wahai Rasulullah SAW, aku beriman dengan mu dan dengan apa yang kamu bawa, adakah kamu meragui kami, maka berkata Rasulullah SAW, Ya! Sesungguhnya hati itu berada di atas (kekuasaan) Allah, diterbalikkan sebagaimana yang dikehendakinya.