Showing posts with label solat. Show all posts
Showing posts with label solat. Show all posts

Thursday, January 23, 2014

Bekerja Adalah Satu Ibadah

“Daripada Ibn Umar, telah bersabda Rasulullah SAW “sebaik-baik manusia adalah yang memberi banyak manfaat kepada manusia” Diriwayatkan oleh At-Tabrani

Bekerja adalah merupakan satu ibadah umum yang mana ianya tidak seperti solat, puasa, zakat dan hajj di mana tuntutannya adalah tertakluk kepada waktu dan kaedah yang khusus. Sesuatu pekerjaan yang tidak bertentangan dengan shariah Islam dan dilakukan semata-mata untuk mendapatkan redha Allah SWT adalah merupakan ibadah biarpun pekerjaan tersebut adalah sekecil-kecil tindakan. Ibadah umum ini memberikan ruang yang luas kepada Muslim untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah SWT di dalam setiap tindak tanduknya dan ini adalah merupakan satu sumber motivasi agar setiap Muslim yang bekerja terus bekerja dan melakukan kerjanya dengan nilai tambah yang tinggi serta melahirkan hasil kerja yang amat bermutu dan berguna.
 عن ابن  عمر قال رسول الله (ص) "خير الناس  أنفعهم للناس" رواه الطبراني
“Daripada Ibn Umar, telah bersabda Rasulullah SAW “sebaik-baik manusia adalah yang memberi banyak manfaat kepada manusia” Diriwayatkan oleh At-Tabrani
Ibadah umum melalui pekerjaan ini amat bermakna kerana ianya meliputi lebih daripada 60% daripada jumlah keseluruhan masa yang dimiliki seseorang, kerana itu apabila ianya dinilai sebagai ibadah maka sebahagian besar kehidupan manusia adalah untuk pengabdian kepada Allah Azzawajalla. Ini adalah merupakan satu rahmat kepada seorang Muslim kerana setiap tindak tanduk baik yang dilakukan adalah diberi ganjaran oleh Allah dan ia juga berperanan untuk menjauhkannya daripada azab api neraka.
Perbincangan di atas membawa kepada sumber motivasi sebenar kepada seseorang Muslim untuk terus berjuang di dalam lapangan masing-masing bersyarat ianya adalah tidak bertentangan dengan shariah. Perjuangan yang dibuat adalah pada kadar yang maksimum untuk mengharapkan pengeluaran yang maksimum daripada sudut kualiti dan kuantiti.
Antara sumber motivasi bagi seorang muslim untuk terus bekerja adalah :
(a)       Redha Allah SWT.
(b)       Menjadi sumber manfaat kepada yang lain.

(c)       Penghasilan kualiti yang tinggi.

Thursday, September 19, 2013

Solat lima (5) waktu

Penciptaan manusia dan jin adalah bertujuan untuk beribadat kepada Allah azzawajalla. Sebaik-baik ibadat kepada manusia khususnya ummat muhammadan yang dituntut ialah solat mafrudhah iaitu solat lima (5) wakti sehari semalam. Ianya adalah tiang agama di mana berdirinya di atas asas aqidah yang jelas dan benar. Penghubung aqidah dan amalan yang lain bergantung kepada keberkesanan solat-solat ini. Solat-solat ini juga bertindak sebagai pemunggar kepada segala kejahatan dan kemungkaran. Ini kerana solat adalah manifestasi kepada aqidah yang benar. Benarnya akidah maka eloklah ibadah.

Solat 5 waktu adalah penghubung antara manusia dengan Tuhannya. Ibadah adalah merupakan satu aktiviti yang tidak diciptakan manusia kerana kaedah ibadah adalah hanya benar sekiranya ia merupakan wahyu atau tuntutan yang telah dijelaskan oleh Allah azzawajalla. Manusia tidak mempunyai hak untuk mencipta kaedah ibadah sunggupun pada pandangan manusia akitiviti itu murni dan baik. Oleh kerana itu, solat bertindak sebagai penghubung antara manusia dengan Tuhannya kerana solat adalah ibadah wahyu yang dikurniakan Allah melalui satu proses isra' dan mi'raj yang dianugerahkan Allah khusus kepada Rasulullah Saw. Solat adalah doa dan doa adalah penghubungan terus seorang hamba dengan Tuhannya tanpa sempadan dan had.

Solat lima (5) waktu lebih besar daripada amalan-amalan lain seperti puasa sunat, berzikir dan membaca Alquran. Ini kerana solat adalah tunjang dan ibadah-ibadah lain adalah bunga dan dedaun. Tunjang perlu diperkukuhkan kerana dengan tunjang bergantungnya yang lain. Perelokkan tunjang bukan dengan semata-mata menunaikannya tapi juga perlu dengan penelitian dan penjagaan haknya.  Antara perkara-perkara yang perlu diambil kira di dalam solat mafrudhah ialah :-

(a) Solat jemaah

(b) Solat diawal waktu

(c) Solat dengan memenuhi segala syarat dan rukunnya.

(d) Menghadirkan diri semasa bersolat dan khusyuk.

(e) Menjauhkan tergesa-gesa dan melakukan dengan bertoma'minah (satu persatu dan tenang)

(f) Mewujudkan rasa al-khauf, al-raja', an-nadamah dan al-ikhlas.
Ayuh kita menjaga solat lima (5) waktu agar yang lain juga turut terjaga...