Sunday, April 15, 2012

Ilmu dan Amalan Soleh

Allah SWT berfirman:
(ومن أحسن قولا ممن دعا إلي الله وعمل صالحا وقال إنني من المسلمين (فصلت: 33
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri”

Sebaik-baik pertuturan adalah seruan ke jalan Allah, seruan bagi melakukan amalan soleh dan pengisytiharan tentang kemusliman diri. Perkara ini adalah bersifat ‘inclusive’ di mana ianya tidak terhad kepada para ilmuan, penyeru, pendakwah mahupun siapa sahaja tetapi ianya bersifat terbuka dan 'dibenarboleh' kepada semua individu, yang penting ianya hendaklah berasaskan ilmu yang selari dengan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW.

Ayat di atas juga menggalakkan agar wujudnya suasana ilmu di kalangan muslimin. Suasana ilmu yang menggalakkan ke arah semakin kenal seorang hamba kepada tuhannya. Ilmu di mana seseorang itu mengetahui betapa kerdilnya diri ini berbanding sempurnanya Allah SWT. Ilmu yang membawa seseorang itu menjadi lebih yakin dan hampir kepada Allah bukannya ilmu yang semakin lama semakin jauh kita dariNya.

Ilmu agama adalah asas di dalam mengenali Allah SWT dan ilmu-ilmu lain adalah cabang yang membawa hampirnya seseorang itu di dalam mengenali ciptaan Allah dan menghampirkan diri kepadanya. Kombinasi ilmu agama dan ilmu-ilmu lain yang diamalkan akan menghasilkan masyarakat yang bertamadun dan bersifat sempurna.

Walau bagaimanapun, ianya tidak terikat dengan ruang masa yang sekejap. Ianya adalah proses yang berterusan dan usaha kearahnya adalah bernilai biarpun ia harus melalui ruang waktu yang panjang. Pepatah lama Cina berbunyi “Andai inginkan kebahagian setahun, semailah benih, andai inginkan kebahagian sepuluh tahun, tanamlah pokok dan andai inginkan kebahagian seratus tahun, didiklah manusia’ (Belajar Dari Perjanjian Hudaibiyah, Hepi Andi Bastoni, Ogos 2010)

No comments: