Manusia terdiri daripada tiga (3) komponen iaitu fizikal, nafsu dan aqal. Fizikal menentukan luaran seseorang. Bentuk tubuh dan rupa paras menggambarkan kepelbagaian bangsa dan jenis manusia yang ada. Nafsu pula berperanan di dalam menjaga fizikal manusia. Sebagai contoh perasaan ‘ingin makan’ adalah suatu penyebab yang membuatkan seseorang itu berusaha untuk makan biarpun keinginan tersebut dilahirkan daripada lapar, kelazatan makanan yang dilihat ataupun sedapnya bau makanan yang dimasak. Aktiviti makanan yang seimbang yang dicetuskan daripada perasaan ‘ingin makan’ tadi akan menyebabkan tubuh badan tuannya menjadi sihat dan stabil. Aqal pula adalah merupakan pusat kawalan di mana aktiviti yang bersifat kognitif dan penaklukan akan berlaku. Aqal ini berperanan untuk membuat keputusan dan kawalan kepada kedua-dua aktiviti fizikal dan nafsu.
Berhibur adalah tuntutan nafsu. Dengannya, naluri menjadi bersemangat, jiwa menjadi berani dan tubuh yang letih menjadi segar. Berhibur boleh menghilangkan tekanan mental dan emosi kerana berhibur biasanya akan banyak melayan emosi dan kurang menyentuh di dalam pengaktifan pemikiran. Jadi pemikiran akan menjadi lebih relaks dan ketegangan emosi akan menjadi lebih kendur.
Banyak di dalam penyampaian Islam, kaedah yang digunakan adalah dengan meraikan perasaan. Penyampaian dibuat yang begitu lunak dan bahasa yang paling indah. Al-Quran sendiri adalah merupakan bacaan yang lunak yang diturunkan pada zaman syair jahiliyyah yang terkenal degan ketinggian bahasa. Al-Quran pada masa itu mengungguli segala syair arab hinggakan mereka telah dicabar untuk melahirkan sepotong atau sebahagian daripada Al-Quran.
Islam tidak menolak keperluan untuk berhibur namun had-had hiburan hendaklah dibatasi berdasarkan penentuan yang telah digariskan oleh syariat.
Antara batasan-batasan hiburan di dalam Islam ialah:-
(1) Tidak mengandungi unsur-unsur maksiat sesama manusia.
(2) Tidak mengandungi unsur-unsur penipuan dan menjatuhkan darjat diri sebagai manusia terutama di dalam melakukan lawak dan jenaka.
Saidina ali r.a. Pernah menyebut 'masukkan dalam kalam akan jenaka, dengan kadar memasukkan garam di dalam makanan'
(3) Tidak melalaikan sehingga tertinggal perkara-perkara fardhu.
(4) Tidak mendatangkan mudarat kepada diri sendiri dan juga kepada orang lain.
(5) Tidak mendedahkan aurat, menyebabkan percampuran lelaki dan perempuan serta perkara-perkara yang menghampirkan kepada zina.
(6) Tidak mengandungi perkara-perkara yang menghinakan dan menyekutukan kepada Allah SWT.
Hiburan termasuk di dalam perkara yang bukan ibadah khusus. Jadi kaedah hukum yang boleh diguna pakai adalah berdasarkan konsep al-ibahah, di mana segala aktiviti adalah dibenarkan kecuali perkara-perkara yang telah diharamkan oleh syara'. Dengan kata lain, aktiviti hiburan adalah halal kecuali apabila di dalam aktiviti tersebut terdapat perkara-perkara yang menyebabkan dan menjadikannya haram sebagaimana sebahagiannya digariskan di atas.
No comments:
Post a Comment