Pada hakikatnya, masa adalah antara benda yang terhampir dan terpenting. Ianya sentiasa menyelubungi kita di mana dan pada bila-bila masa. Jaraknya sama dan detiknya sekata. Tiada siapa yang punya lebih dan tiada pula yang punya kurang.
Hakikatnya masa tidak pernah terhenti, sekejap mahupun lama.
Namun, kita kekadang merasa ianya terhenti, terlampau laju dan terlampau lambat.
Kita merasa ianya terlampau pantas bila mana jumlah masa yang ada terlampau sedikit untuk menyudahkan kerja yang banyak. Kita merasanya terlampau lambat bila kita tidak sabar untuk mendapatkan apa yang kita nanti-nantikan.
Dan kita merasa ianya terhenti bila mana kita terlampau seronok dengan suasana dan keadaan yang kita ada. Hinggakan kita tidak sedar bahawa sebenarnya masa telah berlalu.
Namun sebaik mana masa yang kita ada, seindah mana masa yang kita lalui, ianya pasti akan meninggalkan kita.
Dan diakhirnya kita pula yang akan meninggalkan masa, berpindah dari masa yang telah ditetapkan kepada masa yang tidak diketahui oleh sesiapa kecuali Allah, tuhan pencipta masa dan segala makhluk yang lain.
No comments:
Post a Comment