Friday, May 31, 2013

Mengisi Kemenangan


Dalam setiap pertandingan sudah pasti ada yang kalah dan ada yang menang kerana itulah ianya dinamakan pertandingan. Kalah dan menang adalah keputusan bagi pertandingan dan ianya adalah petanda kepada daya usaha dan ikhtiar yang dilaksanakan oleh mereka yang bertanding. Pada hukum adat, orang yang bekerja kuat dan 'smart' biasanya akan memenangi pertandingan tersebut disebabkan kehandalan dan kepakaran mereka. Yang kurang berusaha biasanya akan kurang kehandalan dan akan dikalahkan. Kerana itu Islam menggalakkan umatnya untuk bekerja secara tekun  dan bersungguh-sungguh.

إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه
“Sesungguhnya Allah menyukai apabila beramal seseorang daripada kamu dengan amalan yang tekun”
Islam menumpukan kepada usaha lebih daripada kemenangan kerana usaha adalah unsur yang membawa kepada kemenangan. Kemenangan bukan matlamat utama kerana manusia akan melakukan segala macam, halal mahupun haram, demi mencapai kemenangan. Tapi islam menggalakkan manusia berlumba-lumba ke arah melakukan kebaikan الخيرات فاستبقوا (maka bersainglah (dalam membuat) kebajikan) kerana kejayaan bukan kepada sang juara tetapi kepada mereka yang banyak melakukan kebaikan. Islam melihat kepada kemenangan secara menyeluruh kerana kemenangan pada juara hanya menghadkan kepada satu individu sahaja untuk berada di atas dan yang lain akan berada di bawah.

Pertandingan politik bukan sama dengan perlawanan sukan, yang kalah tidak miliki apa dan yang menang memiliki semua. Di dalam satu-satu pilihanraya, calon-calon yang mewakili parti-parti atau puak-puak akan bersaing dari sudut populariti tentang apa yang akan dilaksanakan sekiranya dia terpilih sebagai pemenang. Mereka akan menabur janji dan manifesto sebagai komitmen sekiranya menjadi pemenang. Jadi ianya adalah berlainan dengan pertandingan sukan kerana dalam sukan pemenang akan memiliki semua hadiah dan si kalah akan pulang dengan tangan kosong. Dalam pilihanraya, calon adalah yang terbaik bagi mewakili satu- satu kumpulan. Beliau adalah pemenang di dalam kumpulan mereka, sungguhpun kalah pilihanraya, beliau masih lagi bertanggungjawab sebagai pemenang di dalam kumpulannya. Pertandingan pilihanraya adalah bukan untuk menentukan si juara, tetapi untuk terpilih sebagai pelaksana amanah. Pemenang pilihanraya akan menjadi khadam rakyat demi kerukunan dan kesejahteraan rakyat, bukan kesejahteraan perut sendiri dan nafsu peribadi.

Sungguhpun kalah dalam pilihanraya, namun calon itu masih lagi mempunyai penyokong yang menyokong mereka. Kekalahan yang berlaku bukan kerana kuatnya calon yang menang tetapi kerana ramainya penyokong yang menang berbanding yang kalah. Bilangan yang ramai akan mendapat majoriti (simple mahupun 2/3 majoriti) dan yang sedikit adalah minoriti. Walau bagaimanapun, sistem pilihanraya yang ada pada masa ini adalah tidak mengiktiraf minoriti sebagai pimpinan kerana pilihanraya adalah bertujuan untuk mencari ketua yang bakal mengetuai sesuatu bahagian dan kawasan. Namun, sebagai calon yang berjiwa besar dan yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya, beliau akan berfungsi sebagai penolong kepada yang menang dan pemudah cara kepada kumpulannya untuk berurusan dengan yang menang.

Pihak yang kalah perlu menerima dengan hati yang terbuka, walaupun sudah berhempas pulas dengan pelbagai daya dan usaha selama ini. Kesalahan dan kesilapan orang lain tidak wajar dijadikan benteng untuk menutup kelemahan diri. Ada sebab kenapa Allah SWT masih ‘hold’ kemenangan. Ibrah pembebasan Nabi Yusuf as perlu dijadikan ibrah.

Pertandingan tidak wajar menjadi titik penyudah tautan ukhuwah yang telah terbina sejak sekian lama. Apatah lagi, menjadi menjadi medan menabur fitnah dan adu domba semata-mata untuk mendapatkan kemenangan.

Malah, ia perlu dijadikan sebagai ruang untuk melaksanakan amanah. Bukannya, ruang untuk menjatuhkan kawan dan lawan. Apatah lagi untuk mencari populariti, kedudukan dan ghonimah.

Alangkah baik kiranya, yang menang menjadi ketua dan yang kalah menjadi pembantu. Sungguhpun tiada peruntukan khusus untuk yang kalah namun bertindak sebagai pembantu adalah lebih baik berbanding bertugas sebagai pembangkang yang hanya bertindak untuk lawan tidak kira baik mahupun buruk. Namun sebagai penolong yang juga pembangkang, beliau bertanggungjawab untuk membantu menjayakan kebaikan ketuanya dan membangkang mana-mana aktiviti yang dilaksanakan yang berlawanan dengan keperluan dan kepentingan masyarakat yang dipimpin.

Setelah keputusan pilihanraya diumumkan, maka tibalah masanya para ahli politik merealisasikan janji-janji yang telah ditabur. Pemenang mempunyai kelebihan di mana jawatannya akan memberikan kelangsungan baginya untuk mengotakan segala janji yang ditabur. Janji pilihanraya memberikan calon dan partinya satu kredit dan perlaksanaan janji tersebut setelah menang memberikan satu lagi kredit tambahan. Kredit yang kedua ini adalah amat bermakna kerana ia memberikan markah yang tinggi  kepada tuannya dan akan dikenali sebagai orang yang amanah dan tidak mungkir janji. Pemenang tidak boleh sesekali menggunakan kemenangannya untuk membalas dendam kepada yang kalah lantaran tidak menyokongnya. Ahli politik yang berjiwa besar perlu akur bahawa sokongan kepada setiap individu adalah tidak secara menyeluruh namun apabila mendapat kemenangan tugas dan tanggungjawab beliau adalah bersifat menyeluruh. Tidak ada satu individu pun yang di bawah sempadan politik beliau yang akan terlepas daripada tanggungannya sebagai ketua. Sebagai ketua, di sana terdapat tanggungjawab khusus untuk dilaksanakan olehnya dan begitu juga untuk rakyat, di sana terdapat hak pemimpin yang perlu ditunaikan.

Rakyat bertanggungjawab untuk mematuhi ketua selagi mana ketaatan tersebut tidak membawa kepada keingkaran kepada Allah dan begitu juga sebagai ketua, beliau bertanggungjawab untuk menunaikan segala hak rakyatnya dan melaksanakan segala yang diperintah selari dan sejajar dengan apa yang diwahyukan Allan SWT.   

كلكم راع وكلكم مسؤول عن رعيته

“Kesemua kalian adalah (pemimpin) dan kesemua kamu adalah bertanggungjawab dengan orang yang dipimpin”

Sungguh indah kata-kata Saidina Ali r.a. di dalam menafsirkan makna taqwa. Beliau menyebut, taqwa ialah الخوف من الجليل، والعمل بالتنزيل، والقناعة بالقليل، والإستعداد ليوم الرحيل . (ketakutan kepada Al-Jalil, dan beramal dengan apa yang diwahyukan, dan cukup dengan yang sedikit  dan mempersiapkan diri bagi hari rihlah (musafir ke alam abadi). Sekiranya keseluruhan masyarakat kita menganuti konsep taqwa ini, maka keseragaman masyarakat akan selesai.

Justeru marilah sama-sama kita terlebih dahulu merenung sedalam-dalamnya dalam diri masing-masing sebelum menunding jari untuk mencari kesalahan pihak lain sebagai penyebab terhalangnya kemenangan kita. Barangkali kita masih ada hak dan tanggungjawab terhadap Allah SWT yang masih tidak kita selesaikan dengan sebaik mungkin. Termasuklah soal keikhlasan niat, samada kita laksanakannya benar-benar kerana Allah SWT ataupun hanya sekadar sandaran kepada rasa kebencian sesama umat dan habuan tertentu yang telah dijanjikan.

Berhentilah untuk mengheret rakyat untuk terus bergelumang dengan pertelagahan politik yang tidak menguntungkan umat ini. Ibarat, suami isteri bergaduh sesama mahu sendiri mencari salah siapa yang telah tidak menguncikan pintu utama rumah, sedangkan perompak dalam keadaan bersenang-lenang mengambil segala hak sepencarian mereka yang dimiliki selama ini. Akhirnya, kedua-duanya berputih mata setelah menyedari bahawa perbalahan dan tuding-menuding mencari salah siapa, tidak langsung dapat menyelesaikan masalah dan kerumitan yang timbul. Yang untung hanya mereka yang bijak meneguk di air yang keruh

Pihak yang menang, perlu iringi dengan penuh rasa syukur dan bimbang dengan amanah yang telah diberikan. Laksanakan amanah yang telah diberikan dengan sebaik mungkin tanpa menidakkan hak dan peluang mereka yang kalah. Setiap amanah yang dilaksanakan akan dipertanggungjawab di hadapan Allah SWT kelak. Jika dapat turut bergandiing bahu dengan mereka yang kalah, itulah yang terbaik.
Sekarang rakyat sudah membuat pilihan mereka. Usah dipertikaikan lagi pilihan yang telah dibuat. Saya percaya, sebahagian bes  ar ‘rakyat yang bukan ahli rasmi mana-mana parti politik’ telah membuat keputusan yang tepat dan adil. Pada saya, kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat telah menang dalam konteks dan keupayaan masing-masing. Penguasaan putrajaya itu adalah bukan ‘indicator’ hakiki kepada kemenangan. Pada saya, kemenangan yang paling bermakna adalah apabila berjaya mempertahankan prinsip dan kredibiliti perjuangan yang digagaskan selama ini.

Kepada yang pihak yang menang dan kalah, jadilah ibarat jongkat-jongkit. Cukup-cukup sudahlah ‘pergaduhan politik’ ini. Ayuh kita bersatu hati dalam kepelbagaian fikrah dan lapangan yang ada untuk terus menguatkan benteng umat dan Islam di kemudian hari. Jangan sampai apabila sudah “terhantuk” dan “dihantuk”, barulah nak tersedar! Juga, jangan sampai sudah rebah dalam keadaan kaki tangan telah terikat, baru ingin bingkas mencari dahan dan ranting untuk berpaut. Maka, pada waktu itu untuk bangun kembali akan menjadi ibarat pengemis di tanahair sendiri.
Beriiringilah demi kemaslahatan umat, agama dan Negara. Namun, kedua-duanya perlu benar-benar membawa wadah poltik Islam yang mencerminkan keadilan kepada semua pihak termasuklah kepada kelompok bukan Islam. Jika ini dapat dipegang dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin, saya berkeyakinan dengan kuasa ‘rahmatan lilalamin’ yang ada pada Islam, ia pasti akan meneutralkan implikasi yang tersebut. Dan, Malaysia akan menjadi sebuah Negara Islam yang bertemakan ‘baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur.

No comments: