Monday, July 22, 2013

Tanggungjawab Puasa

Kewajipan berpuasa adalah sama dengan kewajipan bersolat di mana mereka yang muslim, beraqal dan aqil baligh adalah syarat utama yang mewajibkan seseorang itu untuk berpuasa. Dengan kata lain, anak kecil yang belum sampai had umur baligh adalah tidak dikenakan kewajipan untuk berpuasa. Namun, latihan berpuasa boleh dilakukan agar tidak berlaku kejutan setelah menjadi kefardhuan kepada mereka.

Latihan puasa untuk si muda boleh dilakukan secara bertatih, bermula dengan pemahaman adanya waktu bersahur dan adanya waktu berbuka. Pemahaman tentang berkumandangnya azan subuh bermakna sudah tidak boleh makan lagi dan azan maghrib bermakna boleh makan kembali. Pemahaman tentang curi-curi makan masa siang, atau curi-curi minum ketika wudhu akan membatalkan puasa sungguhpun mak dan ayah tidak mengetahuinya. Di samping belajar ibadah puasa, keimanan si muda tentang adanya Allah yang maha melihat dan maha mengetahui akan lebih kuat di mana mereka tidak akan makan dan minum sungguhpun tidak dilihat oleh kedua ibu bapa mereka.

Walau bagaimanapun, kekerdilan dari sudut jasmani mereka perlu diambil kira oleh ibubapa kerana ketahanan berpuasa bagi si muda adalah tidak sama dengan orang dewasa. Mereka ada batasan yang kekadang boleh memudaratkan kesihatan dan ibubapa tidak perlu merasa kecewa. Ibubapa perlu menjadi teliti dalam menilai kemampuan si muda kerana apabila keimanan sudah mula bertapak di dalam dirinya maka tidak berpuasa akan dirasa jengkel dan malu. Dengan perasaan itu, si muda akan enggan untuk berbuka. Tapi ibubapa perlu melihat mereka dengan kacamata kesihatan mengatasi ketaqwaan kerana untuk si muda berpuasa bukan kewajipan tapi galakkan.

Ibubapa hendaklah tidak merasa kecewa sekiranya si muda tidak dapat berpuasa kerana tiada dosa bagi mereka juga tiada dosa bagi ibubapa. Yang lebih penting di dalam melatih adalah kefahaman tentang hikmah, rahmat, kelebihan dan keutamaan berpuasa serta ramadhan itu sendiri. Agar makna ramadhan bukan difahami secara literal menahan lapar dan dahaga bermulanya tiba fajar hingga tenggelamnya matahari senja.

Tapi awas para ibubapa dalam melatih si muda kerana mereka adalah subur, dicampak bercambah dan ditanam berbuah. Tersalah benih benih maka tersalahlah buahnya. Pilihlah pengajaran agama buat si muda berdasarkan sumber yang betul, elakkan perkara yang tidak sahih dan tepat yang tidak di dasarkan kepada Al-Quran dan Sunnah. Dan Ramadhan inilah sekolah praktikal yang paling sesuai untuk mendidik si muda kerana suasananya dan keberkatannya.

No comments: