Sabar adalah pra syarat dalam satu-satu kejayaan kerana sabar
adalah merupakan batu-batu asas yang akan membentuk dan membina satu-satu
bangunan kejayaan. Sabar adalah pengikat konkrit yang akan mengukuhkan
satu-satu struktur bangunan kejayaan.
Sabar merupakan kekentalan jiwa yang sifatnya adalah bertahan
daripada segala ancaman dan berusaha keras untuk bertahan selama mana yang
boleh. Pusat kawalan sabar adalah di hati di mana kuatnya hati akan menjadikan
kuatnya jiwa seseorang. Pertahanan sabar dapat dilaksanakan dengan persepsi di
mana persepsi ke arah kebaikan akan menjadikan jiwanya teralih dan kesabaran
terbentuk.
Islam menawarkan ganjaran yang tinggi kepada orang yang sabar
di mana segala kesulitan dan kesusahan yang dialaminya akan mengurangkan dosa
dan kesalahann yang telah dilakukan sebelum ini.
Rasulullah SAW di dalam hadithnya yang diriwayatkan oleh
Al-Bukhari dan Muslim dari Abi Said dan Abi Hurairah, katanya :-
ما يصيب المؤمن من نصب ولا وصب ولا سقم ولا حزن حتي الهم يهمه إلا كفر
به من سيئاته
Maknanya :
“Tidak ditimpakan seseorang mu’min (padanya) kepenatan,dan
tiada kesakitan, dan tiada kesedihan yang
menjadikan dia sedih melainkan dengannya ditutupkan segala keburukannya.
Tiadalah yang lebih baik di dalam kehidupan ini melainkan Allah
SWT melindungi dan menghapuskan segala kesilapan yang telah dilakukan oleh
diri. Pada asasnya, kesalahan diri akan menjadi kenangan dan catatan sejarah
kepada seseorang individu. Penyesalan ke atas kesilapan hanya akan mengundang
kesedihan dan tatkala kesedihan menghilang biasanya diri akan menjadi lupa dan
kesilapan akan berulang. Lantas, jaminan Ilahi bahawa kesabaran boleh
menghilangkan segala kesalahan adalah merupakan satu rahmat kepada makhluk yang
bernama manusia dan ia berperanan sebagai ‘faktor penarik’ untuk mewujudkan dan
meningkatkan kesabaran kepada manusia.
Ada satu kisah di mana rahmat kesabaran yang disertakan takwa
memberikan kelebihan kepada ahlinya. Seorang ibu yang berhijrah dari Negeri
Kelantan ke Tanah Suci Makkah dengan membawa semua anak-anaknya bertujuan untuk
membesarkan di dalam suasana agama dan agar memperolehi keberkatan. Ibu
tersebut bertugas sebagai tukang jahit bagi mendapatkan sesuap nasi untuk
membesarkan anak-anaknya. Pada masa itu, pendapatannya adalah tidak seberapa
dan boleh dikatakan ‘kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’. Pernah
pada suatu hari, di rumahnya tidak punya apa untuk dimasak untuk dijadikan
santapan anak-anak. Pada ketika itu, si anak kecil yang baru berusia lima tahun
sudah kelaparan dan mula menangis dan merengek. Kata si ibu ‘anakku, tidurlah
dahulu, insya Allah bangun dari tidur nanti bolehlah kita makan’. Kerana percayakan
si ibunya, maka si kecil tadi pun tidurlah.
Ketika tidurnya si kecil, maka berfikirlah si ibu, ‘apakah
yang perlu aku lakukan sekarang, perlukah aku pergi menuntut upah baju yang
sedang aku jahit ini, sedangkan jahitannya belum lagi selesai’ dalam dia
berfikir, kakinya terus mengayuh mesin jahit dengan sabar dan tekun. Hatinya
berkata ‘Ya Allah! Aku memohon akan bantuan Mu Ya Allah! Sesungguhnya atas
diriku usaha dan sabar dan segalanya aku berserah kepada Mu’. Dalam rintihan
hati dan doa, dia terus berusaha menyelesaikan tugasanya.
Dalam beberapa ketika, si ibu mendengar pintu rumahnya
diketuk orang, ditanya siapa, tetapi tidak menjawab. Kemudian si ibu membukakan
pintu, sepintas lalu pintu dikuak dan dihulurkan satu talam nasi minyak yang
penuh dengan lauk. Menjadi tradisi di Tanah Arab pada masa itu, untuk
menyedekahkan makanan-makanan kepada jiran-jirannya sebagai hadiah sekiranya
mereka mengadakan kenduri kahwin. Lidah Si ibu melafazkan rasa terima kasih kepada
si penghantar dan hatinya pula terus memanjat rasa syukur kepada Ilahi atas
perkenan doanya ‘Ya Allah Ya Tuhan yang menerima segala doa, sesungguhnya
engkau telah memperkenankan doaku ini, Syukurku hanya kepada mu Ya Allah’.
Si anak kecil yang tidur kelaparan tadi terjaga dek bau
semerbak nasi minyak yang dihantar, dikejutnya adik beradik yang lain dan terus
menikmati kelazatan nasi minyak arab yang masih lagi panas. Terdetik kalimah alhamdulillah
di hati si ibu melihat selera anak-anaknya.
Begitulah rahmat atas kesabaran dan hebatnya ia bila
kesabaran dikembarkan dengan takwa kepada Ilahi. Ketakwaan akan memberi jalan
keluar daripada kesempitan dan kesusahaan dan sabar pula menghapuskan segala
kesalahan yang telah berlaku. Konsep kesabaran dan ketakwaan menggabungkan
penyelesaian ke atas kesalahan yang telah lalu dan pertolongan Ilahi ke atas
prospek di masa mendatang.
Firman Ilahi :-
ومن يتق الله يجعل له مخرجا ويرزقه من حيث لا يحتسب - الطلاق – 2
Maksudnya : ‘Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah
niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar, dan memberinya rezeki dari
arah yang tiada disangka-sangkakannya.
Jadi berusahalah, bersabarlah dan bertakwalah kepada Allah
azzawajalla..
No comments:
Post a Comment