Showing posts with label bertaqwa. Show all posts
Showing posts with label bertaqwa. Show all posts

Saturday, February 15, 2014

Taqwa Itu Lebih Baik

Taqwa itu adalah lebih baik kerana dengannya banyak jaminan yang telah disediakan oleh Allah SWT. Taqwa akan menyebabkan diri terhindar daripada segala bahaya dan selamat daripada segala perancangan jahat segala musuh. Taqwa akan menyebabkan seorang insan disayangi kawan dan digeruni lawan. Dan taqwa akan membolehkan insan terjamin daripada azab neraka, terbentang daripada kepanasan apinya dan pasti akan tempatnya di dalam syurga Allah SWT. 

Taqwa itu lebih baik kerana dengannya segala kebaikan akan diperolehi. Allah SWT mencintai mereka yang bertaqwa dan selaku orang yang dicintai maka hendaklah dia menjauhkan segala perkara yang akan menyebabkan cinta bertukar benci. Seorang insan yang dicintai Allah Azzawajalla hendaklah menjauhkan segala larangan yang telah digarapkan melalui wahyu yang telah disampaikan. Pada masa yang sama, dia juga perlulah melaksanakan segala kesukaan Pencinta di mana tindakannya itu akan menambahkan lagi cinta yang telah ada. 

Namun, bagi seorang Muslim yang membutuhkan cinta Ilahi, ianya tidak sesulit seorang insan yang mengharapkan cinta seorang insan yang lain kerana Allah Azzawajalla telah menggariskan panduan yang jelas tentang apakah yang akan menyebabkan Allah sayang dan apakah yang akan menyebabkan Allah marah. Sesungguhnya insan tidak berkemampuan untuk menggambarkan berdasarkan prejudis, persepsi dan perasaan mereka tentang bagaimana untuk memperolehi cinta Ilahi. Dan ia hanya mampu dimiliki oleh seseorang berdasarkan wahyu yang telah disampaikan. Insan amat bertuah kerana dengan tindakan yang selari dengan wahyu sudah pasti mampu untuk memperolehi cinta Ilahi. 

Pernah ditanya seorang insan tentang manakah yang lebih baik di antara seorang insan yang banyak kebajikan dan banyak juga kejahatan berbanding dengan insan yang sedikit kebajikan dan sedikit jua kejahatan. Jawabnya ialah, kedua-dua mereka adalah sama, kedua-dua mereka tidak mempunyai apa-apa kelebihan serta kemuliaan. Akan tetapi menjauhi segala kejahatan walaupun sedikit adalah lebih baik dan lebih mulia. Menjauhkan perkara keburukan adalah refleksi taqwa seseorang.

Sunday, August 04, 2013

Bersabar.....

Sabar adalah pra syarat dalam satu-satu kejayaan kerana sabar adalah merupakan batu-batu asas yang akan membentuk dan membina satu-satu bangunan kejayaan. Sabar adalah pengikat konkrit yang akan mengukuhkan satu-satu struktur bangunan kejayaan.

Sabar merupakan kekentalan jiwa yang sifatnya adalah bertahan daripada segala ancaman dan berusaha keras untuk bertahan selama mana yang boleh. Pusat kawalan sabar adalah di hati di mana kuatnya hati akan menjadikan kuatnya jiwa seseorang. Pertahanan sabar dapat dilaksanakan dengan persepsi di mana persepsi ke arah kebaikan akan menjadikan jiwanya teralih dan kesabaran terbentuk.

Islam menawarkan ganjaran yang tinggi kepada orang yang sabar di mana segala kesulitan dan kesusahan yang dialaminya akan mengurangkan dosa dan kesalahann yang telah dilakukan sebelum ini.
Rasulullah SAW di dalam hadithnya yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dari Abi Said dan Abi Hurairah, katanya :-

ما يصيب المؤمن من نصب ولا وصب ولا سقم ولا حزن حتي الهم يهمه إلا كفر به من سيئاته
Maknanya :

“Tidak ditimpakan seseorang mu’min (padanya) kepenatan,dan tiada kesakitan, dan tiada kesedihan yang menjadikan dia sedih melainkan dengannya ditutupkan segala keburukannya.

Tiadalah yang lebih baik di dalam kehidupan ini melainkan Allah SWT melindungi dan menghapuskan segala kesilapan yang telah dilakukan oleh diri. Pada asasnya, kesalahan diri akan menjadi kenangan dan catatan sejarah kepada seseorang individu. Penyesalan ke atas kesilapan hanya akan mengundang kesedihan dan tatkala kesedihan menghilang biasanya diri akan menjadi lupa dan kesilapan akan berulang. Lantas, jaminan Ilahi bahawa kesabaran boleh menghilangkan segala kesalahan adalah merupakan satu rahmat kepada makhluk yang bernama manusia dan ia berperanan sebagai ‘faktor penarik’ untuk mewujudkan dan meningkatkan kesabaran kepada manusia.

Ada satu kisah di mana rahmat kesabaran yang disertakan takwa memberikan kelebihan kepada ahlinya. Seorang ibu yang berhijrah dari Negeri Kelantan ke Tanah Suci Makkah dengan membawa semua anak-anaknya bertujuan untuk membesarkan di dalam suasana agama dan agar memperolehi keberkatan. Ibu tersebut bertugas sebagai tukang jahit bagi mendapatkan sesuap nasi untuk membesarkan anak-anaknya. Pada masa itu, pendapatannya adalah tidak seberapa dan boleh dikatakan ‘kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’. Pernah pada suatu hari, di rumahnya tidak punya apa untuk dimasak untuk dijadikan santapan anak-anak. Pada ketika itu, si anak kecil yang baru berusia lima tahun sudah kelaparan dan mula menangis dan merengek. Kata si ibu ‘anakku, tidurlah dahulu, insya Allah bangun dari tidur nanti bolehlah kita makan’. Kerana percayakan si ibunya, maka si kecil tadi pun tidurlah.

Ketika tidurnya si kecil, maka berfikirlah si ibu, ‘apakah yang perlu aku lakukan sekarang, perlukah aku pergi menuntut upah baju yang sedang aku jahit ini, sedangkan jahitannya belum lagi selesai’ dalam dia berfikir, kakinya terus mengayuh mesin jahit dengan sabar dan tekun. Hatinya berkata ‘Ya Allah! Aku memohon akan bantuan Mu Ya Allah! Sesungguhnya atas diriku usaha dan sabar dan segalanya aku berserah kepada Mu’. Dalam rintihan hati dan doa, dia terus berusaha menyelesaikan tugasanya.

Dalam beberapa ketika, si ibu mendengar pintu rumahnya diketuk orang, ditanya siapa, tetapi tidak menjawab. Kemudian si ibu membukakan pintu, sepintas lalu pintu dikuak dan dihulurkan satu talam nasi minyak yang penuh dengan lauk. Menjadi tradisi di Tanah Arab pada masa itu, untuk menyedekahkan makanan-makanan kepada jiran-jirannya sebagai hadiah sekiranya mereka mengadakan kenduri kahwin. Lidah Si ibu melafazkan rasa terima kasih kepada si penghantar dan hatinya pula terus memanjat rasa syukur kepada Ilahi atas perkenan doanya ‘Ya Allah Ya Tuhan yang menerima segala doa, sesungguhnya engkau telah memperkenankan doaku ini, Syukurku hanya kepada mu Ya Allah’.

Si anak kecil yang tidur kelaparan tadi terjaga dek bau semerbak nasi minyak yang dihantar, dikejutnya adik beradik yang lain dan terus menikmati kelazatan nasi minyak arab yang masih lagi panas. Terdetik kalimah alhamdulillah di hati si ibu melihat selera anak-anaknya.

Begitulah rahmat atas kesabaran dan hebatnya ia bila kesabaran dikembarkan dengan takwa kepada Ilahi. Ketakwaan akan memberi jalan keluar daripada kesempitan dan kesusahaan dan sabar pula menghapuskan segala kesalahan yang telah berlaku. Konsep kesabaran dan ketakwaan menggabungkan penyelesaian ke atas kesalahan yang telah lalu dan pertolongan Ilahi ke atas prospek di masa mendatang.

Firman Ilahi :-
ومن يتق الله يجعل له مخرجا ويرزقه من حيث لا يحتسب -  الطلاق – 2

Maksudnya : ‘Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar, dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkakannya.


Jadi berusahalah, bersabarlah dan bertakwalah kepada Allah azzawajalla..