Taubat
bermakna kekesalan dan keinsafan terhadap kesalahan dan kesilapan yang telah
dilakukan. Kesilapan akan menjauhkan manusia dari garisan kebenaran dan taubat
adalah mengembalikan manusia kepada garisan tersebut. Penyesalan akan menjadi penyedar
bagi wujudnya rasa untuk kembali, manakala taubat pula adalah aktiviti untuk mengembalikan
diri kepada garisan kebenaran.
Apabila
seseorang itu melakukan kesalahan dan dia sedar dengan kesalahannya maka di
sana masih terdapat peluang untuk dirinya kembali kepada jalan yang benar. Namun
jika kesalahan yang dilakukan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada dirinya bahkan
mungkin dilakukan kesalahan itu dengan kebanggaan dan kemegahan, maka sirna iman
agak jauh. Walau bagaimanapun Allah SWT Maha Pengampun dan Pemberi Hidayah,
diberinya hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya dan digelapkan kepada
sesiapa yang dikehendakinya. Maka berbahagialah bagi mereka yang sedar tentang
kesalahan yang telah dilakukan kerana bersama dengan kesedaran itu adalah
sirna-sirna keimanan.
Berdasarkan
firman Allah yang bermaksud :-
“Dan
mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri,
mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya
tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak
meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka
mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya,
balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir
di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah
sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal” (Surah Ali ‘Imran: 135-136).
Pra-syarat
kepada taubat adalah :-
- Penyesalan dan kesedaran, di mana kedua-dua (2) perkara ini akan menyebabkan dia memohon ampun kepada Allah SWT, di mana hanya Allah SWT sahaja yang mampu mengampunkan segala dosa.
- Dia hendaklah mengetahui tentang kesalahannya.
- Hendaklah dia berazam untuk tidak mengulangi kesalahan-kesalahan yang telah dlilakukan.
Islam tidak mensyaratkan ‘confession’
atau pengakuan kesalahan di depan para guru atau mana-mana makhluk di dalam
melakukan taubat. Taubat yang dilakukan adalah secara terus tanpa adanya
pengantara yang menghubungkan seorang manusia dengan Tuhannya. Tunjang ke atas
taubat ini adalah keikhlasan di mana taubat yang ikhlas, insya Allah akan
diterima Allah SWT. Penerimaan taubat oleh Allah SWT akan mengampunkan segala
kesalahan yang telah dilakukan.
Islam mengiktiraf kelemahan manusia
di mana seringkali taubat yang ikhlas juga turut tercicir dengan berulangnya
kesalahan lampau setelah taubat disempurnakan. Kesalahan yang berulang ini akan
diampunkan sekiranya ia disusuli dengan taubat ikhlas yang bersungguh.
Alangkah beruntungnya andai kematian
datang menjemput dikala selesainya taubat yang ikhlas dan bersungguh itu. Dan alangkah
ruginya, jika ia datang dikala kemaksiatan sedang dilakukan dan ingatlah tiada
siapa yang empunya ‘tahu’ tentang waktu kematian.
Rasulullah SAW ada bersabda :-
“Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia
berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman:
HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh
mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan
dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai
Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman:
HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun
dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu
dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan
dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui
bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan
hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”. (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim).
Hadith di atas menggambarkan :-
- Betapa besarnya rahmat keampunan Allah SWT kepada hambanya di mana tiada had maksimum di dalam melakukan taubat. Setiap kesalahan yang disertakan taubat tetap akan diampunkan Allah SWT.
- Hadith ini BUKAN bermaksud untuk menggalakkan manusia melakukan kesalahan, namun setiap kesalahan hendaklah disertakan dengan taubat kepada Allah SWT.
Janganlah berputus asa di dalam
melakukan taubat, baik dosa yang dilakukan itu besar mahupun kecil, acap dan
kerap mahupun jarang-jarang, maka tetaplah bertaubat, kerana pintu taubat
sentiasa terbuka. Taubat seorang Muslim akan diterima selama mana nyawanya
belum sampai ke halkum. Rasulullah SAW bersabda :-
“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang
hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai
hasan oleh al-Albani).
No comments:
Post a Comment