
Berhutang bukan menjadi kesalahan bahkan ianya dibenarkan di dalam Islam. Islam tidak menafikan kepentingan hidup secara jama'i dan saling tolong menolong di mana hutang adalah sistem tolong menolong di dalam sesuatu masyarakat. Mereka yang lebih akan menolong kepada mereka yang kurang dan memerlukan. Sebenarnya memberi hutang adalah lebih diutamakan berbanding memberi sedekah kerana hutang adalah diberi kepada mereka yang memamg memerlukan tetapi sedekah diberikan kepada sesiapa sahaja yang mungkin memerlukan dan juga mungkin tidak memerlukan.
Rasulullah SAW Bersabda,
عن أبي أمامة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: «دخل رجل الجنة فرأى مكتوبا على بابها: الصدقة بعشر أمثالها، والقرض بثمانية عشر». (أخرجه البيهقي في السنن والطبراني في الكبير، وصححه الشيخ الألباني في السلسلة الصحيحة 3407).
Dari Abi Umamah r.a dari Nabi sallahualaihi wasallam telah berkata : telah memasuki seorang lelaki ke dalam syurga dan dia melihat tercatat di atas pintunya : sadaqah dengan (ganjaran) sepuluh seumpamanya dan hutang dengan (ganjaran) lapan belas. Diriwayatkan oleh Al-Baihaqie di dalam sunan(nya) dan At-Tabrani di dalam (kitabnya) Al-Kabir, disahihkan oleh As-Sheikh Al-albani di dalam kitabnya (Al-Silsilatus
Sahihah)
Tetapi apakah dia tujuan hutang yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan? Tiada garisan khusus berkenaan perkara tersebut, namun batasan-batasan syariah perlu dijaga. Contohnya, tiada had tertentu untuk seseorang itu bagi mengambil hutang, namun sekiranya hutang yang bakal diambil akan menyusahkan dan meletakkan diri peminjam gagal untuk membayar balik, jadi hukumnya haram untuk dia berhutang kerana hutang tersebut akan meletakkan diri peminjam tersebut ke dalam lembah kebinasaan. Kebinasaan dari sudut kemungkinan untuk diishtiharkan muflis dan sebagainya, tetapi andaikata berdasarkan pengiraan khusus bahawa peminjam mempunyai jangkauan untuk mampu menjelaskannya maka harus baginya meneruskan hutang tersebut.
Telah berkata Assyaukani di dalam mentafsirkan firman Allah yang berbunyi :
ولا تلقوا بأيديكم إلى التهلكة
"dan janganlah kamu campakkan kedua tangan kamu ke (lembah) kebinasaan"

Sungguhpun begitu Islam mendatangkan alternatif ke atas sistem pinjaman di mana Islam memperkenalkan sistem kerjasama dan berkongsi risiko. Sekiranya si pemodal berminat untuk mendapatkan keuntungan dari modal yang dikeluarkan, dia juga perlu sanggup untuk menanggung risiko kerugiaan dari pelaburan tersebut. Walaubagaimanapun, sekiranya individu bermustahak untuk mendapatkan hutang bagai tujuan keperluan maka sistem yang terbaik adalah pinjaman qardhul hasan yang diberikan tanpa mengenakan apa-apa caj. Pihak majikan, masyarakat dan institusi keluarga dicadangkan untuk mewujudkan dana khas yang bakal digunakan sebagai pinjaman qardhul hasan dan ianya perlu dijelaskan oleh penghutang sebagaimana perjanjian yang telah terikat. Dana ini boleh diwujudkan secara simpanan bulanan oleh ahli yang terlibat dan penyimpan tersebut hendaklah jelas bahawa dana ini tidak akan menghasilkan apa-apa keuntungan di dunia ini tetapi ianya akan memberi manfaat yang berganda di akhirat kelak. Sistem ini mungkin boleh juga dilihat dari perspektif waqf dan sadaqah..
Akhirnya, hutang akan menjadi virus barah yang sukar dipulihkan sekiranya wabak tersebut berakar umbi di dalam sistem kehidupan sesuatu masyarakat. Ini mngkin boleh terjadi sekiranya hutang yang terbentuk diperdagangkan kembali demi mewujudkan kesinambungan di atas struktur-struktur pinjaman konvensional sedia ada. Alasan-alasan untuk mendapatkan terma yang lebih luas dan 'buffer' yang lebih tinggi tidak akan muncul sekiranya sistem inj tidak diperpanjangkan umpama gali lubang tutup lubang. Lubang kedua sudah pasti akan menjadi lebih dalam berbanding lubang pertama kerana sebahagian daripada tanah lubang kedua tidak akan masuk keseluruhannya ke dalam lubang pertama memandangkan sebahagiannya akan rata bersama tanah-tanah lain yang dipijak penggali semasa proses tersebut. Semakin banyak lubang yg digali semakin dalam struktur lubang tersebut.
Sekian,
Hashim ahmad shiyuti
Shah Alam
Shah Alam
.
No comments:
Post a Comment