Kesan domino adalah satu frasa kata yang mendefinisikan kesan
berangkaian dan saling kait mengait di antara satu perkara kepada perkara yang
lain. Sekeping domino yang dijatuhkan akan menjatuhkan domino-domino lain yang
tersusun secara satu persatu sehingga selesai kesemuanya. Begitu juga dengan
apa yang akan terjadi kepada sesuatu perkara yang dikaitkan dengan kesan
domino. Kenaikan harga petrol ron 95 dan diesel sebanyak RM 0.20 adalah
merupakan domino pertama yang terjatuh dan akan memberi kesan kepada harga
barangan-barangan lain yang terlibat terutama yang memerlukan pengangkutan dari
satu tempat ke tempat yang lain. Peningkatan kos bagi input kepada sesuatu
pengeluaran secara langsungnya akan meningkatkan kos kepada produk yang akan
dihasilkan. Sebagai kesudahan, pengguna akhir akan menerima peningkatan kos
secara inklusif dan kesan berganda ke atas kesemua barangan yang digunakannya.
Selain itu, harga barangan juga akan meningkat disebabkan oleh
adanya mereka yang menangguk di air yang keruh. Tiada siapa yang dapat memberi
jaminan bahawa keseluruhan peniaga adalah merupakan mereka yang beretika dan
amanah sungguhpun tidak semua mereka adalah celaka dan punah. Tetapi secara
makronya, akan ada mereka yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan
menaikkan harga walaupun peningkatan petrol tiada kaitan di dalam penghasilan
produk atau servis yang dikeluarkan olehnya. Yang teraniaya adalah pengguna
akhir dan mereka yang tidak mempunyai pilihan selain daripada membeli dengan
harga yang tinggi ini.
Peningkatan petrol ini secara tidak langsung akan menyebabkan
berlakunya peningkatan harga secara global di peringkat lokal. Peningkatan
harga yang tidak sejajar dengan pendapatan akan menyebabkan nilai permintaan
dalam bentuk wang ringgit akan lebih tinggi berbanding kuasa beli yang setara.
Keadaan ini akan meningkatkan inflasi nasional dan secara tidak langsung dan
membantu kepada peningkatan produk-produk lain.
Kesan domino ini adalah konsisten dengan kesan berganda (multiplier
effect) di mana setiap jatuhan domino akan dibawa bersamanya momentum jatuhan
yang meningkat di antara satu domino dengan domino yang lain. Peningkatan harga
yang bermula sebanyak 20 sen pada petrol akan dipindahkan kepada peningkatan
kos pengangkutan di mana ia melibatkan hampir semua peringkat pengeluaran.
Peningkatan kos pengeluaran akan memberi kesan kepada marjin keuntungan dan
semestinya syarikat tidak akan menanggungnya secara sendirian. Sebaliknya,
mereka akan memindahkan kos tersebut kepada pelanggan. Kombinasi kos-kos di
semua peringkat ini semestinya memberi kesan berganda kepada pengguna akhir.
Bayangkan, sekiranya kos pengangkutan bagi setiap barangan dinaikkan sebanyak
3% bagi setiap peringkat dan sesuatu proses pengeluaran itu akan mengambil
minimum 4 peringkat, maka jangkaan nilai berganda adalah sekitar 12% (3% x 4
peringkat = 12%). 12% ini adalah merupakan nilai jangkaan peningkatan harga
akhir kepada sesuatu barangan. Nilai ini dikira konservatif kerana peningkatan
sebenar bagi setiap liter petrol ialah 10.53% berbanding harga sebelum ini.
Penulisan ini bukan bermaksud untuk mewujudkan perasaan amarah
kepada mereka-mereka yang terlibat tetapi ia bertujuan untk melihat apakah
kesan-kesan yang telah dan akan terjadi kepada pengguna akhir. Pada masa yang
sama, solusi di peringkat individual, masyarakat dan negara cuba diselusuri.
Kita tahu bahawa pengurangan subsidi bagi petrol dan diesel ini
adalah antara proses realisasi di mana negara perlu untuk mengurangkan defisit
terutama apabila negara berada di ambang kegawatan. Sokongan semua pihak di
dalam menghadapi cabaran kegawatan ekonomi adalah amat diperlukan. Di dalam
senario kegawatan yang tidak dapat dijangka, pelbagai keadaan boleh berlaku.
Untuk itu, persediaan negara perlu tuntas umpama Nabi Yusuf as mempersiapkan
Mesir dengan simpanan-sipanan stok bekalan di dalam menghadapi kegawatan
ekonominya pada masa tersebut. Namun, adakah dengan mengurangkan subsidi kepada
masyarakat ramai adalah merupakan perancangan menghadapi kegawatan yang
betul-betul bijak? Adakah di sana terdapat kaedah-kaedah lain yang boleh
difikirkan bagi menangani perkara-perkara ini?
Orang ramai, syarikat-syarikat kebanyakkan dan institusi-institusi
kerajaan dan bukan kerajaan adalah bukan
satu-satunya golongan yang menggunakan sumber tenaga petrol, diesel dan gas yang
disubsidikan. Akan tetapi, syarikat-syarikat pengeluar penjana bebas (IPP) juga
turut mendapat manfaatnya. Kemanfaatan harga rendah berbanding harga pasaran
yang ditawarkan kerajaan adalah bagi memastikan kadar elektrik yang dikenakan
kepada pengguna akhir adalah rendah. Kaedah yang dilaksanakan kerajaan ini
adalah amat baik di mana ianya turut mengengkang daripada penularan peningkatan
harga secara berganda. Namun demikian, harga yang rendah ini telah memberi
peluang kepada IPP untuk menikmati keuntungan yang cukup lumayan dengan pasaran
yang tetap dan kos yang stabil.
Di dalam senario sekarang, di mana orang ramai terpaksa berdikit
dan syarikat-syarikat IPP terlebih untung, maka penulisan mencadangkan agar
usaha-usaha kajian kembali ke atas Perjanjian Pembelian Kuasa (APP) dengan
syarikat-syarikat IPP perlu dipercepatkan dan diperhalusi dengan sebaik
mungkin. Ini bagi membolehkan kerajaan tidak hanya menjadi sebagai ‘absorber’
ke atas naik turun harga bahan api demi menjaga keuntungan syarikat-syarikat
IPP. Berdasarkan falsafah ‘utilitarian’, hak orang kebanyakan perlu diutamakan
berbanding hak-hak minoriti. Dengan itu, peningkatan sedikit harga kepada IPP
yang mungkin dapat menurunkan sedikit keuntungan syarikat adalah lebih utama
berbanding peningkatan kos bahan api kepada orang ramai yang melibatkan
keseluruhan 28.3 juta rakyat Malaysia.
Kaedah kedua yang ingin diutarakan ialah penaiktarafan mutu dan
kawalan kewangan Negara di semua peringkat baik Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan
Negeri. Penaiktarafan kawalan yang amat berhati-hati dan ketat dipercayai akan
menjadi elemen penting di dalam mengawal segala pembaziran yang boleh berlaku.
Saban tahun, negara didedahkan dengan pelbagai ‘financial leakage’ di semua
peringkat yang mana jumlah kebocoran tersebut adalah amat besar. Walau
bagaimanapun, ianya seolah-olah mencurah air ke daun keladi tanpa adanya
apa-apa kesan kepada mereka yang terlibat. Untuk itu, penulisan percaya bahawa
peningkatan jimat cermat dan berhati-hati di dalam perbelanjaan di peringkat
kerajaan adalah amat penting bagi memastikan kewangan negara berada di dalam
paras stabil.
Sebagai simpulnya, penulisan percaya tindakan kerajaan untuk
mengurangkan subsidi adalah bukan tindakan yang dibuat secara sambil lewa bahkan
ianya melibatkan kajian yang terperinci yang telah dilaksanakan. Namun
pemilihan mangsa pengurangan subsidi nampak sedikit tempang di mana masyarakat
umum sepatutnya tidak menjadi pilihan utama untuk dikorbankan. Pihak kerajaan
perlu mencari alternatif-alternatif lain sebagai perisai sebelum tubuh dan
jasad menjadi pilihan.
No comments:
Post a Comment