Wednesday, November 20, 2013

Perlukah untuk Mengejar Harta?

Pada kebiasaannya harta adalah  motivasi utama yang menjadi penggerak dan penggera bagi insan yang bernama manusia.  Harta adalah sesuatu yang dinilai berharga dan bermanfaat serta pada kebiasaannya berupa fizikal. Insan secara lumrahnya mempunyai kecintaan kepada harta samada secara zahirnya atau batinnya. 

Ada insan berpendapat harta secara langsung akan membahagiakannya jadi dia akan cuba mengumpul dan memiliki sebanyak mungkin. Ada insan berpendapat harta akan membantunya di dalam kesusahan dan dapat mengelakkannya daripada sebarang kesulitan hidup, jadi dia akan cuba mencari konformasi atau jaminan pendapatan. Ada insan berpendapat harta pasti tiba sekiranya dia memberi segalanya yang terbaik, atau dengan kata lain rezeki akan menyusul di atas segala usaha yang dilaksanakan secara bersungguh-sungguh. Ketiga-tiga keadaan ini adalah berkaitan dengan harta samada harta itu bertapak di hati, di belakang mahupun di mata. Biar di manapun harta bertapak ianya tetap terikat dengan ketentuan dan penentuan agama. 

Agama melihat harta sebagai 'ziinatul hayati dunya' atau perhiasan kepada kehidupan dunia. Sifat perhiasan adalah untuk mengindahkan perkara pokok di mana tanpanya nilai asas masih lagi wujud dan fungsi utama adalah tidak terjejas. Umpama sebuah beca yang dihiaskan cantik untuk pertunjukan, tanpa perhiasan, beca tersebut masih lagi berfungsi dan berjalan dengan baik. Namun, ianya tidaklah kelihatan anggun dan secantik beca pertandingan. Insan tanpa harta masih lagi berfungsi dan berperanan sebagai insan dan penilaian agama adalah bukan di dasarkan kepada harta. Tetapi dengan harta, peranan insan sesama makluk dan terhadap Allah azzawajalla lebih mudah dan lancar untuk dilaksanakan.

Oleh sebab itu, menjadi satu kesalahan kepada seorang mukmin yang menjadikan harta sebagai motivasi untuk merapatkan diri kepada Allah SWT. Dengan kata lain, ianya satu kesalahan bagi seorang mukmin untuk hanya merapatkan diri kepada Allah SWT dengan hanya bertujuan mendapatkan harta yang dicintai. Ini kerana secara tidak langsung ketaatan kepada Allah SWT tidak lagi dibuat secara ikhlas sedangkan penciptaan manusia adalah hanya untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Sebagai contohnya, zikir-zikir dan bacaan-bacaan tertentu yang dilakukan untuk sesuatu manfaat seperti memperolehi kekayaan dan sebagainya adalah kelihatan tidak lagi bermotivasikan ketaatan kepada Allah akan tetapi telah bertukar menjadi jampi dan tangkal keramat. 

Alangkah indah sekiranya setiap zikir yang terkeluar adalah merupakan getaran hati yang bersatu dengan tuturan lidah, makna diamati serta keabdian kepada Allah SWT menjadi zahir. Keimanan kepada Allah azzawajalla menjadi utama dan yang lain menjadi sekunder. Keutamaan untuk menjaga keimanan memuncak dan segala perhiasan dunia yang memungkinkan ketaatan kepada Allah juga menjadi tuntutan. Manusia mengambil harta sebagai pelincir kepada ketaatan bukan enjin kepada kesetiaan.  

No comments: