Tuesday, November 19, 2013

ISLAM ITU MUDAH

Rasulullah SAW itu adalah utusan Allah yang dihantar bertujuan untuk memberi rahmat bagi sekelian alam. Rahmat yang berupa petanda kasih sayang Allah SWT kepada keseluruhan makhluknya yang bertapak di alam maya ini. Hadirnya Rasulullah SAW dengan membawa mesej Islam di mana mesejnya yang mudah iaitu membebaskan diri daripada perhambaan sesama hamba kepada penyembahan kepada Allah SWT, Tuhan yang tidak punya sekutu. Pembebasan daripada keterikatan perhambaan sesama manusia membolehkan setiap mereka menghasilkan capaian yang maksima. Penghasilan tanpa keterlibatan had manusiawi akan menidakkan segala kelemahan-kelemahan yang ada dan membuat capaian terus kepada Pencipta segala makhluk.

Islam membahagikan tindakan manusia kepada dua perkara iaitu :-
(a) Amalan pengibadatan
(b) Amalan urusan harian sesama makhluk 

(a) Amalan pengibadatan
Dalam urusan pengibadatan, pada asasnya segala aksi dan kelakuan seorang Muslim untuk melakukan sesuatu ibadat adalah terlarang kecuali apa-apa kaedah yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Kaedah beribadat adalah bersifat khusus dan kaedahnya bukan merupakan inisiasi makhluk kerana ianya adalah kehendak yang ditentukan oleh Allah azzawajalla. Makhluk tidak mempunyai hak di dalam menentukan kaedah ini kerana makhluk hanyalah hamba yang banyak mempunyai kelemahan. Sungguhpun pada sangkaan makhluk (andai yang dilakukan adalah tidak selari dengan syariat yang telah diwahyukan), apa yang dilakukan adalah berupa ketaatan kepada Allah azzawajalla namun pada hakikatnya ianya hanyalah sangkaan semata-mata dan tidak selari dengan perintah yang telah ditentukan, maka kelakuan makhluk itu adalah tertolak dan tertegah.

(b) Amalan urusan harian sesama makhluk
Dalam urusan harian pula yang melibatkan urusan sesama makhluk, kaedahnya adalah merupakan keharusan di dalam semua perkara kecuali yang telah disyariatkan sebagai haram dan terlarang. Seorang Islam bebas melakukan segala perkara kecuali yang dilarang oleh agama sebagai contohnya, Muslim bebas memakan apa sahaja kecuali yang telah diharamkan seperti khinzir dan anjing. Di dalam urusan harian, Allah SWT menetapkan perkara-perkara yang haram secara spesifik dan secara umum pada perkara-perkara yang halal. Ini menampakkan bahawa luasnya yang halal dan sempitnya yang haram. Kesempitan yang haram yang disediakan Allah azzawajalla sebenarnya adalah untuk kebaikan manusia kerana kebanyakkan perkara yang haram adalah kemudharatan kepada manusia. 

Mudahnya Islam kerana halal dan haram di dalam IBADAT membolehkan amalannya diterima Allah SWT. Mudahnya Islam kerana halal dan haram di dalam MUAMALAT akan menjauhkan mudharat dan menghampirkan manfaat kepada semua makhluk.













No comments: