Thursday, November 14, 2013

Ujian satu Rahmah

Ujian dan cubaan adalah rencah kehidupan. Dengannya kemanisan dapat dirasai, pengalaman dibina dan kesabaran diuji. Hidup tanpa ujian adalah satu kekosongan umpama sup tanpa rempah, kopi tanpa gula. Hidup tanpa ujian juga boleh membawa kepada kekufuran andai ianya membawa kepada takabbur dan besar diri. Firaun yang tidak ditimpa ujian pada awal kehidupannya bertukar menjadi takabbur dan kufur lantaran kesenangan yang mengalpakan. Begitulah sunnah ujian yang wujudnya mendidik dan melatih.

Ujian melatih yang lemah menjadi kuat dan kuat menjadi perkasa. Kuat datangnya daripada sabar dan sabar membina ketahanan. Umpama labu sayung yang dibakar, asalnya daripada tanah liat yang lembut dan dibakar untuk membina kekerasan, bertambah panas maka bertambah keras. Lagi lama berada dalam kepanasan lagi kuat ketahanan yang terbina.

Kesabaran yang terhasil adalah satu kekuatan kerana dengan adanya sabar maka darjah kesakitan dan keperitan dapat dirasa. Ia tidak bermeter dan tidak berukur, jadi tiadalah sukatan yang dapat dibina untuk dinilai. Si sabar sahaja yang tahu di mana ketahanan dan bagaimana dirasa. 
Islam mengajar manusia menerusi iman untuk membina dan memiliki kesabaran. Iman yang terbina akan membenihkan kesabaran kerana ia menggambarkan keredhaan ke atas ketentuan yang telah diputuskan Allah SWT. Redha dan percaya atas qadha dan qadar Allah SWT adalah salah satu daripada enam rukun iman yang menjadi prasyarat sebagai seorang mukmin. Bilal Bin Rabbah telah menunjukkan bagaimana iman dapat melahirkan kesabaran, dengan kalimah tauhid (ahad,ahad) beliau bertongkat mempertahankan iman. Dan setiap ujian yang diberi Allah SWT kepada seseorang manusia adalah petanda bahawa Allah SWT masih lagi mempedulikan hambaNya itu. Tidak terkena satu kesakitan dan kesusahan bagi seorang Muslim melainkan dihapuskan daripadanya dosa atau dinaikkan kepadanya darjat. 

Bagi Muslim segala-galanya adalah kebaikan sehinggakan Rasulullah SAW menyatakan ketakjubannya dengan hadith yang berbunyi :

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير وليس ذاك لأحد إلا للمؤمن إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر فكان خيرا له

Bermaksud : Telah berkata Rasulullah SAW, ketakjuban pada urusan seorang Mukmin, sesungguhnya segalanya adalah baik baginya dan tidak semua memiliki (ini) kecuali Mukmin, sekiranya ditimpa dengan kebaikan maka dia bersyukur, dan itu adalah baik baginya, dan sekiranya ditimpa dengan kesusahan maka dia bersabar, dan itu adalah baik baginya.

Begitulah rahmah agama ini yang membuka kebaikan dalam seluruh keadaan. Putih hitam, cerah dan gelap. Sejuk, panas, manis dan pahit. Semuanya adalah makhluk Allah yang kebaikan dan keburukan adalah semuanya di bawah ketentuannya.

2 comments:

Unknown said...

Salam - mohon diizinkan utk share pd FB

Hshiyuti said...

Silakan tuan kaza