Sunday, January 26, 2014

Ibadah dan Muamalat

"Sadaqah adalah umpama baja bagi rezeki. Semakin dibajai semakin berkembang"


Islam adalah merupakan agama yang sempurna baik dari sudut ibadat mahupun muamalat. Di dalam perihal ibadat, segala aktiviti adalah terlarang kecuali apa yang telah diwahyukan Allah SWT dan diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Ciptaan manusia adalah dengan mencari kuasa untuk disembah dan agama untuk dianuti. Manusia akan mencari dan terus mencari dan lantaran itu ada yang menyembah pokok dan matahari. Penyembahan mereka ini semua terlarang kerana ianya bukan berdasarkan apa yang diwahyukan Allah SWT. Allah SWT adalah Tuhan yang menciptakan seluruh alam ini dan lantaran itu Allah SWT mengutuskan Rasulullah SAW sebagai penyampai segala amanah yang telah diwahyukan. Antara amanah yang disampaikan adalah berkenaan kaedah ibadah yang perlu dilaksanakan oleh seluruh manusia. Kaedah ini adalah HALAL dan diterima oleh Allah Tuhan yang Maha Mencipta.

Manakala di dalam perihal muamalat, dasarnya ialah segala aktiviti adalah harus kecuali segala apa yang telah diwahyukan sebagai DILARANG dan DIHARAMKAN. Islam meletakkan ruangan yang cukup luas di dalam bermuamalat kecuali yang telah digarapkan sebagai HARAM. Contohnya, banyak jenis minuman adalah halal kecuali yang diharamkan oleh Allah SWT seperti arak dan perkara-perkara yang memambukkan. Perkara haram di dalam muamalat adalah sebagai panduan kepada para muslimin untuk mengelakkannya daripada terjebak.

Kerana itu, seseorang perlu menjadi lebih sensitive di dalam membuat tapisan untuk melakukan sesuatu. Pertama, dia perlu menilai samada tindakannya itu adalah ibadat ataupun muamalat.

Sekiranya, ia adalah ibadat maka dia perlulah berusaha untuk mendapatkan alasan/hujjah/pendalilan yang benar sama ada tindakannya itu adalah termasuk di dalam suruhan sekiranya tidak maka hendaklah dihindarkan.


Sekiranya, ia adalah muamalat maka dia perlulah berusaha untuk mencari hujjah sama ada terdapat larangan terhadap apa yang dilakukan. Sekiranya, tiada maka tindakannya adalah harus. Walaupun keharusan di dalam  ruang lingkup muamalat adalah amat luas namun ‘ignorance’ bukan merupakan lesen besar kepada seseorang untuk tidak mencari hujjah ataupun dalil di atas pengharaman sesuatu perkara muamalat tersebut.

No comments: