Sunday, January 26, 2014

Silaturrahim dan Relationship

Silaturrahim ialah perikatan perhubungan kekeluargaan dan persahabatan di antara seorang insan dengan insan yang lain. Perikatan yang tidak bertali ini amat menarik kerana kekukuhannya tidak terikat dengan masa dan tempat. Tiada tali yang menghubung dan tiada gunting yang boleh memutuskannya. Pertalian silaturrahim akan dirasa oleh ahlinya dengan perasaan yang begitu intim di mana perpisahan dan pertemuan di antara kedua-dua mereka adalah dirasai dengan perasaan yang tidak mungkin bisa diungkap dengan perkataan mahupun dicatat oleh mana-mana bahasa. Islam meletakkan perhubungan silaturrahim sebagai salah satu ibadah yang wajib dijaga oleh setiap Muslim sesama Muslimnya yang lain dengan asasnya ialah dibuat semata-mata kerana Allah SWT. Pada masa yang sama, Muslim diharamkan daripada memutuskan silaturrahim.

Rasulullah SAW bersabda :
أحب الأعمال إلى الله إيمان بالله ، ثم صلة الرحم ، ثم الأمر بالمعروف و النهي عن المنكر . و أبغض الأعمال إلى الله الإشراك بالله ثم قطيعة الرحم

“(Sebaik-baik) amalan kepada Allah ialah beriman kepada Allah, kemudian menghubungkan silaturrahim, kemudian menyuruh dengan perkara makruf dan mencegah daripada kemungkaran dan (seburuk-buruk) amalan ialah mensyirikkan Allah kemudian memutuskan silaturrahim”

Silaturrahim adalah merupakan panduan kepada setiap muslim bahawa di dalam kehidupan ini mereka adalah saling perlu memerlukan. Konsep silaturrahim ini adalah selari dengan konsep semasa yang dinamakan ‘networking’ dan ‘know who’ di mana ianya amat penting bagi membolehkan urusan semasa dikendalikan secara lancar dan betul. Walau bagaimanapun, ianya adalah lebih matang berbanding konsep semasa di mana silaturrahim didasarkan semata-mata kerana Allah SWT akan tetapi ‘networking’ dan ‘know who’ adalah didasarkan kepada kepentingan semasa seperti pemasaran, perniagaan dan urusan harian.

Rasulullah SAW telah memberikan jaminan bahawa silaturrahim akan membolehkan rezeki seseorang itu diluaskan dan umurnya dipanjangkan.

Daripada Anas RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesiapa yang suka diluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia mengeratkan silaturahim”. 

Eratkanlah silaturrahim di antara kita kerana ia akan memperkuatkan kesatuan sesuatu bangsa dan bangsa yang kuat tidak akan mudah diusik dan diganggu gugat. Semangat tolong menolong, tahan mempertahankan dan sokong menyokong akan menjadi buah ke atas usaha silaturrahim. 

No comments: