Friday, February 14, 2014

Persepsi, Perniagaan dan Peribadi


Persepsi selalu mendahului pandangan. Pandangan boleh menjadi kabur kerana persepsi dan kekadang ia juga boleh menjadi terang kerananya. Persepsi terbina bukan berdasarkan fakta tetapi banyak bergantung kepada 'pre-judgement' yang terbentuk berdasarkan fakta-fakta sipi, tidak benar dan palsu. Fakta-fakta begini biasanya terbentuk lebih awal berbanding fakta sebenar kerana kewujudannya terbina berdasarkan pandangan mereka yang melihat bukannya pandangan mereka yang membuat. Contohnya, seorang pembuat roti yang sedang menguli gandum untuk dijadikan roti canai, si pembuat tidak memaklumkan kepada sesiapa yang dia sedang membuat roti canai. Sekiranya, ditanya kepada seorang kanak-kanak, apakah yang sedang dilakukan oleh penguli tadi, mungkin kanak-kanak tersebut berkata yang si penguli itu sedang membuat 'play dough' bagi membolehkan mereka bermain. Jika ditanya si ibu yang melihat penguli itu, mungkin si ibu akan berkata yang penguli itu sedang menyiapkan kuih dan kek. Dan begitulah seterusnya, pelbagai pandangan dan pendapat akan diberikan yang mana pendapat tersebut boleh jadi betul dan boleh jadi salah. Pendapat sebegini dipanggil persepsi dan persepsi ini boleh bertukar menjadi fakta sekiranya ia disahkan oleh sumber utama dan disokong oleh fakta-fakta sebenar. 

Perniagaan terbina di atas dua aspek iaitu persepsi dan fakta sebenar. Persepsi akan membentukkan ideal bagi seorang usahawan untuk membolehkan dia membina penawaran dan mencetuskan apa yang bakal dijual dan apa yang bakal diterima oleh pasaran. Ideal begini biasanya datang daripada cetusan pemerhatian dan persepsi yang terbina hasil daripada fakta-fakta sipi. Bagi membolehkan perniagaan tersebut direalisasikan, fakta-fakta sipi adalah tidak cukup untuk memastikan ianya boleh dilaksanakan dengan sempurna. Jadi, jalan yang terbaik adalah dengan mengesahkan bahawa terdapat kebenaran di dalam fakta-fakta tersebut dan dibina secara teknikal bagi membolehkan ianya dijadikan satu ideal business yang menarik yang dikira logik dari sudut penawaran dan praktikal dari sudut penerimaan.

Peribadi pengusaha atau peniaga pula hendaklah bersifat lebih rasional dan fleksibel berbanding orang-orang kebiasaan. Ini adalah kerana seorang usahawan adalah merupakan titik rujuk kepada banyak sumber yang terdiri daripada pelbagai latar budaya dan pendidikan. Fleksible bagi usahawan bermaksud beliau hendaklah mampu untuk membentuk mereka yang berada di sekelilingnya bukannya beliau yang akan terbentuk. Andaikan di dalam sesuatu organisasi terdapat pelbagai bentuk pekerja, ada yang suka tidur, ada yang suka mengambil kesempatan dan ada yang suka curi tulang. Seorang usahawan biasa akan membuang mereka ini dan mencari mereka yang positif dan boleh menjayakan misi dan visi usahawan tersebut. Usahawan yang gagal akan menyimpan mereka ini dan menunggu masa untuk gugur dan hanyut bersama. Tetapi usahawan yang berjaya akan mampu untuk merubah mereka ini daripada negatif kepada positif dan mewujudkan organisasi yang empunya behavior yang produktif dan pengeluaran yang maksimum. Mereka tidak menjadi tikus putih untuk diuji kaji dan juga biawak hidup untuk ditanggung. Sebaliknya mereka akan menjadi kuda yang gagah berlari dan perisai yang setia bertahan.

Seorang usahawan dengan pekerjanya hendaklah bertindak seperti pemain layang-layang dengan layang-layangnya. Untuk memastikan, layang-layang mampu terbang tinggi, usahawan hendaklah mampu melepaskan pekerjannya untuk bertindak tetapi hendaklah berdasarkan ikatan polisi dan prosedur yang tertentu untuk mengelakkan layang-layang tadi terbang tanpa hala tuju. Terlampau mengikat akan menyebabkan layang-layang tidak terbang tinggi dan terlampau 'melepas' menyebabkan layang-layang mungkin jatuh dan jauh untuk dikutip.














2 comments:

Anonymous said...

Bismillahirrahmanirrahim,

Misalan menjadi kuda yang gagah berlari dan perisai yang setia bertahan adalah khas untuk misalan binatang dan benda.

Hakikatnya, Al insaanu hayawaan naatiq, yang bermakna: ’manusia adalah haiwan yang berakal’.

Jika manusia tidak menggunakan akalnya akan menjadi seperti binatang. Itu pula yang disebut al Qur’an dalam QS. 7: 179, yakni orang-orang yang tidak menggunakan Hati (Qalb), penglihatan (bashar), dan pendengaran (sama’) untuk memahami dan mengerti suatu masalah yang dihadapinya.

Imam Al-Ghazzali telah berkata dalam bukunya "MIZANUL AMAL",
''Manusia itu diciptakan dalam darjat pertengahan diantara binatang dan malaikat. Manusia itu mempunyai sejumlah kekuatan dan sifat-sifat.

Adapun keistimewaan ialah dia diciptakan mempunyai kekuatan akal dan kekuatan menemukan hakikat segala perkara. Maka sesiapa yang menggunakan seluruh kekuatannya sesuai mengikut jalan untuk mencapai ilmu dan pengetahuan, maka dia telah menyerupai Malaikat.

Maka pantaslah dia menyamai malaikat dan pantas pula dia dinamakan malaikat yang mengenal Tuhan."

Allah S.W.T. telah berfirman: "Sesungguhnya ini tidak lain hanyalah malaikat yang mulia". (Yusuf : 31).

Imam Al-Ghazzali juga telah berkata dalam bukunya "MIZANUL AMAL",
"Sesiapa yang memusatkan perhatiannya untuk menuruti keinginan hawa nafsu dan kelazatan badan, dia makan seperti binatang, maka dia akan jatuh menurun (darjatnya) bersama kelompok binatang.

Dia adakalanya menjadi bodoh seperti binatang, atau pelahap seperti babi, bergulat seperti anjing, dengki seperti unta, sombong seperti harimau, membuat liang membelak-belok seperti musang, atau mengumpulkan sifat-sifat tersebut seperti syaitan yang jahat.

Mereka yang berakal adalah mereka yang memadukan fungsi antara fikiran (cortex) dan perasaan (sistem limbik) secara maksimum, sehingga ketika memperolehi keyakinan (kesimpulan tertinggi berupa keimanan) bakal menggetarkan jantung-hati (Qalb), yang berada di dalam dada.

Hshiyuti said...

Terima kasih atas sumbangan penerangan yg menyuluh tersebut...