Saturday, February 15, 2014

Taqwa Itu Lebih Baik

Taqwa itu adalah lebih baik kerana dengannya banyak jaminan yang telah disediakan oleh Allah SWT. Taqwa akan menyebabkan diri terhindar daripada segala bahaya dan selamat daripada segala perancangan jahat segala musuh. Taqwa akan menyebabkan seorang insan disayangi kawan dan digeruni lawan. Dan taqwa akan membolehkan insan terjamin daripada azab neraka, terbentang daripada kepanasan apinya dan pasti akan tempatnya di dalam syurga Allah SWT. 

Taqwa itu lebih baik kerana dengannya segala kebaikan akan diperolehi. Allah SWT mencintai mereka yang bertaqwa dan selaku orang yang dicintai maka hendaklah dia menjauhkan segala perkara yang akan menyebabkan cinta bertukar benci. Seorang insan yang dicintai Allah Azzawajalla hendaklah menjauhkan segala larangan yang telah digarapkan melalui wahyu yang telah disampaikan. Pada masa yang sama, dia juga perlulah melaksanakan segala kesukaan Pencinta di mana tindakannya itu akan menambahkan lagi cinta yang telah ada. 

Namun, bagi seorang Muslim yang membutuhkan cinta Ilahi, ianya tidak sesulit seorang insan yang mengharapkan cinta seorang insan yang lain kerana Allah Azzawajalla telah menggariskan panduan yang jelas tentang apakah yang akan menyebabkan Allah sayang dan apakah yang akan menyebabkan Allah marah. Sesungguhnya insan tidak berkemampuan untuk menggambarkan berdasarkan prejudis, persepsi dan perasaan mereka tentang bagaimana untuk memperolehi cinta Ilahi. Dan ia hanya mampu dimiliki oleh seseorang berdasarkan wahyu yang telah disampaikan. Insan amat bertuah kerana dengan tindakan yang selari dengan wahyu sudah pasti mampu untuk memperolehi cinta Ilahi. 

Pernah ditanya seorang insan tentang manakah yang lebih baik di antara seorang insan yang banyak kebajikan dan banyak juga kejahatan berbanding dengan insan yang sedikit kebajikan dan sedikit jua kejahatan. Jawabnya ialah, kedua-dua mereka adalah sama, kedua-dua mereka tidak mempunyai apa-apa kelebihan serta kemuliaan. Akan tetapi menjauhi segala kejahatan walaupun sedikit adalah lebih baik dan lebih mulia. Menjauhkan perkara keburukan adalah refleksi taqwa seseorang.

No comments: